Sabtu, 11 Februari 2012

Utusan Online - Politik

Utusan Online - Politik


BN tidak tergugat isu individu

Posted:

BN tidak tergugat isu individu

BN tidak tergugat isu individu

IPOH 11 Feb. – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menolak andaian kononnya Barisan Nasional (BN) dijangka sukar memperoleh kemenangan besar dalam Pilihan Raya Umum ke-13 ekoran kegagalan menyelesaikan beberapa isu yang dikaitkan dengan pemimpin kerajaan.

Beliau sebaliknya berkata, tidak semua isu yang dibangkitkan terutama pembangkang wajar dikaitkan dengan kerajaan, lebih-lebih lagi jika ia bersifat individu.

"Tak banyak mereka yang terlibat, janganlah buat andaian. Pihak sana (pembangkang) pun banyak skandal. Kita ambil kes demi kes dan saya tidak fikir begitu banyak kes sehingga begitu sukar untuk kita selesaikan.

"Sesetengahnya bukan pasal kerajaan, tetapi pihak tertentu, individu dan sebagainya. Janganlah semuanya dibabitkan dan dipalitkan kepada kerajaan, saya tidak fikir ia boleh menggugat BN," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas sesi dialog Program Pengurusan Pementoran Perkhidmatan Awam di sini hari ini.

Muhyiddin ditanya mengenai dakwaan kononnya BN sukar mendapat kemenangan dua pertiga dalam pilihan raya umum akan datang ekoran beberapa isu termasuk skandal yang dikaitkan dengan pemimpin parti itu.

Kata beliau: "Kita beri penjelasan dan penerangan yang perlu untuk langkah penambahbaikan dan pembetulan. Kita dalam kerajaan ini manusia, dan setiap manusia ada kelemahan. Bila kita perbetulkan, rakyat boleh terima."

Ditanya pandangan bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin mengenai kesukaran BN memenangi dua pertiga kerusi Parlimen, Muhyiddin berkata, beliau menghormati pandangan tokoh tersebut yang pernah berada lama dalam kerajaan.

"Bila Tun Daim kata tak dapat dua pertiga, maka kita kena cubalah. Langkah kita bukan hanya selesaikan itu, tetapi menjelaskan pembohongan dan bidaah pembangkang. Itu pun peranan kita untuk jelaskan, tapi perlu dipertingkatkan program penerangan," ujarnya.

Mengenai peluang BN mempertahankan Perak, Muhyiddin berkata, secara relatif jika dibandingkan pada pilihan raya umum lalu, sokongan rakyat terhadap kerajaan di negeri ini sudah semakin pulih ekoran pelbagai perubahan dilaksanakan sama ada di peringkat pusat dan negeri.

"Sikap pengundi-pengundi kita yang dulu agak tidak menyebelahi kita, kini mula menunjukkan tanda lebih positif. Mereka lihat kesungguhan BN dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turun ke bawah menyelesaikan masalah rakyat.

"Begitu juga dengan kesungguhan Menteri Besar, pada saya perubahan ini memberi satu harapan yang lebih pada kita bukan sahaja untuk mempertahankan kedudukan, tetapi menebus kekalahan di kerusi yang kita kalah dengan majoriti kecil," jelasnya.

Menjawab soalan mengenai tahap sokongan kaum Cina, Muhyiddin menjelaskan, pelbagai pendekatan yang dibuat kerajaan berjaya meningkatkan sokongan kaum itu kepada kerajaan berbanding dua tahun lalu.

"Ada kawasan bertambah baik dan ada kawasan yang tunjukkan peningkatan, berapa peratus (peningkatan), kita tidak dapat jelaskan tetapi adalah satu kesilapan besar kalau BN kata kita diskaun pengundi Cina.

"Kita perlukan sokongan Cina macam juga kaum lain. Bila kita mula bercakap dan menjelaskan perkara yang mereka tidak faham (kerana) dieksploitasi pembangkang, saya lihat ada penerimaan tetapi kita harap dalam tempoh ke hadapan ini, mereka lebih tahu perkara sebenar," katanya.

Barisan Nasional akan terus bertahan – Tun Mahathir

Posted:

Barisan Nasional akan terus bertahan – Tun Mahathir

Barisan Nasional akan terus bertahan – Tun Mahathir


DR. Mahathir Mohamad bergambar bersama ahli-ahli panel pada perasmian Persidangan Antarabangsa; Kepimpinan dan Perubahan Sosial Dalam Dunia Islam di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 11 Feb. - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yakin Barisan Nasional (BN) mampu bertahan sebagai parti pemerintah dengan syarat semua pemimpinnya bersikap lebih bertanggungjawab membela nasib rakyat.

Hakikatnya, beliau berkata, kelangsungan BN amat bergantung kepada keupayaan pemimpinnya untuk memberi kebahagiaan kepada rakyat dan bukannya menjadikan kedudukan mereka batu loncatan untuk hidup mewah.

"Nanti kita tengok, kalau BN sedar dan betulkan diri, mungkin BN boleh kekal. Mereka harus sedar bahawa menjadi pemimpin tidak bermakna mereka boleh hidup senang-lenang.

"Mereka kena tentukan rakyat mendapat kebahagiaan hidup daripada kepimpinan, saya yakin BN akan survive," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa; Kepimpinan dan Perubahan Sosial Dalam Dunia Islam di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan pemerhati politik, Ong Kian Ming yang mengatakan BN tidak akan dapat mempertahankan mandat rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang disiarkan portal propembangkang, Malaysiakini.com.

Jelasnya, walaupun BN menunjukkan prestasi yang semakin baik, para pemimpin harus mengambil iktibar daripada kemerosotan sokongan pada PRU-12 lalu.

"Kita nampak macam mana prestasi mereka pada pilihan raya 2008. Sebelum itu UMNO mendapat 90 peratus sokongan daripada rakyat kerana rakyat masih mempunyai kepercayaan," katanya.

Kemerosotan itu menurutnya, ada kaitan dengan

beberapa perkara yang berlaku di dalam kerajaan antara 2004 dan 2008 sehingga rakyat tidak berpuas hati dengan BN dan parti-parti komponennya.

"Kita kena ingat seorang pemimpin yang terlalu mementingkan anak dan menentukan apa semua, orang itu tidak akan dipilih.

"Keadaan semakin baik sekarang, cuma agak susah nak perbaiki benda yang sudah rosak," katanya.

Diminta mengulas kenyataan Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir berhubung dakwaan wujudnya rasuah politik di dalam UMNO, beliau tidak menafikan perkara itu wujud.

"Ini adalah beberapa perkara di dalam UMNO yang menimbulkan masalah kerana pemimpin tidak dipilih berdasarkan kemampuan tetapi kemampuan untuk membayar.

"Saya tidak bersetuju dengan Abdul Kadir, tetapi itu adalah fakta," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan