Selasa, 14 Februari 2012

Utusan Online - Politik

Utusan Online - Politik


Perjuangan pakatan pembangkang tidak sehaluan – Timbalan Perdana Menteri

Posted:

Perjuangan pakatan pembangkang tidak sehaluan – Timbalan Perdana Menteri

Perjuangan pakatan pembangkang tidak sehaluan – Timbalan Perdana Menteri

POKOK SENA 14 Feb. – Desakan Pas agar Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menarik balik kenyataannya yang menyokong sebarang usaha memastikan keselamatan negara Israel, menjelaskan bahawa kedua- dua parti tersebut tidak sehaluan dalam pandangan dan perjuangan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, parti-parti di bawah pakatan pembangkang iaitu Pas, DAP dan PKR walaupun bergabung, namun sentiasa mempunyai pandangan yang berbeza dan tidak sehaluan.

"Kenyataan Nik Aziz (Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) mencabar Anwar itu sesuatu yang sangat serius menjelaskan bahawa terdapat pertelingkahan antara mereka. Lebih banyak Hadi (Datuk Seri Abdul Hadi Awang), Nik Aziz dan Anwar bercakap, lebih ketara perbezaan dan pemikiran mereka.

"Rakyat harus ambil iktibar daripada perkara ini supaya mereka faham siapa sebenarnya pakatan pembangkang. Ini satu iktibar atau peringatan kepada rakyat tentang siapa mereka, perjuangan mereka, ideologi mereka dan perjuangan pemimpin dalam pakatan pembangkang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Bersama Rakyat di Padang Awam Desa KEDA, Batu 13 di sini sempena lawatan sehari beliau ke Kedah hari ini.

Hadir sama Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Chor Chee Heung; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Ahmad Bashah Md. Hanipah dan Timbalannya, Datuk Mukhriz Mahathir yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Akhbar ini hari ini melaporkan tentang Pas mendesak Anwar supaya menarik balik kenyataannya yang menyokong sebarang usaha memastikan keselamatan negara Israel seperti yang disiarkan dalam The Wall Street Journal (WSJ) baru- baru ini.

Nik Abdul Aziz selaku Mursyidul Am Pas meminta Anwar supaya menyaman WSJ sekiranya kenyataan tersebut telah diputar-belitkan oleh media berkenaan.

Muhyiddin menambah, pertelingkahan dalam pakatan pembangkang jauh berbeza daripada Barisan Nasional (BN) yang mempunyai pandangan dan fahaman yang serupa dalam sesuatu isu.

Mengenai kenyataan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bahawa lebih 3.7 juta rakyat belum mendaftar sebagai pemilih, kata beliau, perkara itu sesuatu yang merugikan rakyat sendiri.

"Penting untuk mendaftar sebagai pemilih. Ini satu tanggungjawab untuk mereka (rakyat) lakukan. Kalau tak mendaftar mereka yang rugi kerana tak dapat tentukan kepimpinan negara. BN beri perhatian kepada pendaftaran pemilih," katanya.

Penyokong PKR bidas tindakan Pas

Posted:

Penyokong PKR bidas tindakan Pas

Penyokong PKR bidas tindakan Pas

Oleh ZULKIFLEE BAKAR
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 14 Feb. - Kata dua yang diberikan oleh Majlis Syura Ulama Pas kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung kenyataan beliau menyokong usaha melindungi keselamatan negara Israel mula menimbulkan perbalahan antara penyokong parti tersebut dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Ia berikutan tindakan majlis berkenaan, semalam yang meminta Penasihat PKR itu menarik balik kenyataannya atau menyaman The Wall Street Journal, dianggap tidak wajar dan tidak melambangkan semangat setiakawan dalam pakatan pembangkang.

Menurut sumber PKR, penyokong parti itu menganggap tindakan Majlis Syura Ulama Pas dan Mursyidul Am parti itu, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat membuat kenyataan terbuka dalam memberi kata dua berkenaan boleh menjejaskan imej pakatan tersebut.

Mereka mempertikaikan kenapakah Pas tidak berunding atau membawa isu berkenaan ke mesyuarat pakatan pembangkang supaya ia boleh diselesaikan secara muafakat.

Sumber itu juga memberitahu, penyokong PKR juga bertanya, apakah Pas kini sudah tertekan kerana dianggap telah meninggalkan perjuangan Islam sehingga sanggup memberi kata dua kepada pemimpin utama pakatan sendiri.

Bagaimanapun bagi penyokong Pas, mereka menganggap tindakan Majlis Ulama itu adalah tepat kerana Anwar dilihat sudah banyak melakukan tindakan yang dilihat memberi masalah kepada pembangkang.

Malahan sumber dalaman Pas percaya, 'serangan' atau kritikan terhadap keputusan Majlis Syura Ulama tersebut adalah sebahagian tindak balas penyokong-penyokong PKR dan Anwar terhadap blog-blog pro-Pas yang mengkritik PKR berhubung isu yang berlaku di Selangor.

Sementara itu, sebuah blog pro pakatan pembangkang secara terbuka mengkritik keputusan Majlis Syura Ulama dan Nik Abdul Aziz.

Dalam blog suarapakatanrakyat.com, penulisnya mempertikaikan kenapa tidak ada seorang pun kepimpinan tinggi Pas yang meluangkan sedikit masa bertanyakan hal sebenar berhubung kenyataan tersebut dengan Anwar sendiri.

''Walaupun surat tersebut tidak ada signifikan dari segi Pakatan Rakyat itu sendiri tapi dari sudut moral dan politiknya, ia melambangkan kewujudan perpecahan dalaman yang serius sedang berlaku dalam Pakatan Rakyatnya,'' kata penulis berkenaan.

Selain itu, penulis itu juga menegaskan, beliau tidak nampak keperluan Pas memberikan kata dua kepada Anwar.

''Membincangkan soal Anwar di dalam mesyuarat Majlis Syura Ulama itu sendiri pun sudah agak keterlaluan (Anwar bukan ahli Pas), apatah lagi mengutuskan surat dan memaksa beliau untuk membuat pilihan mana yang perlu diikutinya,'' kata penulis tersebut.

Sehubungan itu, penulis tersebut mendakwa, Majlis Syura Ulama Pas dilihat 'menari' mengikut rentak putar belit yang gendangnya dipalu UMNO berhubung dengan perkara tersebut.

Malahan penulis itu yang cuba mempertahankan Anwar menegaskan, kenyataan pemimpin PKR itu perlu dilihat dari konteks yang betul, iaitu berkaitan dengan konsep Penyelesaian Dua Negara yang diterima Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sendiri.

''Penulis sedar Pas sedang terdesak untuk turut sama bersetuju dalam hal ini dengan Anwar kerana isu Israel ini dijadikan perkara yang terlalu sensitif pada satu masa untuk menentang UMNO dan BN terutama pada dekat 80-an hingga 90 an.

'' Hakikatnya banyak perkara telah berubah sejak itu dengan lebih banyak negara Islam kini mengiktiraf kewujudan negara Yahudi tersebut,'' kata penulis blog itu lagi.

Penulis berkenaan mendakwa Nik Aziz, telah diberi maklumat yang salah berhubung kenyataan Anwar sehingga membawa kepada keputusan majlis syura itu.

''Penulis juga kesal kerana Nik Aziz tidak menggunakan pertimbangan yang betul sebelum membuat keputusan demikian, di samping masih lagi menggunakan media UMNO seperti Utusan Malaysia untuk menyatakan pendirian parti.

''Untuk dua perkara ini sahaja Nik Aziz, Majlis Syura Ulama dan Pas sendiri sudah sewajarnya diberikan surat tunjuk sebab oleh kepimpinan Pakatan Rakyat sendiri.

''Ada masanya penulis tidak faham kenapa Nik Aziz tidak menggunakan pendekatan biasa dalam mendapatkan penjelasan dari Anwar. Penulis rasa cukup dengan berbisik di telinga masing-masing pun semua kekeliruan dapat diurai. Tak perlulah surat-surat semua ini pun,'' kata penulis tersebut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan