Rabu, 22 Februari 2012

Utusan Online - Rencana

Utusan Online - Rencana


Di mana telusnya slogan 'CAT'...

Posted:

Di mana telusnya slogan 'CAT'...

Di mana telusnya slogan 'CAT'...

Oleh ZULKIFLI JALIL
pengarang@utusan.com.my

TEMPOH hari, reka bentuk binaan tempat letak kereta di kaki Bukit Bendera didapati tidak sesuai. Petak-petak untuk letak kereta itu disedari hanya sesuai untuk kereta bersaiz Kancil. Itu belum termasuk siling binaan yang rendah.

Akhirnya binaan itu diputuskan untuk diruntuhkan dan dibina baru Ogos ini. Padahal kerja pembinaan menelan kos RM5 juta itu datangnya daripada peruntukan kerajaan Pusat kepada PDC. Tidakkah itu suatu pembaziran?

Itulah antara yang didakwa siri kelemahan slogan Cekap Akauntabiliti Telus (CAT) yang diperkenalkan Ketua Menteri kerajaan DAP Pulau Pinang, Lim Guan Eng sejak mengambil alih negeri itu pada 2008.

Demikianlah juga yang berlaku apabila pemaju dibenarkan untuk melaksanakan pembinaan 1,500 unit rumah dalam projek SPICE di atas tapak Pusat Konvensyen Antarabangsa Pulau Pinang (PISA). Dipersoalkan oleh Barisan Nasional (BN) negeri benarkah ia dilakukan melalui sistem tender terbuka.

Projek membabitkan kos RM300 juta hasil perjanjian konsesi SPICE itu ditandatangani oleh Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPP) dengan pemaju, Eco Meridian Sdn. Bhd., anak syarikat SP setia Berhad tahun lalu.

Namun pembinaan SPICE dikatakan hanya akan memberi kelebihan kepada pemaju menerusi pelbagai keistimewaan serta menyebabkan hasil yang sepatutnya dinikmati rakyat negeri itu hilang begitu sahaja.

"Dalam lawatan Perdana Menteri China tahun lepas, ketua menteri Guan Eng ambil kesempatan tandatangan MoU dengan satu syarikat China untuk membina terowong dari Teluk Air Tawar, Seberang Perai ke Gurney Drive di bahagian pulau yang akan melalui bawah pelabuhan Pulau Pinang, kita BN negeri juga persoalkan bagaimana syarikat itu dipilih, tidak ada langsung tender, tiba-tiba tandatangan MoU di depan kedua-dua Perdana Menteri (China dan Malaysia).

'Bila wakil BN tanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), dia jawab ini (MoU) tidak terpakai sebab kita (kerajaan negeri) nak panggil tender semula, sepatutnya bila sign MoU, dia kena hormatlah.

"Inilah antara dasar ketelusan yang kita (BN) persoalkan, di mana nilai slogan CAT itu," kata Setiausaha BN Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya kepada akhbar ini ketika ditemui di Pulau Pinang Isnin lalu.

Hilmi menarik perhatian lagi apabila dalam sidang DUN, DAP membentangkan suatu perancangan besar untuk menyelesaikan masalah lalu lintas di George Town dengan membina jalan sambungan dari Farlim ke Jalan Lim Chong Eu. Cadangan ini bagaimanapun didakwa dibuat tanpa kajian.

"Kita pun tak tahu bagaimana caranya kerajaan negeri DAP akan bayar kos yang tentu sekali tinggi. Malah, saya sendiri persoalkan logik kes, kalau nak selesaikan masalah lalu lintas, kenapa bawa trafik dengan perancangan terowong bawah pelabuhan dan jalan sambungan ini.

"Ini semua akan membawa aliran kenderaan ke pusat bandar. Disebabkan tidak ada pengalaman, kerajaan negeri umum dahulu, baru fikir kemudian," katanya.

Beliau seterusnya merujuk Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2010 mengenai Pulau Pinang. Antaranya, peruntukan pembangunannya berjumlah RM379.77 juta kepada sembilan jabatan, yang mana perbelanjaan hanya RM225.95 juta atau 59.5%.

Sejumlah lima jabatan, prestasi lebih 90%, dua jabatan prestasi 80% - 89%, satu jabatan prestasi 70% - 79%. Yang paling rendah ialah Pejabat Ketua Menteri iaitu hanya 54.7%. Ini kerana terdapat 23 projek yang tidak dapat disiap atau ditangguhkan.

"Apa projek-projek itu? Ia melibatkan enam projek pembesaran masjid dan sekolah agama, tiga projek perkuburan Islam, enam projek rumah kos rendah, tiga projek penyiasatan untuk pembangunan ekonomi Pulau Pinang, dua projek > membina Mahkamah Syariah serta masing-masing satu projek pembangunan sukan, pembangunan ICT dan projek bekalan air," katanya.

Kata Hilmi: "Namun ini langsung tidak ditegur oleh Exco-Exco dari Pas dan PKR, barangkali mungkin ada tegur tapi ketua menteri tak dengar, nampak seolah-olah ketua menteri autokratik, buat kerja sorang-sorang, partner daripada Pas dan PKR langsung tak ada peranan, inilah lompang pada pengamatan kita."

Begitu juga projek di tapak tebus guna tanah di utara Queensbay.

"Apa sudah jadi? Dulu masa BN dah diluluskan satu projek perumahan bercampur, rumah kos sederhana rendah, kos sederhana dan kos tinggi, lengkap dengan sekolah dan masjid.

"(Tetapi) sekarang di bawah Guan Eng, Pas dan PKR, rumah kos sederhana rendah, rumah kos sederhana dah hilang, yang ada rumah kos tinggi sahaja... sekolah dan masjid pun hilang juga.

"Macam ni pun rakan kongsi - Pas dan PKR tak berani tegur Guan Eng. Elok tak payah jadi kerajaan. Makin lama, makin terhakis hak kita," kata Hilmi.

Ketika baru tiga bulan mengambil kerajaan negeri, Guan Eng mengumumkan pula pencapaian Pulau Pinang sebagai negeri pertama berstatus miskin tegar sifar di negara ini. Namun mesyuarat PAC hujung tahun lepas merumuskan ramai pemilik rumah Perumahan Rakyat (PPR) tidak mampu membayar sewa. Disahkan bahawa keadaan ini disebabkan masalah miskin tegar yang masih ada di negeri itu.

Antaranya, dilaporkan keluh-kesah 20 keluarga miskin tegar di PPR Taman Bagan Jaya, Butterworth supaya mereka tidak dihalau keluar berikutan kegagalan membayar tunggakan sewa (bulanan RM124). Suatu ketika, dikejutkan pula dengan kisah seorang warga emas yang juga ibu tunggal di situ yang hanya bergantung kepada bantuan Pusat Urus Zakat (PUZ) sebanyak RM250 sebulan untuk membayar sewa rumah.

"Ini jelas menunjukkan apa yang berlaku tidak sama dengan apa yang kerajaan negeri cakapkan, benda yang tidak betul dikatakan betul," kata beliau.

Seperkara lagi yang menurut Hilmi bagaimana kerajaan DAP Pulau Pinang cuba mengelirukan rakyat negeri itu ialah apabila mendakwa dalam sidang DUN kononnya kerajaan Pusat hanya memperuntukkan RM700 juta kepada Pulau Pinang dari 2001 hingga 2008 padahal dakwa mereka pendapatan dari cukai kastam dan cukai pendapatan di negeri itu sahaja mencecah RM4 bilion setahun. Kalau dalam lapan tahun berapa, dakwa mereka.

"Ini satu lagi isu yang cuba dikelirukan kerajaan negeri. Hakikat sebenarnya ialah apa yang penduduk Pulau Pinang dapat adalah lebih daripada kutipan cukai. Cuba kita renung-renungkan betapa banyak projek pembangunan bernilai tinggi berbilion-bilion ringgit dibelanjakan setiap tahun untuk Pulau Pinang," kata beliau.

Pelabuhan, lapangan terbang dan kemudahan infrastruktur terbaik, semuanya ada di Pulau Pinang. Itu belum lagi dikira jambatan pertama sedia ada sepanjang 13 kilometer dan bakal menyusul dibina, jambatan kedua 24 kilometer yang antara terpanjang di dunia.

CAT wajar setara dengan keikhlasan pembawa slogannya.

Mewujudkan lebih ramai bilionair Melayu

Posted:

Mewujudkan lebih ramai bilionair Melayu

Mewujudkan lebih ramai bilionair Melayu

Oleh Tan Sri Muhammad Ali Hashim

BEBERAPA akhbar nasional minggu lalu melaporkan senarai warga Malaysia terkaya. Laporan yang memetik artikel majalah Malaysian Business menonjolkan Robert Kuok sebagai warga Malaysia terkaya dengan nilai harta RM45.7 bilion. Kuok diikuti Ananda Krishnan dengan RM42.9 bilion milik beliau.

Daripada jumlah 10 orang terkaya dalam senarai itu terdapat cuma seorang anak Melayu, iaitu Tan Sri Syed Mokhtar AlBukhary di tempat kelima (RM9.5 bilion). Ini bermakna, dari segi jumlah bilangan 10 bilionair terkaya, Melayu mempunyai bahagian 10 peratus. Namun, dari segi nilai kekayaan, nilai harta Syed Mokhtar cuma merupakan 6.1 peratus daripada jumlah RM155.7 bilion yang dimiliki oleh 10 bilionair terkaya di Malaysia.

Dalam senarai 40 orang warga terkaya Malaysia pula terdapat lapan orang Melayu-Muslim, iaitu cuma 20 peratus. Namun dari segi nilai harta, lapan orang Melayu- Muslim memiliki hanya RM19.9 bilion, atau 1.03 peratus daripada jumlah besar RM193.2 bilion nilai harta milik 40 warga terkaya. Jelas sekali ketinggalan dan betapa jauh terpinggirnya Melayu dalam pembahagian harta kekayaan negara berdasarkan pembahagian milik individu.

Laporan menyenaraikan individu jutawan dan bilionair terkaya menjadi satu 'trend' yang semakin menarik perhatian masyarakat Malaysia. Ia sebenarnya mencontohi negara kapitalis Barat, terutama Amerika Syarikat (AS), yang ghairah menjadikan jutawan dan bilionair individu sebagai ikon masyarakat menerusi senarai "Fortune 500" dan majalah Forbes.

Di Barat, khasnya di AS yang mengamalkan sistem ekonomi kapitalis berciri individualistik ekstrem, keghairahan menonjolkan individu terkaya sememangnya menjadi tradisi. Semua warga bisnes dan korporat akan berlumba- lumba mendapat tempat dalam senarai seperti ini. Siapa yang tidak mahu jadi kaya-raya! Memasuki dan mendapat tempat dalam senarai jutawan dan bilionair menjadi aspirasi hidup setiap warga bisnes dan korporat Amerika, iaitu dalam konteks sebuah negara sekular-materialis dengan falsafah hidup mengutamakan kebendaan. Justeru, mana-mana golongan dalam masyarakat Barat yang kecil jumlah jutawannya, akan dianggap lemah berbanding golongan lain, tidak berjaya, dipandang rendah dan disifatkan "masih belum sampai - has not arrived!"

Apakah dengan rendahnya bilangan jutawan dan bilionair individu Melayu-Muslim, umat Islam Malaysia harus turut memandang diri mereka kerdil, lemah dan "belum sampai" ke satu taraf ekonomi yang boleh membanggakan? Adakah kerana itu mereka ketinggalan, justeru darjat sosial mereka juga harus di pandang jauh lebih rendah daripada kaum lain? Ada bahayanya jika kita terlalu terpengaruh dengan persepsi Barat terhadap hak milik harta kekayaan peribadi dan individualistik. Kerana persepsi ini membuat ramai Melayu memberi keutamaan kepada dasar dan strategi menambah bilangan jutawan dan bilionair individu Melayu-Muslim. Kesannya, ada yang akan sanggup mencipta " bilionair segera" dengan menswasta atau "memfaraidkan" ekuiti milik GLC kepada individu.

Kerajaan juga boleh terpengaruh dengan pendekatan liberalisasi sehingga merancang untuk melepaskan pegangan dalam GLC tanpa berfikir panjang terhadap kesan sampingan yang memudaratkan kepentingan masa depan bangsa dan negara.

Apakah ada pilihan alternatif bagi Melayu- Muslim menguasai syarikat berbilion ringgit tanpa melebarkan jurang kaya-miskin, juga tanpa mengakibatkan ketidakadilan meluas yang berlaku sekiranya hak milik GLC diswastakan? Paradoks ini penting diatasi dengan penuh hikmah. Kerana, berlainan dengan nilai hidup Amerika yang berciri individualistik, masyarakat Melayu yang beragama Islam adalah berciri umat jamaah. Nilai hidup berjemaah menuntut pendekatan dasar dan strategi bercorak ijtimaai yang berupaya menggembleng tenaga dan keupayaan individu, tetapi bukan untuk kepentingan peribadi semata-mata.

Islam tidak anti kekayaan, malah kuat pro-bisnes sebagai salah satu sunnah besar Rasulullah SAW. Demikian juga, Islam tidak anti harta milik peribadi. Malah harta kekayaan peribadi dan swasta dilindungi dengan tegas oleh syarak. Masyarakat Islam Malaysia telah pun menyambut seruan ini, menjadikannya falsafah dan prinsip yang diterap ke dalam pendekatan dan strategi nasional, terutama di bawah Dasar Ekonomi Baru (DEB). Jutawan individu diketengahkan, tetapi bukan dengan mengetepikan hak dan kepentingan masyarakat besar dan kepentingan jangka panjang generasi muda dan generasi akan datang.

Di sinilah letaknya rasional dan pertimbangan utama negara dalam menentukan supaya sebahagian daripada hak milik ekuiti negara dipegang oleh institusi amanah dan GLC. Perhatikan, dengan kehadiran GLC sebagai institusi amanah dari sejak DEB dilancar, kepentingan besar masyarakat Malaysia untuk semua kaum dan keturunan lebih terjamin, terlindung dan terpelihara. Hasil daripada DEB, keadilan ekonomi dan kesejahteraan sosial dapat kita nikmati sampai ke hari ini.

Perhatikan juga betapa hak milik GLC sebagai institusi amanah berupaya memperkasa rakyat majoriti dan membela kedudukan mereka. Kehadiran GLC besar impaknya kepada pemerkasaan ummah, sekalipun semuanya bukan milik mereka secara langsung di sisi undang-undang.

Sebagai bukti, daripada 20 syarikat tersenarai (PLC) di Bursa Malaysia pada 17 Februari, 2012, 8 adalah milik GLC. Nilai pasaran modal (market capitalization) 8 syarikat ini berjumlah RM304.7 bilion, iaitu 42.9 peratus daripada jumlah nilai untuk ke 20 syarikat PLC teratas. Seterusnya, GLC seperti Johor Corporation memiliki 4 syarikat PLC dalam senarai 100 syarikat terbesar. Nilai keseluruhan syarikat PLC ini berjumlah RM13.7 bilion, iaitu memberikan kumpulan JCorp kedudukan ke 25 antara syarikat PLC di Malaysia, mengatasi syarikat Nestle Bhd. Selain itu, peranan GLC sebenarnya diiktiraf di beberapa negara lain seperti China, Singapura dan Brazil.

Majalah The Economist, The World in 2012 menyatakan nilai pasaran modal Bursa China membabitkan 80 peratus milik GLC, dan di Brazil 38 peratus. China, Singapura dan Brazil berpendirian tegas tidak menciplak sepenuhnya sistem kapitalis Barat dan sedang giat membina sistem pasaran alternatif. Kenapa pula Malaysia harus menciplak Kapitalis Barat secara membabi-buta?

Malangnya, nilai tinggi harta milik GLC sebagai institusi amanah langsung tidak diambil kira dalam senarai 40 warga terkaya Malaysia, kerana tumpuan masyarakat turut keterlaluan memberi keutamaan kepada harta milik peribadi. Seperti dinyatakan, ekuiti milik GLC dalam syarikat tersenarai melebihi 42 peratus, iaitu satu jumlah yang bukan kecil. Dalam kata lain, setelah diambil kira kepentingan nilai aset milik GLC yang mewakili semua warga negara, golongan majoriti rakyat Malaysia yang sebahagian besarnya bukan dari kalangan bisnes dan korporat, termasuk golongan miskin, turut mendapat tempat dan diperkasa kedudukan ekonomi dan sosial mereka.

Justeru, kedudukan kepentingan majoriti rakyat dalam ekuiti negara yang dimiliki menerusi institusi amanah GLC wajar dan wajib dipertahankan. Alangkah baiknya, untuk memantapkan lagi kepentingan rakyat jelata supaya lestari dan kekal berpanjangan, sekiranya sebahagian daripada ekuiti amanah milik GLC ini diwakafkan di bawah kendalian institusi Waqaf Korporat! Mewakafkan sebahagian ekuiti milik GLC menepati potensi wakaf sebagai penjana pembangunan umat, di samping menjanjikan hak milik kekal berpanjangan insya Allah, sekali gus menegakkan keadilan masyarakat. Mewakafkan ekuiti sebenarnya juga merupakan langkah "penswastaan", iaitu mengikut kaedah Islamik.dah berasaskan institusi. Ia jelas menepati seruan titah Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah di Seminar Wakaf di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Antara lain, Baginda berpendapat Waqaf Korporat "…adalah kaedah yang berupaya menampung lubang ketirisan yang pernah berlaku. Ia adalah jarum dan benang yang berupaya menjahit dan mencantumkan kembali DEB yang dirobek dan dikoyakkan oleh perbuatan menyimpang di masa lalu."

PENULIS ialah Timbalan Presiden, Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan