Khamis, 9 Februari 2012

Utusan Online - Selatan

Utusan Online - Selatan


Ekspedisi kayak Melaka ke Dumai

Posted:

Ekspedisi kayak Melaka ke Dumai

Ekspedisi kayak Melaka ke Dumai

Oleh AMRAN MULUP
utusanmelaka@utusan.com.my

MELAKA 8 Feb. – Majlis Gabungan Belia Melaka (MGBM) akan menghidupkan kembali program ekspedisi berkayak sejauh lebih 40 kilometer dari Melaka ke Dumai, Indonesia pada 14 hingga 16 April ini.

Presidennya, Zali Mat Yassin berkata, program itu dihidupkan semula atas permintaan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam bagi memeriahkan acara sambutan 750 tahun penubuhan Melaka tahun ini.

Menurutnya, program itu pernah dianjurkan oleh MGBM pada 2003 dan 2004, namun selepas itu ia tidak pernah diadakan lagi.

"MGBM telah bersetuju untuk menghidupkan kembali ekspedisi berkayak dan merancang seramai 50 ahli termasuk penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) dan beberapa pertubuhan belia yang lain termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akan mengambil bahagian.

"Ekspedisi ini dijangka melalui perjalanan selama 27 jam jika keadaan cuaca baik. Peserta akan singgah di Pulau Rupat dan seterusnya ke Dumai sebagai destinasi terakhir," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Zali berkata, persiapan rapi sedang dilakukan termasuk kesemua peserta yang akan menyertai ekspedisi tersebut perlu menjalani latihan selama sebulan mulai Mac ini.

Menurutnya, kesemua peserta akan menjalani latihan di Tasik Ayer Keroh dengan dibantu oleh Persatuan Rekreasi Mendaki Tembok Tiruan Melaka (REDTMA) pada setiap hujung minggu.

Latihan itu katanya, amat penting untuk membentuk fizikal dan tahap kecergasan peserta dalam mengharungi cabaran getir ke Dumai.

"Pada ekspedisi 2004, peserta tidak dapat menamatkan acara berkayak di pertengahan perjalanan kerana dilanda cuaca buruk dengan tiupan angin kencang," ujarnya.

Katanya, MGBM mengharapkan acara yang akan diadakan selama tiga hari itu akan berjalan lancar tanpa sebarang masalah dari aspek cuaca.

Beliau berkata, kesemua peserta akan bertolak dari Dataran 1Malaysia di Klebang kira-kira pukul 5 pagi.

Menurutnya, sepanjang perjalanan tersebut kesemua peserta akan menaiki 53 buah kayak.

Katanya, para peserta akan diawasi oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Polis Marin dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) serta beberapa agensi lain.

Jelajah aman dekatkan siswa, masyarakat

Posted:

Jelajah aman dekatkan siswa, masyarakat

Jelajah aman dekatkan siswa, masyarakat

MELAKA 8 Feb. - Jelajah Aman Kampus yang disertai 180 peserta daripada 19 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) seluruh negara menjadi medium terbaik untuk mendekatkan mahasiswa dengan masyarakat.

Presiden Persatuan Alumni Pemimpin Mahasiswa Aspirasi Malaysia (Aspirasi), Mohd. Shahar Abdullah berkata, program yang bermula Isnin lalu itu akan membawa peserta bertemu dan mendekati golongan masyarakat dari pelbagai peringkat.

Menurutnya, sepanjang tempoh 13 hari, Aman Kampus akan menjelajah seluruh pelusuk Semenanjung dan telah menyediakan pelbagai aktiviti serta program yang bersesuaian dengan kumpulan sasar yang akan ditemui di kawasan berkenaan.

Katanya, melalui program berkenaan, mahasiswa dapat menimba pengalaman baru selain menyumbang khidmat bakti kepada masyarakat setempat melalui aktiviti seperti gotong-royong membersihkan sekitar kampung yang dilawati dan kawasan tanah perkuburan.

"Sepanjang program berlangsung, Aman Kampus akan singgah di beberapa lokasi termasuk sekolah, institusi pengajian tinggi, rumah kebajikan warga tua dan kawasan kampung di pendalaman bagi memberikan gambaran sebenar kehidupan masyarakat kepada mahasiswa," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyampaian sumbangan kepada penghuni Rumah Seri Kenangan Cheng yang disempurnakan Ahli Parlimen Tangga Batu, Datuk Idris Haron di sini hari ini.

Mohd. Shahar berkata, program berkenaan terbahagi kepada tiga fasa iaitu, siswa bersama masyarakat, siswa bersama warga kampus dan acara kemuncaknya adalah perhimpunan aman anak muda bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang dijadualkan pada 17 Mac ini di Stadium Putra, Bukit Jalil.

Katanya, kunjungan ke Rumah Seri Kenangan Cheng hari ini merupakan destinasi ketiga dilawati sejak program Jelajah Aman Kampus dilancarkan.

Kerjasama ibu bapa, guru mampu bentuk pelajar yang baik

Posted:

Kerjasama ibu bapa, guru mampu bentuk pelajar yang baik

Kerjasama ibu bapa, guru mampu bentuk pelajar yang baik


Ahmad Suhaimi Abd. Rahim (kiri) menyampaikan replika buku akaun Lembaga Tabung Haji kepada Nor Ezah Mohammed sambil disaksikan oleh Abdul Halim Suleiman (dua dari kiri) dan Shafi Manan di SMK Taman Daya 3, Johor Bahru, baru-baru ini.


JOHOR BAHRU 8 Feb. - Ibu bapa digesa memantau perkembangan dan aktiviti anak masing-masing supaya mereka tidak terpengaruh dengan aktiviti negatif.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa, Datuk Abdul Halim Suleiman berkata, kerjasama erat ibu bapa dan pihak sekolah serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) perlu bagi memastikan usaha melahirkan anak dan modal insan yang berguna dan berkualiti kepada negara mampu dilaksanakan dengan baik.

"Saya percaya untuk mengurus tadbir sekolah bukan satu perkara mudah, ia memerlukan komitmen warga pendidik yang dibantu jawatankuasa PIBG sekolah. Bagaimanapun, ibu bapa turut perlu menggalas tanggungjawab dalam proses mendidik anak, janganlah serah bulat-bulat kepada pihak sekolah.

"Jika mereka tidak dipantau, bimbang wujud anasir negatif yang akan mempengaruhi pemikiran mereka," katanya semasa merasmikan mesyuarat agung PIBG Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Daya 3 di sini baru-baru ini.

Pada majlis itu, turut diadakan simbolik penyampaian replika buku akaun Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) yang disampaikan Pengarah Tabung Haji Johor, Ahmad Suhaimi Abd. Rahim kepada Pengetua SMK Taman Daya 3, Nor Ezah Mohammed dan disaksikan Yang Dipertua PIBG sekolah berkenaan, Shafi Manan.

Seramai 400 pelajar sekolah itu membuka akaun Tabung Haji dalam usaha menggalakkan budaya menabung dalam kalangan pelajar.

Pada program itu, Abdul Halim turut menyumbang RM800 bagi membiayai pembukaan akaun Tabung Haji untuk pelajar berkenaan iaitu RM2 bagi setiap pelajar.

Beliau turut memuji langkah diambil PIBG dan pihak pengurusan SMK Taman Daya 3 yang mewujudkan kerjasama dengan Tabung Haji untuk membuka akaun pelajar khususnya yang beragama Islam.

"Usaha PIBG dan pihak sekolah membuka akaun Tabung Haji pelajar amat baik. Golongan ini wajar dididik untuk membuat tabungan bagi memudahkan mereka melanjutkan pengajian di peringkat lebih tinggi nanti," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan