Rabu, 15 Februari 2012

Utusan Online - Pahang

Utusan Online - Pahang


Jangan salah guna kuasa – Adnan

Posted:

Jangan salah guna kuasa – Adnan

Jangan salah guna kuasa – Adnan

Oleh MANIRAH ROSEDI
utusanktn@gmail.com


Adnan Yaakob (depan, empat dari kiri) bersama pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan polis serta pelapor rasuah pada Majlis Penghargaan Penyampaian Cek Kerajaan negeri di Kuantan, baru-baru ini.


KUANTAN 15 Feb. - Warga kerja Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di negeri ini diingatkan supaya tidak menyalahgunakan kuasa ketika melaksanakan tugas masing-masing membanteras rasuah.

Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, mereka perlu menjalankan penyiasatan dengan adil dan tidak menindas sesiapa yang dituduh terlibat dalam gejala itu.

Menurutnya, sebarang penganiayaan yang dilakukan boleh kembali kepada mereka jika keadilan dan kesamaan tidak diamalkan dengan baik.

"Paling penting, jangan ghairah dengan bilangan kes sebaliknya jumlah mereka yang disabitkan supaya ia menjadi pengajaran terhadap masyarakat," katanya ketika berucap pada Majlis Penghargaan Penyampaian Cek Kerajaan negeri terhadap 12 pelapor kesalahan rasuah di bawah Seksyen 17 (b) Akta SPRM 2009 di sini, kelmarin.

Pada majlis itu, Adnan mengumumkan kenaikan jumlah insentif yang diberikan iaitu dari RM3,000 kepada RM5,000 terhadap pelapor rasuah terbabit.

Adnan juga mengingatkan warga kerja terbabit supaya tidak melakukan siasatan secara semberono tetapi melaksanakan siasatan lengkap sebelum sesuatu kes dibawa ke mahkamah.

Beliau turut memuji usaha SPRM dalam menangani dan mengurangkan aktiviti rasuah di negeri ini.

"Kita mesti ingat kerana rasuah boleh melumpuhkan sesebuah negara dan mengkucar-kacirkan masyarakat," katanya.

Menyingkap lembaran baru Lembah Hulu Tembeling

Posted:

Menyingkap lembaran baru Lembah Hulu Tembeling

Menyingkap lembaran baru Lembah Hulu Tembeling


Wan Amizan



Kawasan Lembah Hulu Tembeling di daerah Jerantut masih tercicir daripada arus pembangunan ekoran struktur geografinya terdiri daripada hutan rimba dan aliran sungai yang membantutkan usaha kerajaan melampias projek berskala besar ke kawasan itu.

Bagaimanapun lawatan kerja Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal baru-baru ini ke Kuala Tahan, Jerantut menyingkap lembaran baru pembangunan di kawasan berkenaan.

Wartawan Utusan Malaysia di Jerantut, HARIS FADILAH AHMAD menemubual Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tahan, Datuk Wan Amizan Wan Abdul Razak mengenai hala tuju pembangunan daerah berkenaan.

UTUSAN: Apakah pandangan Datuk mengenai potensi kawasan itu untuk pembangunan akan datang?

WAN AMIZAN: Kawasan itu mempunyai alam semula jadi seperti gunung-ganang, flora, fauna dan aliran sungai yang belum tercemar. sekali gus menzahirkan Taman Negara Kuala Tahan bukan sahaja popular dalam kalangan pelawat domestik malah kerap disinggahi pelancong dari seluruh dunia.

Lembah Tembeling juga mempunyai lima perkampungan tradisional yang kaya dengan aset budaya, kesenian dan sejarah orang Melayu Pahang sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka antara nadi tarikan pelancong ke sini.

Manakala, tanah yang subur di sini berpotensi dimajukan untuk produk pertanian, manakala Sungai Tahan dan Sungai Tembeling menjadi laluan bot penambang serta hidupan akuakultur boleh menjadi sumber pendapatan dalam mengubah kehidupan penduduk.

Apakah yang membantutkan usaha pembangunan selama ini?

Saya melihat penduduk kawasan Tahan amat mengharapkan Kerajaan Persekutuan dapat melimpahkan banyak peruntukan untuk menaiktaraf kemudahan asas iaitu jalan raya, perumahan, pembangunan sektor pertanian dan projek lain.

Misalnya, jika Kerajaan Persekutuan mempercepatkan pembinaan jalan raya dari Kampung Tuit (Kuala Tahan) ke Kampung Mat Daling sejauh 150 kilometer, lambat laun pembangunan akan menjalar dengan lebih cepat untuk mengisi kebajikan penduduk di sini.

Dalam hal ini, saya mengakui pembangunan di sini agak lembap dan pelbagai cara dilaksanakan untuk memajukan kawasan ini sejak diberi tanggungjawab sebagai wakil rakyat di sini.

Apakah potensi pembangunan yang boleh direalisasikan di Hulu Tembeling jika pembinaan jalan raya dilaksanakan segera?

Projek ini lebih memberi manfaat kepada kemajuan ekonomi dan pendapatan penduduk di lima kampung menerusi sektor pertanian serta pelancongan.

Jika wujud jalan raya, rancangan pembesaran kampung dan pembangunan tanah kelompok di Kampung Pagi, Kampung Kuala Sat, Kampung Bantai, Kampung Mat Daling dan Kampung Gusai akan lebih cepat untuk kemajuan sektor berkenaan.

Dalam agak sukar sekalipun, kita sudah memajukan seluas 40 hektar tanah terbiar untuk tanaman getah bagi manfaat penduduk di sini. Jika adanya jalan raya ia akan lebih luas kawasan tanah ditebusguna untuk menjana sektor pertanian.

Saya berharap kawasan Hulu Tembeling yang tersisih dengan pembangunan dipilih untuk projek Agropolitan di Jerantut dan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah diharap melakukan kajian separuh penggal bagi rancangan pembangunan di kawasan itu pada masa akan datang.

Bagaimana potensi pembangunan di Kuala Tahan yang menjadi pintu masuk ke Taman Negara?

Menerusi bantuan Felcra Berhad, kerajaan negeri memajukan seluas 2,000 hektar tanah untuk tanaman kelapa sawit dan saham komoditi berkenaan sudah dinikmati penduduk miskin di Tahan.

Malah, rumah penduduk di Felcra Tembeling Tengah dijadikan Projek Inap Desa untuk pelancong luar dan tempatan untuk tinggal bersama keluarga angkat menerusi usaha pelancongan kerajaan negeri.

Kita terus memantau dan mengawal selia kemudahan asas menerusi bantuan Majlis Daerah Jerantut dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) di Taman Negara Kuala Tahan agar lebih bersih dan ceria untuk keselesaan pelawat singgah di situ.

Apakah perasaan Datuk selepas mendapat jaminan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal baru-baru ini?

Jaminan kementerian itu untuk memajukan kawasan Tahan menerusi sektor pelancongan pertanian melegakan saya dan semua penduduk. Ia juga memberi keyakinan kepada penduduk untuk memastikan kemenangan calon Barisan Nasional pada pilihan raya akan datang.

Apa yang lebih penting penduduk mengharapkan projek jalan raya dari Kampung Tuit (Kuala Tahan) ke Kampung Mat Daling sejauh 150 kilometer dilaksanakan dengan segera dan juga berterima kasih dengan peruntukan projek fasa pertama sebanyak RM120 juta untuk membina jalan raya antara Kampung Tuit ke Kampung Pagi sejauh 28 kilometer yang kini giat dilaksanakan.

Pelajari kehidupan luar bandar

Posted:

Pelajari kehidupan luar bandar

Pelajari kehidupan luar bandar

Oleh SALEHUDIN MAT RASAD
utusanktn@gmail.com


SHAHIRUDDIN Ab. Moin (kiri) menunjukkan kebolehan mengunting rambut salah seorang pengunjung sempena Program Khidmat Masyarakat dan Mesra Generasi Muda - GiatMara di Dong, Raub, baru-baru ini.


RAUB 15 Feb. – Penglibatan golongan pelajar institut pengajian tinggi (IPT) dalam aktiviti kemasyarakatan menjadi satu kelaziman bagi mereka untuk memahami serta mendekati corak kehidupan khususnya di luar bandar.

Mereka bukan sahaja mengikuti pelbagai program yang dianjurkan oleh pihak tertentu tetapi turut menyelami kehidupan orang kampung yang mengamalkan cara hidup sederhana.

Bagi pelajar di institut pengajian tinggi awam (IPTA) program sebegini sememangnya sudah menjadi keperluan bagi mereka bukan sahaja mendekati orang kampung tetapi turut mencurahkan ilmu semasa menuntut di universiti masing-masing.

Justeru, Pusat GiatMara juga tidak ketinggalan apabila turut menganjurkan program Mesra Generasi Muda membabitkan pelatih dari pusat itu.

Penglibatan pelatih di pusat kemahiran itu membuktikan mereka juga mampu menyumbang bakti kepada masyarakat di sekeliling.

Seramai 40 pelatih GiatMara dari pelbagai jurusan mewakili pusat latihan itu dari seluruh negara menyertai program berkenaan bagi mendidik generasi muda lebih terbuka menangani cabaran perubahan zaman.

Kumpulan itu menyertai program anak angkat di lima kampung di daerah ini baru-baru ini.

Aktiviti lain yang turut diadakan ialah khidmat gunting rambut, membaiki basikal secara percuma, jualan kek, pakaian dan pameran hasil produk GiatMara.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif GiatMara, Jamal Nasir Osman berkata, perubahan pesat dengan kemajuan sains dan teknologi turut mempengaruhi kehidupan generasi muda ketika ini.

Menurutnya, remaja yang lahir sekitar 80an dan 90an terpengaruh dengan kecanggihan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) menyebabkan golongan itu menjadikan gajet sebagai sumber maklumat, ilmu dan hiburan.

Jelasnya, pendekatan perlu dibuat supaya mereka berubah ke arah lebih positif dengan mempersiapkan diri dalam ilmu serta kemajuan teknologi supaya golongan itu turut berdaya saing pada masa depan.

''Perubahan zaman sejak akhir-akhir ini perlu disusuli dengan persiapan ilmu dan kemahiran supaya mereka tetap hebat dan tidak hanya sebagai pengguna kepada kekuatan orang lain.

''Jika dibiarkan, golongan terbabit akan lupa terhadap sejarah, budaya dan tradisi bangsa sendiri sehingga hilang jati diri malah menganggap sesuatu yang diwarisi ketinggalan zaman,'' katanya pada penutup Program Khidmat Masyarakat dan Mesra Generasi Muda - GiatMara di Dong, di sini baru-baru ini.

Pengerusi GiatMara, Datuk Shahiruddin Ab. Moin merasmikan program berkenaan dan turut membaikpulih rumah golongan miskin di daerah ini dengan kerjasama pelatih GiatMara.

Jamal berkata, komunikasi antara golongan tua dan muda sangat penting bagi mengelakkan mereka berada dalam kelompok tersendiri tanpa mempedulikan orang lain.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan