Rabu, 15 Februari 2012

Utusan Online - Selatan

Utusan Online - Selatan


Medan Samudera berwajah baru

Posted:

Medan Samudera berwajah baru

Medan Samudera berwajah baru

Oleh RIZANIZAM ABDUL HAMID
utusanmelaka@utusan.com.my


MOHD. Yusuf Badrul Hisham membersihkan barangan kraf yang dijual di gerainya di Medan Samudera, Banda Hilir, Melaka semalam.


MELAKA 14 Feb. - Selepas hampir tujuh bulan terpaksa berniaga dalam khemah setelah premis mereka terbakar, peniaga di Medan Samudera di sini kini menarik nafas lega apabila dibenarkan berpindah semula ke kedai mereka sejak dua hari lalu.

Rata-rata mereka yang ditemui gembira kerana suasana bangunan menjual pelbagai produk kraftangan, pakaian dan makanan tradisional yang terletak di Jalan Quayside, Banda Hilir bukan sahaja cantik, malah lebih selesa berbanding sebelum ini.

Menurut mereka, pemindahan semula itu juga menamatkan sengsara peniaga yang terpaksa menahan cuaca panas di dalam khemah sementara selepas insiden kebakaran bangunan tersebut pada 28 Julai tahun lalu.

Tinjauan Utusan Malaysia hari ini mendapati, persekitaran pusat perniagaan di bangunan dua tingkat itu bertambah cantik dan ceria apabila lampu dan kipas termasuk lantai jubin semuanya ditukar baru.

Bangunan dua tingkat yang dirasmikan pembukaannya oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam pada 11 Ogos 2003 itu juga telah dicat semula bagi menambahkan lagi tarikannya.

Peniaga, Goh Kim Hong, 65, berkata, dia gembira dapat berpindah semula ke premisnya di bangunan Medan Samudera walaupun kerja baik pulih memakan masa agak lama sehingga terpaksa berniaga di dalam khemah sementara hampir tujuh bulan lalu.

"Hampir tujuh bulan saya terpaksa menahan sakit kepala kerana bahang cuaca panas dalam khemah sementara, tetapi hendak buat macam mana, itu sahaja pilihan yang ada untuk terus berniaga.

"Selepas dipindahkan semula ke premis asal dua hari lalu, lega sikit, keselamatan barang pun tak perlu dirisaukan lagi," katanya.

Seorang lagi peniaga, Mohd. Yusuf Badrul Hisham, 19, berkata, dia kini sedang sibuk membersihkan barangan kraftangan yang berhabuk kerana tidak mempunyai ruang simpanan tertutup di khemah sebelum ini.

"Ketika berniaga di khemah, banyak barang berhabuk kerana terdedah kepada debu membuatkan pengunjung tidak selesa selain cuaca panas," katanya.

Berlainan pula dengan pekerja kraftangan dan pakaian, Noratika Abdul Karim, 21, yang mengakui berasa berat hati untuk berpindah semula ke kedai majikannya di Medan Samudera.

"Memang berniaga di sini lebih selesa, tetapi dari segi hasil jualan, berniaga di khemah lebih baik kerana kawasannya yang terbuka di tepi jalan memudahkan pengunjung datang.

"Kalau berniaga di khemah pengunjung akan datang sehingga lewat malam, tetapi di dalam bangunan, pukul 6 petang sudah tiada orang yang datang," katanya.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 5.19 pagi, 28 Julai lalu, sebanyak 25 daripada 50 buah kedai menjual pelbagai produk kraftangan dan pakaian di tingkat bawah bangunan itu musnah terbakar.

Turut terjejas 50 lot gerai makanan di tingkat atas apabila asap hitam menyelubungi bangunan dua tingkat itu.

Kerajaan tidak guna wang zakat bina kompleks MAINS

Posted:

Kerajaan tidak guna wang zakat bina kompleks MAINS

Kerajaan tidak guna wang zakat bina kompleks MAINS


Tuanku Muhriz Tuanku Munawir melihat model Kompleks MAINS sewaktu majlis perasmian projek pembinaan kompleks berkenaan di Seremban, kelmarin. Turut hadir, Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz (dua dari kanan) dan Mohamad Hasan (kanan) - BERNAMA


SEREMBAN 14 Feb. - Pembinaan Kompleks Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) setinggi 15 tingkat dekat sini tidak sedikit pun menggunakan wang zakat yang dikutip oleh agensi itu.

Sebaliknya Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan memberitahu, projek bernilai RM52 juta itu akan dibiayai melalui pinjaman Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) dan peruntukan dana sumber am MAINS.

Beliau berkata, MAINS mempunyai dana sumber am yang antaranya diperolehi daripada hasil sewaan bangunan, ladang, kuari dan pelaburan dalam institusi kewangan.

Bahkan katanya, sumber dana yang sama juga digunakan untuk pinjaman pelajaran kepada penuntut jurusan agama dan perubatan di Asia Barat.

"Pembinaan kompleks ini menggunakan dana sumber am dan pinjaman tidak akan membebankan kedudukan kewangan MAINS ketika ini mahu pun pada masa hadapan.

"Ini kerana sebahagian daripada kompleks ini akan disewakan kepada beberapa jabatan dan agensi termasuk kepada BIMB yang memberi pinjaman untuk melaksanakan projek ini," katanya pada majlis perasmian projek itu semalam.

Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir berkenaan menyempurnakan majlis perasmian tersebut.

Kompleks pejabat yang khusus bagi keperluan MAINS akan dibina di atas tanah seluas 0.8 hektar milik majlis tersebut.

Mohamad menarik perhatian, kedudukan kewangan MAINS kini amat kukuh dan stabil dengan nilai aset melebihi RM150 juta.

Jelas beliau, perbelanjaan untuk projek itu tidak akan mengurangkan sedikit pun komitmen MAINS untuk terus membela masyarakat yang memerlukan bantuan dan pertolongan.

Menurutnya, semua kutipan zakat di negeri ini telah habis diagihkan kepada asnaf yang berhak dengan gaji warga kerja Baitulmal dan MAINS tidak dibayar dari dana zakat.

"Bagi 2011, daripada RM58.72 juta yang berjaya dikutip, sebanyak RM59.17 juta diagihkan oleh Baitulmal kepada asnaf yang layak dengan kekurangan ditampung daripada lebihan kutipan pada tahun-tahun terdahulu," katanya.

Orang Kampung hasil produk baru sasar golongan perokok

Posted:

Orang Kampung hasil produk baru sasar golongan perokok

Orang Kampung hasil produk baru sasar golongan perokok

MELAKA 14 Feb. - Pengeluar pelbagai barangan kesihatan berasaskan herba, Orang Kampung Corporation (M) Sdn. Bhd. (Orang Kampung), memperkenalkan produk terbaharunya, Teh D'Tox yang turut disasarkan kepada golongan perokok bagi menyingkirkan toksin.

Pengarah Urusannya, Habibul Ajmi Manggar berkata, minuman kesihatan itu jika diamalkan boleh membantu merangsang pembersihan kolon di dalam tubuh, membentuk kitaran penghadaman yang baik, mengurangkan berat badan dan sakit kepala selain dapat meningkatkan kadar imunisasi tubuh.

Selain itu, katanya, produk berasaskan adunan daun teh hijau, krisantimun, stevia, dauh sireh dan daun limau itu juga dapat melancarkan peredaran darah, memulihkan pedih hulu hati serta membantu menghapuskan sisa radikal bebas yang merosakkan sel-sel tubuh.

"Nama produk ini pun diambil singkatan daripada perkataan detoksifikasi iaitu menyingkirkan toksin dan salah satu sasarannya ialah golongan perokok kerana pada sebatang rokok terdapat beribu-ribu bahan kimia dan sebahagian besarnya memberi toksik kepada tubuh.

"Toksin yang berlebihan jika tidak disingkirkan akan menjejaskan banyak aspek kesihatan daripada fungsi organ dalaman tubuh hinggalah kepada sistem imun," katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan produk Teh D'Tox dan Teh Pecah Beling di Pasar Raya Mydin, Ayer Keroh, di sini baru-baru ini.

Menurut beliau, Teh Pecah Beling yang turut menjadi produk terbaharu syarikat itu, dihasilkan menggunakan 100 peratus daun pecah beling yang terpilih.

"Teh pecah beling membantu merencatkan pertumbuhan retrovirus agen dalam jangkitan virus dan membantu merencatkan pertumbuhan sel kanser.

"Ia juga dapat membantu menurunkan paras kolestrol darah selain meningkatkan paras jumlah antioksidan dalam darah yang mana ia penting untuk melindungi badan daripada radikal bebas," katanya.

Menurut Habibul, kedua-dua produk berkenaan telah berada di pasaran sejak dua bulan lalu dan ia boleh didapati di semua pasar raya Mydin, farmasi dan kedai-kedai runcit terpilih.

Dalam pada itu, Orang Kampung mengunjurkan jualan sebanyak RM1 juta pada tahun ini untuk setiap produk baharu berkenaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan