Isnin, 20 Februari 2012

Utusan Online - Selatan

Utusan Online - Selatan


6.4 tan minyak masak dirampas

Posted:

6.4 tan minyak masak dirampas

6.4 tan minyak masak dirampas

oleh RIZANIZAM ABDUL HAMID
utusanmelaka@utusan.com.my

MELAKA 19 Feb. - Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) negeri merampas sejumlah 6.4 tan minyak masak bersubsidi selepas menyerbu sebuah premis di Kawasan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Telok Mas di sini semalam.

Ketuanya, Muhabir Ibrahim berkata, perbuatan itu didalangi sebuah syarikat pembungkusan minyak masak berlesen di kawasan IKS tersebut.

Menurutnya, dalam operasi 'Ops Goreng' pada pukul 5 petang, minyak masak bernilai pasaran RM16,000 itu dirampas sepasukan empat anggota dan pegawai PPDNKK hasil maklumat awam dan pemantauan yang dibuat.

"Kita percaya syarikat itu menyorokkan bekalan minyak masak bersubsidi tersebut untuk dijual pada harga yang lebih mahal apabila bekalannya kurang di pasaran.

"Rampasan minyak masak itu membabitkan 80 karton bagi berat sekilogram dan 252 karton bagi berat lima kilogram yang disimpan di sebuah premis tidak berlesen berhampiran kilang," katanya pada sidang akhbar di stor simpanan PPDNKK negeri di Krubong di sini hari ini.

Menurut Muhabir, walaupun berdaftar dan mempunyai lesen perniagaan, syarikat tersebut telah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana menyimpan minyak berkenaan di rumah kedai yang tidak dilesenkan.

Beliau berkata, berikutan rampasan itu, pihaknya berjaya menyelamatkan wang subsidi kerajaan sebanyak RM8,960.

Tambahnya, ketika serbuan, terdapat dua pekerja premis berusia lingkungan 40-an dan mereka telah diambil keterangan untuk membantu siasatan.

Jika sabit kesalahan, syarikat berkenaan boleh didenda maksimum RM250,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali kerana penyimpanan tanpa kelulusan dipercayai untuk tujuan penyelewengan, katanya.

Muhabir turut menyeru semua pihak sama ada pengguna dan peruncit yang berdepan masalah mendapatkan bekalan minyak masak supaya menyalurkan maklumat ke pejabat PDNKK negeri di talian 06-2345822, bilik gerakan di 06-2345869 atau talian 1800-886-800 untuk tindakan segera.

Mereka juga boleh menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) ke talian 017-6016931, katanya.

Tunggu 'disuap' punca ramai belum daftar sebagai pengundi

Posted:

Tunggu 'disuap' punca ramai belum daftar sebagai pengundi

Tunggu 'disuap' punca ramai belum daftar sebagai pengundi



SEREMBAN 19 Feb. - Sikap sambil lewa dan hanya menunggu untuk 'disuap' antara punca ramai di kalangan belia masih belum mendaftar sebagai pengundi baru.

''Pelbagai perkara yang mereka mahu daripada kerajaan, minta itu dan ini tetapi hakikatnya belia jugalah yang paling ramai tidak mendaftar sebagai pengundi," kata Syed Roslan Syed Rahiman, 31, kepada Utusan Malaysia di Karnival Belia Negeri Sembilan 2012 di sini semalam.

Beliau memberitahu, ada di kalangan mereka yang beranggapan tanggungjawab mengundi hanya untuk belia yang terlibat dengan pertubuhan politik dan yang berkepentingan sahaja.

''Mereka tidak harus beranggapan begini kerana belia jugalah nanti yang akan menjadi penentu masa depan negara," ujarnya.

Tinjauan Utusan Malaysia di Karnival Belia Negeri Sembilan 2012 di Padang Majlis Perbandaran Seremban (MPS), di sini, mendapati aktiviti pendaftaran pengundi baru di kaunter Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) agak dingin.

Seorang lagi belia, Mohd. Fadillahushaimi Mohd. Taib, 28, berkata, sikap malas untuk mendaftar sebagai pengundi antara sebab utama suasana dingin itu.

''Mendaftar bukannya lama sangat, mungkin mereka malas untuk berbuat demikian dan kerana itu perkara ini masih berlarutan.

''Mereka beranggapan golongan seperti ini masih perlu disuap. Takkan hendak tunggu SPR datang ke rumah mereka untuk mendaftar," katanya yang bekerja sebagai kakitangan awam.

Sementara itu, Mohd. Yusof Shaari, 31, pula berkata, sikap malu yang menebal di kalangan belia juga dilihat sebagai faktor mereka masih gagal untuk mendaftarkan diri sebagai pengundi.

Malah, ada juga di kalangan mereka yang seolah-olah dihasut oleh segelintir pihak yang mengatakan SPR dibayangi oleh politik pihak tertentu.

''Pada masa yang sama, inisiatif persatuan belia untuk mendaftarkan ahli mereka penting. Mereka boleh menjadi pengaturcara untuk membolehkan golongan ini didaftarkan dengan SPR," katanya.

Ahli majlis PBT perlu kerap berdialog

Posted:

Ahli majlis PBT perlu kerap berdialog

Ahli majlis PBT perlu kerap berdialog

ALOR GAJAH 19 Feb. - Semua ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini digesa lebih kerap mengadakan sesi dialog dengan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta persatuan penduduk di taman perumahan masing-masing-masing.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, melalui cara itu setiap permasalahan di peringkat akar umbi akan dapat diketahui dengan cepat dan diselesaikan.

Menurut beliau, ahli-ahli majlis juga tidak boleh terlalu bergantung kepada wakil rakyat kerana mereka kadangkala terlalu banyak urusan kerja yang perlu diselesaikan.

"Ada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) terlalu kesuntukan masa untuk bertemu dengan setiap penduduk di kawasan masing-masing.

"Lepas sahaja adakan dialog, setiap ahli majlis boleh rekod setiap masalah dan selepas itu serahkan salinan kepada wakil rakyat, Yang Dipertua PBT dan Pegawai Daerah untuk tindakan selanjutnya," katanya ketika berucap pada majlis dialog Ketua Menteri bersama pemimpin masyarakat di Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Tanjung Bidara semalam.

Hadir sama ADUN Tanjung Bidara, Datuk Ab. Karim Sulaiman; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), Kamaruddin Md. Shah dan Ahli-ahli Majlis MPAG.

Turut hadir 300 Pengerusi JKKK dan taman perumahan dari lima kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen Masjid Tanah iaitu Kuala Linggi, Tanjung Bidara, Ayer Limau, Lendu dan Taboh Naning serta lima kawasan DUN di bawah Parlimen Alor Gajah iaitu Rembia, Gadek, Machap, Durian Tunggal dan Asahan.

Mengulas lanjut Mohd. Ali berkata, setiap pemimpin masyarakat perlu menjauhi sikap ambil mudah dalam melaksanakan tugasan yang diberikan.

"Janganlah, kalau ahli majlis itu cuma ditugaskan menjaga dua taman, dicantumkan pula bilangan rumah untuk memudahkan kerja. Biar kita bersusah sikit asalkan dapat bertemu penduduk supaya kehadiran kita disedari. Jangan pula sampai orang kata muka JKKK, penghulu tak pernah nampak, tiba-tiba datang minta undi," katanya.

Dalam perkembangan lain beliau berkata, setiap wakil rakyat di negeri ini telah diarahkan membantu mereka yang layak untuk mengemukakan rayuan terhadap Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sekiranya belum mendapat bantuan itu.

"Perkara ini kita serah kepada pejabat wakil rakyat, biar mereka bantu bawa pemohon ke pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN)," tambahnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan