Sabtu, 18 Februari 2012

Utusan Online - Selatan

Utusan Online - Selatan


Jempol 'dilanda' sampah haram

Posted:

Jempol 'dilanda' sampah haram

Jempol 'dilanda' sampah haram

Oleh SAJIDA ASARULAH KHAN
utusanN9@utusan.com.my


KAKITANGAN Southern Waste Management Environment Sdn. Bhd. menjalankan kerja pembersihan di kawasan pekan Bahau, dalam operasi membasmi sampah haram di sekitar Jempol, kelmarin.


JEMPOL 17 Feb. - Sebanyak sembilan tan sampah haram berjaya dikumpulkan tidak sampai lima jam dalam satu operasi membasmi sampah haram di sekitar daerah ini, semalam.

Operasi yang dijalankan oleh pihak Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA) bersama Southern Waste Management Environment Sdn. Bhd. (SWM), membersihkan beberapa kawasan panas yang sering menjadi lokasi pembuangan sampah haram.

Pengarah PPSPPA negeri, Mohd. Azhar Abd. Hamid berkata, antara kawasan utama yang dibersihkan adalah di sekitar pekan Bahau.

''Di Bahau sahaja terdapat enam kawasan yang menjadi lokasi bagi membuang sampah haram.

''Selain Perhentian Bas Bahau, laluan ke pejabat Pendaftaran Negara (JPN), Tabung Haji dan beberapa pasar raya turut menjadi pilihan pihak tidak bertanggungjawab untuk membuang sampah haram,'' ujarnya.

Beliau menjelaskan, pihaknya ada menerima banyak aduan mengenai kewujudan sampah haram di sekitar daerah ini.

''Bagi mengatasi masalah tersebut, kita akan terus menjalankan operasi ini dan ia akan tamat dalam jangka masa seminggu lagi. Namun, bagi kerja-kerja pembersihan terutamanya di pekan Bahau, ia akan dilakukan secara berterusan.

''Walaupun kita akan menjalankan kerja pembersihan, masyarakat juga seharusnya memainkan peranan bersama-sama menjaga kawasan persekitaran mereka," jelasnya lagi.

Katanya, dalam tempoh sebulan sahaja, kira-kira 300 tan sampah haram dikutip di sekitar daerah ini.

''Kita minta kerjasama daripada semua pihak agar sama-sama menjaga kebersihan kawasan sekitar mereka.

''Sebarang aduan boleh dibuat melalui talian hotline PPSPPA di 1800-88-7472 dan tindakan susulan akan diambil dalam tempoh 24 jam.

Polis gempur pusat judi Internet

Posted:

Polis gempur pusat judi Internet

Polis gempur pusat judi Internet

SEREMBAN 17 Feb. - Usaha memerangi kegiatan judi siber di bandar ini terus diperhebatkan apabila polis menyerbu dua premis yang menjadi pusat aktiviti haram itu dalam operasi bersepadu di Kampung Dato' Raja Hanifah, Rasah di sini semalam.

Operasi kira-kira pukul 5.30 petang itu melibatkan sepasukan anggota dan pegawai dari Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS).

Dalam serbuan tersebut, sebanyak 66 set komputer yang dipercayai digunakan dalam kegiatan judi Internet itu dirampas di dua premis yang terletak bersebelahan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Hamdan Majid berkata, pihaknya turut bertindak menahan 17 individu yang merupakan pelanggan serta penjaga di salah sebuah premis berkenaan.

"Polis terpaksa memecah masuk dari bahagian belakang premis berkenaan setelah pintu hadapan dikunci bagi mengelak kegiatan mereka dikesan pihak berkuasa.

"Walaupun berbuat demikian, polis berjaya menghidu kegiatan mereka itu hasil daripada maklumat dan risikan ke premis terbabit," katanya di sini hari ini.

Hamdan berkata, hasil pemeriksaan pada premis pertama, pihaknya telah merampas sejumlah 47 set komputer sebelum merampas 19 lagi set komputer di premis kedua.

"Kita menahan 16 pelanggan dan seorang penjaga premis tersebut untuk soal siasat.

"Kesemua mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban dan yang beragama Islam, mereka akan turut dikenakan tindakan lanjut oleh pihak JHEAINS," ujarnya.

49,147 pelajar terima tajaan akaun Tabung Haji

Posted:

49,147 pelajar terima tajaan akaun Tabung Haji

49,147 pelajar terima tajaan akaun Tabung Haji

MELAKA 17 Feb. - Seramai 49,147 pelajar sekolah rendah dan menengah di negeri ini, hari ini menerima tajaan akaun Tabung Haji RM2 daripada Lembaga Tabung Haji negeri dengan nilai tabungan sebanyak RM98,294.

Tajaan itu menjadikan jumlah keseluruhan pelajar sekolah di negeri ini yang mempunyai akaun Tabung Haji adalah seramai 126,000 orang.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, jumlah tersebut secara tidak langsung menjadikan sasaran kerajaan negeri untuk memastikan 100 peratus pelajar sekolah beragama Islam di negeri ini yang mempunyai akaun Tabung Haji tercapai.

"Mudah-mudahan ini dapat menanam rasa kasih sayang di kalangan pelajar kepada agama terutama untuk menunaikan rukun Islam kelima iaitu menunaikan haji apabila tiba masanya dengan menggunakan wang daripada akaun itu.

"Selepas ini pelajar yang ada wang simpanan bolehlah mula menabung. Akaun ni bukan hanya untuk menunaikan haji tetapi juga untuk program-program tabungan yang lain mengikut syarak.

"Hari ini kita sampaikan kepada pelajar sekolah dalam Parlimen Bukit Katil. Lepas ini saya nak minta pula UMNO berkempen supaya semua masyarakat Islam dapat menabung dan membuka akaun RM2 setiap seorang di Tabung Haji," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Buku Akaun Tabung Haji (Kelab Taha) kepada 140 orang pelajar dari 35 buah sekolah sekitar Parlimen Bukit Katil di sini sebagai simbolik penyerahan.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Yaakub Md. Amin.

Dalam pada itu, kata Mohd. Ali, jumlah deposit yang diperoleh daripada simpanan seramai 322,000 pemegang akaun Tabung Haji di negeri ini kini mencecah RM884.1 juta.

"Jumlah tersebut bagaimanapun belum menyeluruh kerana jumlah sebenar umat Islam di negeri ini adalah seramai 502,000 orang.

"Ini bermakna masih ada kira-kira 200,000 lagi umat Islam di negeri ini yang masih belum membuka akaun Tabung Haji," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan