Isnin, 13 Februari 2012

Utusan Online - Rencana

Utusan Online - Rencana


Tekad jadikan KL bandar raya terbaik

Posted:

Tekad jadikan KL bandar raya terbaik

Tekad jadikan KL bandar raya terbaik

Oleh NIZAM YATIM
nizam.yatim@utusan.com.my

KEMENTERIAN Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar telah menetapkan 2020 sebagai tahun sasaran untuk Kuala Lumpur menjadi antara 20 bandar raya terbaik dunia.

Bagi memastikan matlamat itu tercapai, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebagai badan pelaksana perlu mempelajari kejayaan bandar raya terbaik dunia seperti Vienna (Austria), Zurich (Switzerland), Auckland (New Zealand), Munich dan Düsseldorf (Jerman) serta Vancouver (Kanada).

Antara ciri terbaik yang perlu ada bagi memperbaiki kedudukan Kuala Lumpur yang kini pada tangga ke-76 adalah mewujudkan sistem politik yang stabil, kadar jenayah rendah, sistem perbankan efisien, tiada tapisan yang melampau terhadap aktiviti sosiobudaya dan tiada sekatan terhadap kebebasan individu.

Ciri-ciri lain adalah sistem kesihatan terbaik, tiada penyakit berjangkit, bebas pencemaran udara, sistem pendidikan terbaik termasuk banyak sekolah antarabangsa, pengangkutan awam efisien, bekalan air dan elektrik sempurna, banyak kemudahan restoran, panggung wayang, sukan dan bebas bencana alam.

Mengulas perkara itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Ahmad Fuad Ismail berkata, DBKL telah membuat pelbagai perancangan rapi bagi mencapai sasaran itu termasuk mendapat input daripada warga kota mengenai rupa bentuk bandar raya yang ingin didiami mereka.

Menurut beliau, segala input itu kemudiannya dimasukkan ke dalam Draf Pelan Induk Bandar Raya Kuala Lumpur yang akan mula diwartakan pada Julai 2012.

"Bagi memastikan warga kerja DBKL benar-benar bersedia untuk melaksanakan segala perancangan yang telah dibuat, kita turut memperkenalkan buku Pelan Perancangan Strategik dan Pelan Strategik ICT DBKL 2010- 2020.

"Kedua-dua pelan ini menggariskan kaedah tadbir urus terbaik serta proses kerja yang jelas bagi memastikan semua 10,000 tenaga kerja di 28 bahagian DBKL tahu apa yang perlu dilakukan mereka," ujarnya ketika ditemui di pejabatnya di Kuala Lumpur, baru- baru ini.

Beliau menjelaskan, sasaran itu akan memberikan kesan positif kepada Malaysia keseluruhannya kerana ibu kota itu mencerminkan imej sebenar negara ini.

"Pelancong asing tidak dapat melihat keseluruhan Malaysia tetapi sekiranya mereka melihat Kuala Lumpur bagus dan bertaraf antarabangsa, sudah tentu imej seluruh negara juga bagus," ujarnya.

Ditanya bagaimanakah Kuala Lumpur dapat meningkatkan kedudukannya termasuk mengatasi Singapura yang kini berada pada tangga 25 terbaik dunia, beliau menegaskan, semua pihak perlu terlebih dahulu memahami sebab-sebab republik berkenaan mencapai kejayaan itu.

Pertama, jelas Ahmad Fuad, ia mempunyai infrastruktur terbaik berikutan sejak awal lagi diberi keutamaan sebagai pusat pentadbiran oleh kerajaan British berbanding Kuala Lumpur.

"Faktor kedua, Singapura memperkenalkan peraturan ketat yang dipatuhi majoriti penduduknya termasuk dari segi kebersihan dan penyelenggaraan bangunan yang didiami mereka," ujarnya.

Menurutnya, isu Kuala Lumpur ketinggalan dari segi kemudahan infrastruktur berbanding Singapura tidak lagi timbul kerana kerajaan telah melaksanakan perancangan perbandaran terbaik melalui projek Greater KL, Greener KL, membersih dan mengindahkan kawasan sungai melalui projek River of Life, memperkenalkan transit aliran massa (MRT), ruang khas pejalan kaki berbumbung dan menambah kamera litar tertutup (CCTV).

"Cuma dari segi sikap, itu yang kita masih ketinggalan dan ia perlu diubah dengan segera. Saya yakin perubahan sikap ini boleh menyelesaikan banyak isu termasuk jenayah jalanan, kebersihan, kemudahan perumahan awam yang sering dirosakkan, gelandangan, kerja mengorek jalan raya yang tidak ditampal semula dengan baik dan banjir kilat.

"Perubahan sikap bukan sahaja melibatkan warga kota malah ia juga meliputi semua semua pihak berkepentingan termasuk agensi Kerajaan Persekutuan lain, syarikat swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO)," katanya.

Jika kedua-dua faktor itu diatasi, beliau yakin Kuala Lumpur boleh mengatasi Singapura kerana ia mempunyai banyak kelebihan yang tidak dimiliki bandar raya itu seperti jumlah penduduk hanya 1.8 juta orang serta kos hidup dan menjalankan perniagaan yang lebih murah.

Mengenai langkah pihak tertentu yang berlumba-lumba untuk membina bangunan pencakar langit bersifat ikonik sedangkan kebanyakan bandar raya terbaik dunia tidak mempunyai bangunan sedemikian, katanya, DBKL tiada halangan.

"Ia boleh dibina sekiranya pihak berkenaan berkemampuan dari segi kewangan dan yakin dapat menyewanya semula dengan kadar pulangan munasabah.

"Bagi saya kita memerlukan lebih banyak bangunan sedemikian tetapi hendaklah dengan syarat ia tidak mendatangkan masalah di kemudian hari misalnya dari segi penyelengaraan, kekukuhan struktur, tidak menimbulkan kesesakan lalu lintas, kemudahan parkir mencukupi dan tidak menjelaskan alam sekitar," katanya.

Beliau berkata, keghairahan untuk membina bangunan ikonik itu harus diselarikan dengan usaha untuk mengekalkan ciri-ciri tradisi Kuala Lumpur yang kini berasaskan kepada seni bina Melayu Islam, India dan Cina serta lain-lain suku kaum.

Sementara itu, ditanya mengenai kontraknya sebagai Datuk Bandar yang akan berakhir pada Julai ini, Ahmad Fuad, 59, berkata, semua orang harus menerima hakikat apabila telah tiba masanya untuk berundur.

"Kita tak boleh buat semua, itu hakikat pertama yang perlu kita faham. Keduanya, kita juga perlu menerima hakikat bahawa barangan juga mempunyai tarikh luput," katanya yang berkelulusan Sarjana Pentadbiran (Perhubungan Antarabangsa) dari Universiti Denver, Amerika Syarikat.

Oleh itu, ujar Ahmad Fuad, sekiranya sudah sampai masa untuk beliau menyerahkan baton, itu adalah ok baginya dan sama ada penggantinya boleh menjalankan tugas atau tidak, itu bukan tugasnya untuk menentukan.

"Saya tak boleh menyatakan sesiapapun tidak boleh mengambil alih tugas saya kerana saya lebih pandai. Tidak boleh, kerana kita bekerja sebagai satu pasukan, bukan secara individu," ujarnya yang dilantik ke jawatan itu sejak Disember 2008.

Bekas Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang berasal dari Bandar Bharu, Kedah turut menjelaskan, beliau telah menyediakan buku pedoman budaya kerja, pengurusan kewangan terbaik dan sikap positif yang boleh dirujuk oleh kakitangan DBKL walaupun setelah ketiadaannya.

Sebenarnya, siapakah yang bakal dilantik sebagai Datuk Bandar selepas ini tidak penting. Keutamaan kita adalah untuk bekerja secara berpasukan bagi menjadikan Kuala Lumpur bandar raya terbaik untuk semua pihak tanpa mengira agama, kaum dan latar belakang.

Sebagai motivasi untuk kita semua, hayatilah sebahagian lirik lagu Senyumlah Kuala Lumpur nyanyian kumpulan Alleycats.

Di lebuh raya

Di papan tanda

Tergambar wajahmu

Dengan kalimat

Cinta untuk kita

Semoga kekal selamanya

Dewan Pemuda 'penyelamat' Pas?

Posted:

Dewan Pemuda 'penyelamat' Pas?

Dewan Pemuda 'penyelamat' Pas?

Oleh Zulkiflee BAKAR
pengarang@utusan.com.my


Barisan kepimpinan Dewan Pemuda Pas yang perlu berani untuk tampil menyatakan yang benar itu benar.


BUAT kali kedua, Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas, Nik Abduh Nik Abdul Aziz sekali lagi tampil menegur Pengerusi DAP, Karpal Singh berhubung perkara berkaitan dengan pendirian Pas.

Kali ini, anak kepada Mursyidul Am Pas itu menyelar Karpal yang tidak bersetuju dengan pendirian Pas menentang sambutan hari kekasih.

Sambil meminta Karpal belajar menghormati agama lain, Nik Abduh turut menegaskan peguam itu sepatutnya tidak memaksa pandangannya diterima oleh orang lain.

Untuk rekod, Nik Abduh juga pada 23 September tahun lalu, meminta Karpal menghormati pendirian kerajaan Pas Kelantan untuk melaksanakan hukum hudud kerana ia adalah hak masyarakat beragama Islam sebagaimana Pas menghormati sebarang tuntutan orang bukan Islam.

Hakikatnya, dalam isu-isu melibatkan prinsip perjuangan Pas, Dewan Pemuda Pas dilihat lebih ke depan. Sebelum ini, ketika pemimpin-pemimpin utama Pas mengamalkan sikap membisu dalam isu Seksualiti Merdeka, dewan tersebut juga muncul menentang penganjuran acara songsang berkenaan.

Malahan, Dewan Pemuda Pas juga menyokong ketegasan Datuk Dr. Hasan Ali mempertahankan akidah umat Islam di Selangor biar pun apabila bekas Pesuruhjaya Pas Selangor itu dipecat, mereka menyokong tindakan berkenaan.

Tetapi tidak apalah mungkin dalam isu Dr. Hasan, Dewan Pemuda Pas tidak mahu dilihat bertentangan dengan keputusan yang dibuat Jawatankuasa Pas pusat.

Bagaimanapun dalam beberapa isu adalah jelas Dewan Pemuda Pas lebih jauh ke depan dan dilihat lebih berani berbanding Pas induk yang dikatakan begitu menjaga hati sekutu parti tersebut, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

Namun begitu apa yang diharapkan oleh penyokong-penyokong Pas adalah Dewan Pemuda parti itu tidak mengamalkan sindrom pepsi cola - satu sindrom yang pernah dikatakan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kepada mereka suatu ketika dulu.

Ketika ini bagi penyokong-penyokong Pas, Dewan Pemuda boleh menjadi 'penyelamat' kepada masa depan parti itu yang dilihat semakin kelam-kabut akibat keghairahan untuk memburu kuasa bersama PKR dan DAP.

Keterujaan untuk ke Putrajaya dilihat banyak menjejaskan kredibiliti Pas sebagai parti yang memperjuangkan Islam, malahan paling mengecewakan penyokong Pas ialah dasar memperjuangkan penubuhan negara Islam dikorbankan.

Ini belum lagi termasuk sikap Pas yang tidak bertegas dalam soal mempertahankan perkara berkaitan dengan Islam.

Justeru dalam keadaan Pas dilihat teraba-raba mencari jalan politik yang perlu dituju dan hanya menjadi 'pak turut' dalam pakatan pembangkang, ketegasan Dewan Pemuda Pas amat dialu-alukan.

Walaupun mungkin ketegasan Dewan Pemuda yang diketuai oleh Nasrudin Hassan tidak akan begitu digemari oleh pemimpin- pemimpin Pas yang begitu teruja bersahabat dengan PKR dan DAP namun mereka perlu menunjukkan ketegasan.

Dewan Pemuda Pas perlu faham, Pas kini bukanlah sebuah parti yang dilihat berprinsip dan konsisten dalam perjuangannya.

Sebaliknya parti itu dianggap sanggup mengorbankan segala-galanya demi untuk merebut kuasa dengan matlamat menumbangkan Barisan Nasional (BN) yang UMNO menjadi parti utama.

Oleh itu, jika Dewan Pemuda Pas turut bersikap hanya 'pak turut' dengan membiarkan sahaja parti tersebut diperkotak-katikkan oleh PKR dan DAP, maka mereka juga perlu bertanggungjawab jika Pas ditolak oleh rakyat.

Walaupun Dewan Pemuda Pas perlu mengikut peraturan yang telah digariskan oleh parti namun Perlembagaan Pas bukanlah kitab al-Quran yang tidak boleh dipinda. Dewan Pemuda perlu berani untuk tampil menyatakan yang benar itu benar dan yang batil itu batil.

Penulis sering membaca mengenai program tarbiyah yang dilakukan oleh Dewan Pemuda Pas, ia ternyata bermatlamat melahirkan mujahid atau pejuang Islam sejati tetapi semua itu tidak akan bermakna jika perjuangan Islam semakin dipinggirkan oleh Pas.

Sebab itulah Dewan Pemuda Pas perlu bertindak sebagai 'penyelamat' kepada parti berkenaan untuk memastikan biar pun apa pun berlaku, Pas perlu mempertahankan prinsip perjuangannya.

Kita amat memahami bahawa bukanlah satu tugas yang mudah untuk Dewan Pemuda Pas berbuat demikian apatah lagi dengan wujudnya 'parasit-parasit' dalam parti itu tetapi mereka tidak ada pilihan.

Dewan Pemuda Pas boleh terus membiarkan Pas induk 'hanyut' dengan agenda politik memburu kuasa sehingga meninggalkan perjuangan Islam atau bertindak menjadi 'benteng terakhir' kepada parti itu.

Walaupun pemimpin-pemimpin Pemuda Pas akan dianggap tidak layak untuk memberi nasihat atau pandangan kepada parti induk berhubung sesuatu keputusan yang dibuat secara bersama dengan sekutu-sekutunya, namun jika ia berkaitan dengan masa depan dan arah tuju perjuangan Pas serta dilihat hanya menyebabkan kerugian kepada parti itu, maka Dewan Pemuda Pas tidak boleh berdiam diri.

Dewan Pemuda perlu faham bahawa di peringkat akar umbi perasaan tidak puas hati terhadap perjalanan parti berkenaan semakin ketara.

Mereka melihat pemimpin-pemimpin Pas semakin lemah dan tidak bermaya untuk mempertahankan kredibiliti Pas sebagai parti Islam. Oleh itu adalah menjadi tanggungjawab dewan berkenaan memulihkan kembali kredibiliti tersebut.

Sama ada Dewan Pemuda Pas hendak mengakui atau tidak, persoalan ke arah mana perjuangan parti itu begitu ketara di kalangan orang Melayu dan umat Islam.

Orang Melayu melihat Pas terlalu tunduk kepada PKR dan DAP serta mengamalkan sikap 'double standard' apabila melihat isu berkaitan pakatan pembangkang.

Pas dilihat 'memejam mata' apabila ada isu berkaitan dengan pakatan berkenaan tetapi begitu riuh-rendah apabila ia melibatkan pemimpin-pemimpin BN khususnya UMNO.

Oleh itu sikap 'double standard' ini tidak boleh dibiarkan berterusan kerana ia akan menjejaskan imej Pas yang sepatutnya berperanan sebagai penegak kebenaran.

Satu lagi perkara yang perlu diperbetulkan dan mungkin juga tidak harus dilakukan oleh Dewan Pemuda Pas ialah menyalahkan UMNO terhadap apa yang berlaku di dalam pakatan pembangkang.

Janganlah mengamalkan sikap apabila tercetusnya isu antara pakatan pembangkang maka UMNO dituduh menjadi dalangnya sedangkan segalanya akibat kelemahan mereka sendiri.

Apa pun kita tidak pasti sejauh manakah keberanian dan kelantangan Dewan Pemuda Pas akan berterusan terutamanya apabila melibatkan sikap PKR dan DAP.

Tetapi apa yang pasti, setakat ini Dewan Pemuda Pas diletakkan harapan yang tinggi oleh penyokong-penyokong Pas untuk 'menyelamatkan' perjalanan politik parti itu. Mereka tidak mahu Pas hanya sekadar menjadi 'pak turut' dan mengiakan sahaja apa yang dilakukan oleh PKR dan DAP.

Pas bukanlah parti kecil dan tidak berwibawa, sebaliknya ia adalah sebuah parti yang jauh lebih besar serta berwibawa berbanding kedua-dua rakan sekutunya.

Namun segala sudah berubah akibat pengaruh pihak luar yang sedikit demi sedikit menghakis jati diri Pas. Oleh itu pilihan di tangan Dewan Pemuda Pas sama ada lantang bersuara demi kebenaran atau turut dibuai dengan impian merebut kekuasaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan