Khamis, 23 Februari 2012

Utusan Online - Rencana

Utusan Online - Rencana


Politik buang masa pembangkang

Posted:

Politik buang masa pembangkang

Politik buang masa pembangkang

Oleh Zulkiflee Bakar
pengarang@utusan.com.my


Gaya Anwar Ibrahim menyampaikan ceramah politik.


APABILA pelbagai pihak bersetuju agar Datuk Seri Najib Tun Razak tidak membuang masa dengan melayan kehendak pembangkang untuk beliau berdebat dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim, ia adalah saranan yang tepat.

Perdana Menteri tidak perlu membuang masa melayan tuntutan tidak berfaedah tersebut memandangkan cadangan berdebat berkenaan bukan sahaja bertujuan bagi mengalih isu tetapi juga sememangnya strategi pembangkang untuk meraih simpati rakyat.

Sememangnya meraih simpati adalah strategi pembangkang dan Anwar sejak 1998 lagi. Apa sahaja isu yang berkaitan dengan Anwar akan dijadikan modal kononnya beliau adalah mangsa konspirasi politik UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Begitu juga apabila mereka mendakwa ceramah mereka disabotaj biarpun mereka sendiri mencari pasal masuk ke kubu kuat BN. Semua itu mereka lakukan dengan tujuan menggambarkan kepada rakyat bahawa mereka sentiasa sahaja berada dalam keadaan menjadi mangsa.

Hakikatnya dalam soal mengajak Perdana Menteri berdebat, pembangkang sudah kehabisan modal dan isu bagi menentang BN dalam pilihan raya umum akan datang.

Mereka hanya mengharapkan ceramah-ceramah yang dihadiri oleh ramai orang bagi meraih simpati dan sokongan, mereka akan gunakan kebijaksanaan bercakap untuk memutar belitkan fakta dan mengelirukan rakyat berhubung segala usaha kerajaan.

Pembangkang kini semakin terdesak dan terhimpit kerana dilanda satu demi satu isu yang memaksa mereka mengadakan ceramah bagi menunjukkan kononnya mereka berada di pihak yang betul. Pergilah ke ceramah Anwar atau pembangkang termasuk Pas, mereka tidak membentangkan apa yang boleh mereka lakukan bagi kesejahteraan rakyat dan negara jika memerintah.

Sebaliknya mereka menghabiskan banyak masa bagi menjawab isu-isu yang mereka sendiri cetuskan seperti isu sokongan kepada Israel. Isu tersebut ternyata memberi impak yang besar kepada pembangkang terutamanya Pas yang amat mengharapkan sokongan orang Melayu.

Kegagalan Pas untuk menunjukkan pendirian yang tegas dalam isu tersebut dengan menerima sahaja penjelasan Anwar ternyata akan merugikan Pas kerana orang Melayu melihat parti itu sanggup bertolak ansur dalam apa juga perkara asalkan dapat meraih kuasa bersama PKR dan DAP.

Bimbang kepada kemerosotan sokongan orang Melayu kepada pembangkang, maka Pas bersungguh-sungguh menyokong Anwar dalam apa keadaan sekali pun.

Tetapi orang Melayu sudah mulai sedar mengenai perjuangan Pas dan Anwar, malahan orang Melayu di kawasan luar bandar yang merupakan 37 peratus daripada kumpulan pengundi semakin memahami usaha kerajaan BN dalam meningkat taraf hidup mereka.

Oleh itu, jentera-jentera UMNO dan BN tidak perlu takut dengan strategi meraih simpati yang dilakukan oleh Anwar dan pembangkang, sebaliknya mereka perlu bergerak untuk memberi penjelasan kepada rakyat apa yang sudah dilakukan oleh kerajaan BN.

"Jelaskan kepada rakyat bagaimana BN masih boleh mentadbir negara dengan baik selepas pilihan raya umum lalu biar pun terpaksa berhadapan dengan politiking melampau daripada pembangkang.

"Terangkan kepada mereka, bagaimana kerajaan BN boleh bangunkan kawasan luar bandar dengan sekian banyak rumah dan jalan dalam keadaan tanpa majoriti dua pertiga.

"Beritahu mereka, bagaimana kerajaan masih mampu memberikan sumbangan RM500 melalui Bantuan Rakyat 1Malaysia, RM100 untuk pelajar sekolah dan baucer buku RM200 untuk pelajar institusi pengajian tinggi di saat-saat pembangkang siang malam menuduh BN tidak pandai menguruskan ekonomi negara," kata seorang pemimpin muda UMNO kepada penulis.

Pemimpin muda berkenaan memberi pandangan itu kerana beliau tidak mahu jentera BN dan UMNO terlalu takut kepada Anwar dan pembangkang sedangkan berbanding pembangkang yang hanya tahu menabur janji kosong dan meraih simpati, BN jauh lebih baik apabila menunaikan janji dan menyusun strategi bagi meningkat taraf hidup rakyat.

"Bayangkanlah bagaimana kalau BN ada majoriti dua pertiga dan mentadbir negara tanpa mainan politik kacau-bilau pembangkang, sudah pasti BN akan mampu melaksanakan semua agenda untuk rakyat lebih baik lagi,'' katanya.

Berdasarkan kepada hujah berkenaan maka tidak perlulah BN melayan cadangan debat atau apa sahaja desakan pembangkang yang bertujuan menganggu kelancaran BN untuk terus melaksanakan agenda untuk rakyat.

Pembangkang tidak ada kerja lain, tugas mereka hanya mencari salah kerajaan BN, mereka ibarat berusaha mencari isu di siang hari dan bertempik di pentas-pentas ceramah di malam hari. Oleh itu tidak perlulah BN melayan politik buang masa pembangkang itu. Kenapa perlu melayan satu pihak yang kononnya mampu mentadbir lebih baik tetapi apabila diberi kuasa memerintah beberapa negeri sudah kelam-kabut.

Sebaliknya tumpuan BN sekarang terus melaksanakan agenda transformasi yang digariskan oleh Najib bagi memastikan parti itu mampu meraih sokongan lebih besar dalam pilihan raya umum akan datang. Tidak payah melayan agenda reformasi demi meraih simpati pembangkang.

Sebaliknya tumpukan perhatian kepada usaha menunaikan janji melalui transformasi yang berteraskan kepada gagasan 1Malaysia Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan.

Pembangkang sudah hampir ke tahap muflis isu bagi membolehkan merampas Putrajaya. Mereka semakin bimbang dengan agenda dan pendekatan yang dilakukan oleh kerajaan BN dalam usaha memulihkan sokongan rakyat.

Tindakan melayan pembangkang termasuklah berdebat hanya akan menyebabkan BN masuk ke dalam perangkap pembangkang yang sememangnya mahu parti itu melayan kerenah remeh-temeh mereka agar agenda kerajaan untuk rakyat akan tergendala atau terbantut.

Sudah menjadi sikap pembangkang sejak dahulu lagi, dalam apa hal pun mereka hanya bermodalkan air liur, sebab itulah mereka mudah menabur janji, suka berceramah dan berdemonstrasi.

Ini berbeza dengan pendekatan BN yang melaksanakan segala janji dan tidak akan sesekali mencipta mimpi untuk rakyat seperti pembangkang 'membuai' penyokong-penyokong mereka berhubung impian ke Putrajaya.

Ingatkan bahawa pembangkang semakin terdesak dan tertekan, dari semasa ke semasa mereka semakin gagal untuk menunjukkan bahawa mereka jauh lebih baik daripada BN.

Pakatan mereka penuh perbezaan, tiada kesepakatan dan tiada arah tujuan, misi mereka hanya satu iaitu merampas tampuk kekuasaan. Justeru tidak perlulah jentera BN merasa gerun dengan Anwar dan kuncu-kuncunya dalam pembangkang termasuklah 'pak turut setia' mereka iaitu Pas.

Tiada apa yang harus digeruni dengan pembangkang, mereka hanya tahu meraih simpati tetapi tiada visi dan misi.

Perjuangan yang ikhlas demi kesejahteraan rakyat, bangsa, agama dan negara pasti akan menumbangkan perjuangan yang berlandaskan kepada matlamat menghalalkan cara.

Contohi prinsip niaga YNNA

Posted:

Contohi prinsip niaga YNNA

Contohi prinsip niaga YNNA

Oleh NIZAM YATIM
nizam.yatim@utusan.com.my


Dr. Mahathir Mohamad menerima kunjungan hormat Naib Presiden YNNA Holding Morocco, Omar Chaabi di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya kelmarin. Turut hadir Presiden Komita Sheikh Ahmad Dusuki Sheikh Mohamad (kiri) dan bekas Duta Malaysia ke Maghribi, Othman Samin (kanan).


RAKYAT Malaysia yang sering berurusan dengan syarikat dari Amerika Syarikat (AS) dan Jepun mungkin tidak mengenali YNNA Holding sebuah konglomerat terbesar yang berpangkalan di Maghribi.

Syarikat itu ditubuhkan oleh Miloud Chaabi, 83. Beliau diiktiraf oleh majalah Forbes sebagai individu keenam terkaya di Afrika pada 2011 dengan kekayaan sebanyak AS$3 bilion.

Konglomerat yang ditubuhkan pada 1948 dengan nama Kumpulan Miloud Chaabi telibat dalam pelbagai jenis perniagaan termasuk hartanah, rangkaian hotel Ryad Mogador, pasar raya besar Aswak Assalam, keluli, air mineral, simen dan tenaga boleh diperbaharui.

Pada 1986, konglomerat itu telah ditukar nama kepada YNNA Holding. YNNA adalah perkataan dalam bahasa Berber bermaksud 'Ibu'.

Ini selaras dengan prinsip konglomerat itu yang melihat hubungannya dengan anak- anak syarikatnya seperti hubungan ibu dan anak, berbeza dengan budaya kebanyakan syarikat Maghribi lain yang lebih kepada sifat kebapaan yang tegas dan bersifat dominan.

Sebenarnya, konglomerat itu dikagumi ramai kerana dapat berkembang tanpa sokongan langsung daripada pihak istana, ahli politik dan golongan elit perniagaan, sehingga Miloud sering digelar 'tokoh perniagaan yang berjaya hasil daripada usahanya sendiri'.

Kejayaan konglomerat itu berkembang pesat turut menarik perhatian pegawai-pegawai kerajaan Amerika Syarikat (AS) yang kehairanan bagaimana syarikat yang berasaskan kepada etika perniagaan Islam dapat semaju itu.

Komen pegawai-pegawai terbabit terkandung dalam kabel diplomatik Konsulat AS di Casablanca pada 2006 yang didedahkan oleh Wikileaks.

Antara faktor pegawai-pegawai AS menyifatkan YNNA berasaskan kepada etika perniagaan Islam adalah disebabkan ia tidak menjual arak dan rokok di semua pasar raya besar dan hotel miliknya dan syarikat itu paling lantang menentang pemberian rasuah bagi mendapat projek.

Konglomerat itu turut membiayai semua pelaburan menggunakan dana dalaman dan enggan membuat pinjaman bank kerana tidak mahu membayar 'kadar bunga' tinggi sebanyak lapan peratus yang bertentangan dengan prinsip-prinsip Islam.

Anak beliau, Omar Chaabi yang diminta mengulas etika Islam yang dipegang syarikat itu menegaskan ia bukan semata-mata kerana mematuhi ajaran agama sebaliknya disebabkan ia adalah sesuatu yang praktikal untuk diamalkan.

"Kita boleh menjual banyak barangan, oleh itu, kenapa kita perlu menjual barangan (arak dan rokok) yang boleh merosakkan orang ramai.

"YNNA juga tidak membuat pinjaman bank kerana penggunaan dana dalaman akan membolehkan kos projek yang dijalankan lebih murah berbanding pesaing," tegasnya yang juga Naib Presiden syarikat itu.

Sementara itu, Omar yang ditanya mengenai adakah YNNA yang kini hanya menjalin kerjasama dengan syarikat di Asia Barat dan Afrika akan memperluaskan kerjasama dengan syarikat Malaysia berkata, pihaknya bersedia berbuat demikian.

"Sikap keterbukaan kerajaan Maghribi kini membolehkan lebih banyak jalinan kerjasama perdagangan dapat dilakukan, bukan sahaja dengan Malaysia malah negara-negara ASEAN lain," ujarnya.

Omar telah melawat Malaysia selama tiga hari berakhir Rabu lalu bagi meninjau peluang kerjasama untuk membina kilang pemasangan kereta dan menubuhkan bank Islam pertama di Maghribi.

Sepanjang tempoh itu, beliau melawat kilang pemasangan kereta milik Proton Holdings Berhad di Shah Alam, Selangor dan mengadakan perjumpaan dengan pegawai-pegawai kanan Affin Islamic Bank Berhad.

Beliau juga melawat Taman Halal Pedas, Negeri Sembilan dan mengadakan kunjungan hormat ke atas Penasihat Proton, Tun Dr. Mahathir Mohamad di Putrajaya.

Langkah meninjau peluang perniagaan itu adalah susulan kepada kerjasama YNNA dengan Konsortium Usahawan Makanan dan Industri Asas Tani Sdn. Bhd. (Komita).

Kerjasama itu melibatkan penyenaraian produk terpilih Malaysia di tujuh cawangan rangkaian pasar raya besar, Aswak Assalam yang dimiliki oleh YNNA.

Dari 15 hingga 20 Disember lalu, pasar raya itu turut menganjurkan Minggu Karnival 1Malaysia Best bagi mempamerkan pelbagai produk Malaysia termasuk rempah ratus, madu, sos, murtabak, rempeyek, cip pisang, kayu gaharu, bunga daun getah dan batik.

Ketika karnival itu, Omar telah menyampaikan Anugerah Rakan Import Pertama 2011 kepada Komita sebagai pengiktirafan terhadap komitmen yang dimainkan oleh konsortium itu dalam memasarkan produk usahawan bumiputera Malaysia ke rangkaian pasar raya tersebut.

Omar ketika diminta mengulas penyenaraian produk Malaysia terbabit melahirkan perasaan bangga kerana kerjasama itu memberi peluang kepada pengimport Maghribi untuk membawa masuk pelbagai produk bagi kegunaan penduduk tempatan.

"Lagi pun sekarang, permintaan terhadap produk halal begitu menggalakkan termasuk daripada kalangan bukan Islam kerana ia dikaitkan dengan aspek kesihatan pengguna.

"Pihak kami percaya dengan harga yang berpatutan dan berkualiti, ia sama sekali tidak menghalang produk Malaysia untuk menembusi pasaran Maghribi," katanya yang merupakan lulusan dalam bidang pemasaran dari Universiti San Francisco, AS.

Adalah diharapkan kerjasama YNNA dengan syarikat tempatan dapat ditingkatkan lagi bagi membolehkan usahawan Malaysia menjadikan Maghribi sebagai batu loncatan untuk menembusi pasaran di benua Afrika.

Sikap YNNA untuk tidak terlalu mengharapkan bantuan kerajaan dan tidak berkompromi dengan prinsip-prinsip Islam seharusnya dijadikan contoh oleh usahawan bumiputera.

Jika konglomerat itu boleh berkembang pesat dengan mempunyai 18,000 pekerja di enam negara termasuk Mesir, Tunisia, Jordan, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan Equatorial Guinea tanpa hilang jati diri budaya dan prinsip keislaman, kenapa kita tidak boleh?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan