Rabu, 15 Februari 2012

Utusan Online - Politik

Utusan Online - Politik


Taktik cuba selamatkan Anwar dalam isu Israel

Posted:

Taktik cuba selamatkan Anwar dalam isu Israel

Taktik cuba selamatkan Anwar dalam isu Israel


DR. MAHATHIR Mohamad menandatangani buku kepunyaan pelajar Universiti Perdana, Mohamed Nabil di Serdang, Selangor, semalam. - UTUSAN/Wahidah Zainal


KUALA LUMPUR 15 Feb. - Dakwaan kononnya Malaysia juga mempunyai hubungan dengan Israel adalah satu taktik yang dilihat cuba menyelamatkan imej Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Malah, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, tidak mustahil dakwaan itu dikeluarkan oleh Israel sendiri sebagai sokongan kepada Anwar yang kini dikecam banyak pihak ekoran kenyataan beliau menyokong rejim Zionis itu baru-baru ini.

''Saya melihat pendedahan statistik mengenai perniagaan antara Malaysia dan Israel itu adalah usaha pihak-pihak tertentu untuk menyokong Anwar. Malah, tidak mustahil ia dilakukan oleh rakan-rakan Anwar di negara itu sendiri kerana beliau sememangnya 'kawan baik' Israel.

''Tetapi pada hakikatnya, kita tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel," kata beliau kepada pemberita selepas sesi bertemu dengan pelajar dan kakitangan Universiti Perdana di Serdang, dekat sini, hari ini.

Dr. Mahathir berkata demikian sebagai reaksi kepada desakan pelbagai pihak termasuk Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Nik Mat yang meminta Anwar membuat kenyataan terbuka sama ada mahu menarik balik sokongan terhadap Israel atau menyaman The Wall Street Journal (WSJ) yang mengeluarkan kenyataan beliau itu.

Bagaimanapun beberapa blog propembangkang yang dilihat cuba menyelamatkan imej Anwar mendakwa, terdapat bukti bahawa dua syarikat di Johor berdagang minyak kelapa sawit dengan rakan perniagaan mereka dari Israel.

Menurut Dr. Mahathir, kenyataan Anwar yang menyokong Israel itu menunjukkan bahawa beliau adalah individu yang tidak boleh dipercayai.

Tambah beliau, Anwar juga merupakan individu yang boleh menjelma menjadi pelbagai 'jenis' manusia serta tiada pegangan tetap mengenai apa sahaja.

''Kalau dengan orang Cina, dia (Anwar) jadi orang Cina, kalau dengan orang Melayu, dia jadi orang Melayu, kalau dengan orang Islam, dia jadi ulama.

''Bila dengan Israel, dia menyokong Israel," katanya.

Ketika ditanya mengenai dakwaan bahawa Malaysia menghentikan penghantaran minyak masak ke Iran tetapi tidak ke Israel, Dr. Mahathir berkata, perkara itu perlu disahkan kebenarannya oleh kerajaan.

Begitupun kata beliau, apa yang perlu difahami ketika ini juga adalah hakikat bahawa kerajaan menerima tekanan yang cukup kuat daripada kuasa besar dunia terutamanya Amerika Syarikat (AS) dalam beberapa perkara.

''Jika kita tidak ikut, banyak halangan dan ugutan yang akan dikenakan seperti menghalang bank-bank negara itu menjalankan perniagaan di sini.

''Kita sebenarnya tidak bebas walaupun kita sudah merdeka," katanya.

Tidak mengundi rugikan masa depan sendiri

Posted:

Tidak mengundi rugikan masa depan sendiri

Tidak mengundi rugikan masa depan sendiri

SHAH ALAM 15 Feb. - Rata-rata orang ramai menyifatkan sikap sejumlah 3.7 juta rakyat terutama orang Melayu yang masih enggan mendaftar sebagai pengundi sebagai suatu yang merugikan masa depan negara.

Seorang peniaga dari Subang USJ, Saiful Ahmad, 25, berkata, sikap tidak ambil berat itu merugikan diri sendiri sedangkan hak untuk memilih pemimpin termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

''Jika kita mensia-siakan peluang untuk memilih kepimpinan negara mengikut kehendak kita, ini bermakna kita tidak berminat untuk mencorak masa depan dengan menggunakan kuasa satu undi yang diberi oleh Perlembagaan Persekutuan.

''Orang Melayu patut sedar kerana kaum lain berlumba-lumba mendaftar sebagai pengundi untuk menentukan masa depan negara mengikut kemahuan mereka sebaliknya kita terus lalai," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan akhbar hari ini yang memetik ingatan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof kepada lebih 3.73 juta rakyat negara ini berumur 21 tahun dan ke atas yang belum mendaftar sebagai pemilih agar tidak menyesal jika mereka tidak berpeluang mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti.

Seorang lagi peniaga, Ahmad Idris, 31, mahu kerajaan mewajibkan pendaftaran sebagai pengundi kerana orang muda hari ini perlu didisiplinkan melalui cara itu.

''Jika tidak diwajibkan mendaftar sebagai pengundi, maka jadilah kita rakyat yang tidak ada komitmen dengan hala tuju negara dan hanya sibuk mengkritik di kedai kopi setelah calon pilihan mereka tidak menang," katanya.

Sementara itu, seorang penjawat awam dari Petaling Jaya, Mohd. Aidi Nur Azhar, 27, berkata, kerajaan perlu menggubal undang-undang untuk mewajibkan pendaftaran sebagai pengundi secara mandatori.

''Contohnya, kita amat terkejut negeri yang kecil seperti Perlis mencatatkan sebanyak 16.6 peratus atau 25,856 penduduk yang layak menjadi pemilih tetapi masih belum mendaftar. Jadi SPR perlu mengadakan kempen secara agresif di negeri tersebut," katanya.

Seorang pesara, Rahmat Musip,56, berkata, SPR perlu melakukan kempen besar-besaran untuk menggalakkan golongan muda mendaftar sebagai pemilih.

''Generasi Y hari ini hidup dalam kemewahan dan tidak sedar ia adalah hasil usaha kerajaan yang dipilih melalui PRU12 yang lalu.

''Jadi, kita cadangkan agar SPR memilih lokasi yang menjadi tumpuan golongan muda seperti stesen bas dan LRT serta panggung wayang untuk mengadakan kempen daftar mengundi dan bukannya hanya mengharapkan liputan media semata-mata," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan