Jumaat, 17 Februari 2012

Utusan Online - Pahang

Utusan Online - Pahang


Derita Zulhafiz dapat perhatian

Posted:

Derita Zulhafiz dapat perhatian

Derita Zulhafiz dapat perhatian

Oleh SITI NORIZAT SHIKH ABDUL JALILutusanpahang@utusan.com.my


MUHAMMAD Zahid Md. Arip (kanan) bertanya khabar kepada Mohd. Zulhafiz Abdul Ghani sambil diperhatikan Md. Sohaimi Mohamed Shah (dua dari kanan) ketika mengadakan kunjungan bersama kakitangan Yayasan Felda ke HTAA di Kuantan, semalam.


KUANTAN 17 Feb. - Penderitaan pemuda yang menghidap kanser tulang tahap kritikal, Mohd. Zulhafiz Abdul Ghani, 21, mendapat perhatian Yayasan Felda yang tampil menghulurkan sumbangan kepada pemuda itu baru-baru ini.

Sumbangan berupa wang tunai RM5,000 beserta barangan keperluan disampaikan oleh Pegawai Khas kepada Pengerusi Felda, Muhammad Zahid Md. Arip di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini.

Menurut Muhammad Zahid, atas rasa simpati dengan nasib yang dialami pemuda tersebut, Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad mengarahkan pihaknya menghulurkan sumbangan itu dengan segera.

"Sebelum ini, pihak kami ada memberi bantuan kepadanya namun terkejut apabila ketumbuhan seberat 20 kilogram di bahu kiri itu semakin membesar.

"Kami berharap dengan sumbangan ini dapat mengurangkan beban yang ditanggung keluarga Mohd. Zulhafiz serta digunakan untuk menampung perbelanjaan perubatannya," katanya kepada pemberita ketika ditemui di HTAA di sini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Lembing, Datuk Md. Sohaimi Mohamed Shah, Pengurus Besar Felda Wilayah Kuantan, Abdul Ghani Mohd. Ali serta kakitangan Yayasan Felda.

Muhammad Zahid berkata, pihaknya akan sentiasa memantau perkembangan kesihatan Mohd. Zulhafiz yang juga anak seorang peneroka di Felda Bukit Goh di sini termasuk kebajikan peneroka lain yang ditimpa musibah.

"Kebajikan setiap peneroka di negara ini akan sentiasa dipelihara dan ia merupakan sebahagian daripada matlamat Yayasan Felda untuk melaksanakan kerja-kerja amal," katanya.

Sementara itu, ibu Mohd. Zulhafiz, Supiah Yahya, 58, terharu apabila banyak pihak dan individu menziarahi serta memberikan kata-kata semangat kepada anaknya untuk terus melawan penyakitnya.

"Alhamdulillah anak saya menunjukkan perkembangan positif apabila bengkak yang dialaminya semakin surut selepas mendapat rawatan sejak beberapa hari lalu.

"Terima kasih kepada Yayasan Felda yang prihatin dengan nasib anak saya dan sumbangan ini akan digunakan untuk membiayai kos perubatan serta keperluan lain yang penting," katanya.

Gunakan pendekatan kreatif tarik minat pelajar

Posted:

Gunakan pendekatan kreatif tarik minat pelajar

Gunakan pendekatan kreatif tarik minat pelajar

TEMERLOH 17 Feb. - Guru sains dan matematik perlu menggunakan pendekatan yang kreatif bagi mengatasi masalah kemerosotan minat pelajar terhadap kedua-dua mata pelajaran tersebut.

Ketua Sektor Pembangunan Akademik, Jabatan Pelajaran Negeri Pahang, Jailani Ludin berkata, sedangkan kedua-dua mata pelajaran itu penting kerana ia merupakan tunjang bagi melahirkan modal insan yang kreatif dan inovatif.

Katanya, bagi mencapai status negara maju, rakyat negara ini tidak mempunyai pilihan kecuali menguasai dan meneroka kemajuan sains dan teknologi.

''Ini merupakan satu cabaran buat warga pendidik, khususnya guru-guru yang mengajar mata pelajaran sains dan matematik bagi meningkatkan semula minat pelajar terhadap kedua-dua mata pelajaran tersebut.

''Kita perlu menyahut cabaran ini kerana kemajuan dan masa depan negara terletak di bahu kita bagi melahirkan pelajar yang mampu menguasai teknologi serta pakar dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D)," kata Jailani.

Beliau yang mewakili Pengarah Pelajaran Pahang berkata demikian semasa berucap merasmikan Majlis Pelancaran Produk dan Program Sains dan Teknologi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Tualang, di sini semalam.

Turut hadir, Pegawai Pelajaran Daerah, Aishah Hamzah dan Pengetua SMK Seri Tualang, Hussin Hamid.

Menurut beliau, mata pelajaran sains dan matematik juga memerlukan transformasi dan penambahbaikan seiring dengan perkembangan ilmu dan teknologi supaya para pelajar tidak berasa bosan semasa mengikuti mata pelajaran tersebut.

Jailani juga menasihati para pelajar supaya menanam cita-cita untuk berjaya dalam kerjaya berasaskan teknologi dan bukannya bekerja dalam sektor awam semata-mata apabila tamat pengajian daripada universiti.

''Kita perlu membuang minda untuk makan gaji dengan kerajaan semata-mata. Ini kerana jawatan dalam kerajaan adalah terhad tetapi sebaliknya dunia kerjaya hari ini lebih terbuka kepada mereka yang mampu menguasai kemajuan sains dan teknologi.

''Kerjaya dalam bidang tersebut menawarkan gaji yang lumayan dan ini yang menjadi cita-cita kerajaan untuk membolehkan rakyat meraih pendapatan tinggi," katanya.

NGO diminta tangani ancaman homoseksual

Posted:

NGO diminta tangani ancaman homoseksual

NGO diminta tangani ancaman homoseksual

MARAN 17 Feb. - Gejala homoseksual yang semakin menular di negara ini perlu ditangani secara bersepadu agar tidak menjadi ancaman kepada masyarakat, khususnya generasi muda.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Hal Ehwal Felda negeri, Datuk Tan Mohd. Aminuddin Ishak berkata, dalam hal ini, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dilihat mampu menjadi benteng hadapan dalam menolak usaha pihak tertentu mempromosikan amalan hidup songsang itu.

''Pihak-pihak ini yang berselindung di sebalik nama hak asasi manusia mempromosi kegiatan songsang mereka melalui pelbagai cara termasuk media baru di Internet bagi tujuan menarik perhatian generasi muda.

''Sebab itu saya minta generasi muda Malaysia berusaha menjadikan diri seorang yang hebat dan berikrar membantu kerajaan mengatasi isu ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menutup Perhimpunan 77 NGO Belia dan Sukan Parlimen Maran di Kompleks Rakan Muda Maran di sini baru-baru ini.

Hadir sama Ahli Parlimen Maran, Datuk Ismail Abdul Muttalib; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Luit, Datuk Ahmad Munawar Abdul Jalil; ADUN Kuala Sentol Datuk Shahaniza Shamsuddin dan Pengurus Besar Felda Wilayah Jengka, Saari Din.

Justeru, tegas Tan Mohd. Aminuddin, pemimpin NGO di negara ini perlu lebih prihatin dengan mendampingi ahli dan golongan sasaran agar mereka tidak terjebak dengan amalan negatif termasuk homoseksual.

Tambah beliau, kerajaan pada masa sama akan memastikan generasi muda Malaysia tidak terpengaruh dengan amalan Barat yang hanya menyebabkan kemusnahan kepada institusi keluarga dan masyarakat.

Tegasnya, sebab itu, generasi muda perlu mempertahankan semangat jati diri dan tidak terkongkong dengan arus pemodenan pesat sehingga ada yang hanyut akibat kelalaian sendiri.

''Kita tidak akan membenarkan gejala sebegini bertapak di negeri ini kerana ia bukan sahaja dilarang dalam Islam bahkan agama lain juga turut menegahnya," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan