Ahad, 12 Februari 2012

Utusan Online - Politik

Utusan Online - Politik


Label ‘parti ajaran sesat’: MB Terengganu sedia disaman Pas

Posted:

Label 'parti ajaran sesat': MB Terengganu sedia disaman Pas

Label 'parti ajaran sesat': MB Terengganu sedia disaman Pas

HULU TERENGGANU 12 Feb. – Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said enggan tunduk kepada desakan Pas yang memberi tempoh tiga hari agar beliau menarik balik kenyataannya mendakwa parti itu sebagai 'parti ajaran sesat'.

Malah, Ahmad bersedia disaman oleh Pas berhubung dakwaan itu sambil menyerahkan kepada parti berkenaan untuk memilih sama ada kes itu dibawa ke mahkamah sivil atau mahkamah syariah.

Beliau tidak sesekali gentar dengan desakan parti tersebut kerana yakin dakwaan terhadap Pas itu mempunyai kebenaran berdasarkan banyak bukti kukuh.

"Ikut pandai dia lah (terserah pada Pas), saya tunggu (bila Pas akan saman). Saya tak akan tarik balik.

"Terserah pada dia sama ada nak bawa kes ini ke mahkamah sivil atau mahkamah syariah. Nak saman, saman lah. Tapi dia kata kita (BN dan UMNO) macam-macam tak apa. Dia kata kita kafir tak apa," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di daerah ini hari ini.

Ahmad diminta mengulas mengenai pendiriannya berhubung desakan Pas agar beliau menarik balik kenyataannya selepas melabelkan Pas 'parti ajaran sesat'.

Minggu lalu, Pas memberi tempoh tiga hari kepada Ahmad agar menarik balik kenyataannya bahawa parti itu merupakan 'parti ajaran sesat'.

Amaran itu dinyatakan Anggota Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Abu Bakar Chik bahawa sekiranya dalam tempoh berkenaan Ahmad tidak menarik balik kenyataannya, parti itu akan mengambil tindakan terhadapnya.

Ahmad yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri berkata, penyelewengan dan kesesatan yang dibawa Pas terhadap umat Islam bukanlah perkara baru, malah sudah lama diketahui rakyat.

Bukti jelas dan nyata, kata beliau, adalah 'Amanat Haji Hadi' dan Peristiwa Memali yang mencabar keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan dan Majlis Fatwa Negeri Kedah.

"Selagi Tok Guru mereka (Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang) tidak menarik balik amanat itu, selagi itulah Pas berada dalam kesesatan bersama sebahagian pengikutnya yang begitu taksub," tegasnya.

Pemuda UMNO Kelantan selar Menteri Besar

Posted:

Pemuda UMNO Kelantan selar Menteri Besar

Pemuda UMNO Kelantan selar Menteri Besar

KOTA BHARU 12 Feb. – Pemuda UMNO Kelantan menyelar tindakan Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang berprasangka buruk dan melemparkan tohmahan bahawa premis judi dan amalan riba akan 'subur' sekiranya Barisan Nasional (BN) menawan negeri itu.

Naib Ketuanya, Rosmadi Ismail (gambar) berkata, sebagai seorang yang bergelar ulama, Nik Abdul Aziz tidak sewajarnya mengeluarkan kenyataan seperti itu sedangkan selepas 21 tahun Pas memerintah negeri itu masalah tersebut tidak dapat dihapuskan.

Beliau berkata, ia jelas terbukti apabila masalah sosial sentiasa meningkat di negeri itu berbanding negeri-negeri lain yang diperintah BN.

"Sebagai contoh, Kelantan berada di kedudukan teratas dalam kes jangkitan HIV berbanding negeri lain begitu juga dengan penagihan dadah dan perceraian yang kian meningkat pada setiap tahun.

"Kalau kata judi tidak ada di Kelantan, itu menipu, nombor ekor di mana saja, di kedai kopi ada jual, begitu juga dengan loteri, jika media tidak bising sebelum ini, sampai sekarang masih ada jual tiket-tiket loteri secara terbuka.

"Apakah ini sumbangan Pas selepas 21 tahun memerintah Kelantan, masalah sosial semakin menjadi-jadi, jangan tohmah orang macam-macam sedangkan diri sendiri pun tidak boleh jaga," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Nik Abdul Aziz yang membayangkan Kelantan akan subur dengan premis judi dan amalan riba sekiranya BN dapat menawan kembali negeri itu pada pilihan raya umum akan datang.

Rosmadi berkata, rakyat boleh menilai sendiri siapa yang benar-benar mengembangkan Islam di negara ini dan siapa yang mempergunakan agama untuk kepentingan politik.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan