Utusan Online - Pahang |
- Mahasiswa perlu bijak analisis isu
- MUIP serah zakat kepada pelajar miskin UMP
- Lebih 500 warga kampus hayati Maulidur Rasul
Mahasiswa perlu bijak analisis isu Posted: Mahasiswa perlu bijak analisis isuOleh SALEHUDIN MAT RASAD HAMZAH Zainuddin bersama sebahagian mahasiswa selepas program Bersama Tokoh di UiTM Kampus Khazanah Alam, Bandar Tun Abdul Razak, Jengka, Maran, Pahang, baru-baru ini. MARAN 21 Feb. – Mahasiswa perlu bijak menganalisis sesuatu isu dibangkitkan oleh pihak tertentu khususnya pembangkang bagi mengelakkan mereka terjerat dengan agenda politik jalanan yang merugikan bangsa dan negara. Timbalan Menteri Perusahaan, Peladangan dan Komoditi, Datuk Hamzah Zainuddin berkata, pembangkang memang sengaja memperalatkan mahasiswa untuk mencetuskan pelbagai isu bagi menggugat kredibiliti kerajaan. Katanya, sebagai contoh, isu Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dimainkan oleh pembangkang untuk meracuni fikiran mahasiswa supaya ada gerakan menghapuskannya. "Apa akan jadi kepada mahasiswa jika masa mereka lebih kepada memenuhi agenda politik pembangkang sehingga mengabaikan pencapaian akademik. "Sedangkan ada mahasiswa diterima masuk untuk meneruskan pengajian hanya berbekalkan kepada keputusan ihsan akademik yang sekadar cukup makan sahaja," tegas beliau. Hamzah berkata demikian pada Program Bicara Tokoh bertajuk Mahasiswa Pemangkin Perpaduan Bangsa di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Bandar Tun Abdul Razak Jengka dekat sini baru-baru ini. Hadir sama, Rektor dan Timbalan Rektor UiTM Pahang, Prof. Madya Datuk Dr. Hilmi Ab. Rahman. Hamzah meminta para mahasiswa menumpukan perhatian kepada pengajian terlebih dahulu daripada sibuk memikirkan untuk memansuhkan AUKU. Menurut beliau, apabila mereka menamatkan pengajian kelak, majikan akan memfokuskan kepada kriteria graduan berkredibiliti, keputusan akademik cemerlang dan rekod peribadi yang bersih. Katanya, AUKU sangat relevan sebagai garis panduan kepada mahasiswa kerana setiap peraturan yang dibuat bertujuan memberi kebaikan kepada rakyat dan negara. |
MUIP serah zakat kepada pelajar miskin UMP Posted: MUIP serah zakat kepada pelajar miskin UMPWan Abdul Wahid Wan Hassan (lima dari kiri) dan Dr. Daing Nasir Ibrahim (empat dari kanan) bersama lima pelajar dari keluarga miskin dan juga anak yatim pada majlis penyampaian zakat di UMP Kampus Gambang, Kuantan, Pahang, semalam. KUANTAN 21 Feb. - Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) menyerahkan bantuan wang zakat sebanyak RM250,000 kepada 500 pelajar miskin di Universiti Malaysia Pahang (UMP), di sini semalam. Timbalan Yang Dipertua MUIP, Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan berkata, wang tersebut diharap dapat memberi manfaat kepada mereka bagi menampung keperluan pengajian atau sara hidup di samping mengurangkan beban keluarga. "Saya mengucapkan tahniah kepada UMP kerana berusaha gigih dan begitu teliti dalam mengesan pelajar dalam menyalurkan wang zakat ini. "Malah, pegawai dan kakitangan UMP begitu istiqamah dalam membayar zakat dan berjaya mengumpul RM416,000 pada tahun lalu sehingga menjadikannya institusi pengajian tinggi di Pahang mendapat kutipan terbesar," katanya. Wan Abdul Wahid berkata demikian pada Majlis Penyerahan Zakat di Dewan Banquet UMP, Kampus Gambang di sini. Hadir sama, Naib Canselor UMP, Prof. Datuk Dr. Daing Nasir Ibrahim dan Pengurus Besar Pusat Kutipan Zakat Pahang, Halidan Md. Daud. Sementara itu, menurut Daing Nasir, walaupun kebanyakan pelajar universiti menerima pembiayaan daripada pelbagai agensi termasuk Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), terdapat juga pelajar daripada keluarga miskin yang terpaksa membantu keluarga menggunakan wang tersebut. "Senario ini amat membimbangkan pihak pengurusan universiti kerana pelajar terbabit tidak lagi mempunyai sumber kewangan lain untuk menyara kehidupan mereka di UMP. "Justeru itu, melalui Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, kita sentiasa memantau kebajikan mereka dari semasa ke semasa agar mereka tidak tercicir dalam pelajaran," jelasnya. Beliau berharap bantuan itu dapat menampung keperluan pengajian pelajar selain meringankan beban keluarga mereka. |
Lebih 500 warga kampus hayati Maulidur Rasul Posted: Lebih 500 warga kampus hayati Maulidur RasulSebahagian daripada warga kampus dan kanak-kanak tadika Kemas yang menyertai sambutan Maulidur Rasul di UMP Kampus Gambang, Kuantan, Pahang, baru-baru ini. KUANTAN 21 Feb. - Seramai 500 pelajar dan kakitangan Universiti Malaysia Pahang (UMP) menyertai perarakan sambutan Maulidur Rasul peringkat universiti di Masjid UMP Kampus Gambang dekat sini baru-baru ini. Sebanyak 21 kontinjen mewakili jabatan dan fakulti menyertai program tersebut yang turut dimeriahkan dengan kanak-kanak daripada Tadika Kemas Taman Agropolitan Lepar. Sambutan bertemakan Persefahaman Asas Perpaduan Ummah diketuai Naib Canselor UMP, Prof. Datuk Dr. Daing Nasir Ibrahim dan turut berarak sejauh dua kilometer menuju ke Masjid UMP sambil berselawat dengan rasa penuh kecintaan terhadap junjungan agung Nabi Muhammad SAW. Daing Nasir dalam ucapannya mengingatkan warga universiti supaya mensyukuri nikmat keamanan dan kemerdekaan di negara ini berbanding di negara lain yang diuji dengan pelbagai masalah. "Kita harus bersyukur kerana negara kita aman tatkala saudara-saudara seagama di negara lain sedang diuji dengan ketidakstabilan ekonomi, sosial dan politik akibat peperangan, perpecahan, penindasan dan penganiayaan," katanya di sini. Jelas beliau, kesusahan dan dugaan yang mencabar Nabi Muhammad SAW dalam peristiwa Hijrah dari Mekah ke Madinah merupakan isyarat bahawa proses transformasi yang berkesan menuntut pengorbanan yang tidak sedikit dan disiplin yang tinggi. "Oleh itu, pengorbanan dan perjuangan warga UMP sepanjang migrasi universiti ini ke arah kegemilangan akan menjadi amat bermakna dengan adanya persefahaman untuk mengangkat agenda perdana universiti dan pelaksanaan Pelan Strategik UMP 2011-2015," katanya. Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan hadiah dan sijil sempena pertandingan perbarisan dan sepanduk terbaik. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Pahang To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan