Isnin, 13 Februari 2012

Utusan Online - Selatan

Utusan Online - Selatan


Rayu naikkan elaun RM500

Posted:

Rayu naikkan elaun RM500

Rayu naikkan elaun RM500

Oleh RIZANIZAM ABDUL HAMID

MELAKA 12 Feb. - Persatuan Ketua Kampung/Sidang Melaka merayu kepada kerajaan negeri supaya menaikkan elaun yang diterima ketika ini selaras dengan tanggungjawab mereka untuk memimpin penduduk yang kian bertambah.

Setiausahanya, Moomin Seman berharap agar elaun mereka dapat dinaikkan sekali ganda iaitu daripada antara RM250 dan RM350 sebulan mengikut tempoh jawatan itu dipegang ketika ini kepada RM500.

Menurut beliau, jika dulu mereka hanya mentadbir kira-kira 20 rumah dalam satu mukim dengan kapasiti penduduk seramai 150 orang, angka itu kini meningkat sehingga lebih 2,000 orang

"Oleh itu, kalau hendak dibandingkan dengan tugas dan peranan kami yang semakin mencabar itu, elaun ini mungkin boleh ditambah dan diselaraskan kepada sekurang-kurangnya RM500 sebulan.

"Tambahan pula sekarang ini, setiap anggota masyarakat meletakkan harapan yang tinggi agar sesuatu masalah itu dapat diselesaikan dengan cepat sesuai dengan status Melaka sebagai negeri maju," katanya

Beliau ditemui selepas perasmian Program Penerangan Insurans Keselamatan dan Jenayah Tanggungjawab Bersama anjuran persatuan itu, di sini semalam.

Program tersebut dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Desa dan Pertanian negeri, Datuk R. Perumal.

Moomin berkata, pada masa sama, pihaknya mengucapkan terima kasih terhadap keprihatinan kerajaan negeri yang telah menaikkan elaun itu sebelum ini daripada RM120 kepada maksimum RM350 kira-kira enam tahun lalu.

Mengenai program tersebut, beliau berkata, ia bertujuan memberikan penerangan mengenai insurans keselamatan yang ditawarkan kerajaan negeri kepada Sidang di negeri ini selain memberi taklimat tentang peranan Sidang dalam membasmi jenayah.

"Sebelum ini, ramai Sidang yang masih keliru dengan insurans keselamatan yang ditawarkan sehingga kadangkala menimbulkan salah faham antara mereka.

"Justeru, menerusi program ini saya berharap mereka dapat memahami matlamat dan kaedah pemberian insurans keselamatan ini sekali gus mengelak salah faham antara kerajaan negeri dan pemimpin masyarakat setempat," katanya.

Program keagamaan hakis aktiviti khurafat

Posted:

Program keagamaan hakis aktiviti khurafat

Program keagamaan hakis aktiviti khurafat


KHALIL Yaakob bersama Mohd. Ali Rustam bersalaman dengan sebahagian yang hadir pada Majlis Hafla Maulud Ad-Dibai di Pulau Besar, Melaka, semalam. - UTUSAN/AZLI AHAD


MELAKA 12 Feb. - Sambutan Maulidur Rasul di Pulau Besar yang disertai oleh hampir 1,000 pengunjung hari ini secara tidak langsung menghakis sisi negatif kepercayaan khurafat yang mengaitkan nama pulau itu suatu ketika dahulu.

Walaupun pulau tersebut sudah kian pulih dan membangun, usaha menghakis kepercayaan negatif sesetengah pihak terus dilaksanakan oleh kerajaan negeri bagi membendung aktiviti yang tidak bermoral yang boleh merosakkan akidah umat Islam.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, sambutan Maulidur Rasul bukanlah sesuatu yang di luar kebiasaan memandangkan ia merupakan sambutan kali kedua diadakan di pulau itu.

"Dengan adanya program sebegini, kefahaman orang ramai makin baik dan saya percaya Pulau Besar boleh menjadi pusat pelancongan kepada mereka yang ingin melihat sejarah orang-orang Islam di zaman kerajaan Melayu Melaka dahulu.

"Ada juga yang datang ke sini untuk tujuan-tujuan tertentu tetapi ini tidak berapa sihat dari kacamata agama kita. Oleh itu, kita telah berusaha mengadakan pelbagai program dan waktu beginilah orang ramai datang dan kita ada bersama sambil boleh memberi pandangan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Hafla Maulud Ad-Dibai peringkat negeri yang turut dihadiri oleh Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Khalil Yaakob dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Othman Muhamad.

Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Abdul Ghaafar Atan dan Pengarah Jabatan Agama Islam negeri, Datuk Mohd. Zin Mansor.

Antara aktiviti yang dijalankan termasuklah selawat ke atas junjungan, Rasulullah dan marhaban.

Mohd. Ali berkata, Pulau Besar merupakan pulau legenda di mana suatu ketika dahulu pernah menjadi pusat penyebaran agama Islam di zaman pemerintahan kerajaan Melayu.

Gangguan bekalan air di Tampin, Jempol, Sikamat esok

Posted:

Gangguan bekalan air di Tampin, Jempol, Sikamat esok

Gangguan bekalan air di Tampin, Jempol, Sikamat esok

SEREMBAN 12 Feb. - Beberapa daerah di negeri ini termasuk sekitar Sikamat dekat sini bakal mengalami gangguan bekalan air sementara berikutan pelaksanaan kerja-kerja penyelenggaraan kolam serta pengalihan paip di kawasan terlibat pada 14 Februari ini.

Pengurus Khidmat Pelanggan & Hal Ehwal Awam Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains), Azlan Abdul Aziz berkata, gangguan itu melibatkan beberapa lokasi seperti sekitar Tampin, Rembau, Jempol dan Sikamat, di sini.

''Antara kawasan terlibat di sekitar Tampin adalah Taman Bukit Tampin, Taman Sri Berlian, Taman Sri Intan, Taman Woon Estet, Jalan Seremban-Tampin, Kampung Ulu Chenderam, Taman Rasa Sayang, Taman Suria dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin.

''Kawasan ini dijangka mengalami gangguan bekalan air bermula pukul 8 pagi sehingga 5 petang," katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Menurutnya, bagi kawasan sekitar Rembau pula, penutupan bekalan air akan dijalankan bermula 9 pagi hingga 3 petang.

''Kawasan yang bakal mengalami gangguan bekalan di Rembau meliputi beberapa lokasi sekitar Kawasan Perindustrian Chembong serta seluruh Kampung Baru Air Hitam, Chembong.

''Di Jempol pula ia membabitkan seluruh kawasan di sekitar Palong 7 dan Palong 8 bermula pukul 10 pagi hingga 10 malam pada hari berkenaan," ujarnya.

Tambahnya, seluruh kawasan di sekitar Sikamat termasuk di Rumah Rakyat Sikamat, Kampung Baru Sikamat, Taman Megaway, Taman Desa Kiara, Taman Jujur, Taman Coral Height, Pulai Impian, Taman Sri Pulai 3, Taman Rashibah akan mengalami gangguan bekalan dari pukul 10 pagi hingga 10 malam pada hari yang sama.

Jelas Azlan, bekalan air dijangka disambung semula secara berperingkat selepas waktu yang ditetapkan.

''Namun, sebagai makluman awal, penduduk di kawasan tinggi dijangka mengalami tempoh gangguan bekalan lebih lama memandangkan pemulihan bekalan air sepenuhnya akan mengambil masa," katanya.

Pelanggan yang mengalami gangguan bekalan air boleh menghubungi Sains di talian bebas tol 1-800-88-6982.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan