Isnin, 13 Februari 2012

Utusan Online - Pahang

Utusan Online - Pahang


Ujian kecekapan empat agensi

Posted:

Ujian kecekapan empat agensi

Ujian kecekapan empat agensi

Oleh M.RIZAL NOR
utusanktn@gmail.com


Antara mangsa yang 'cedera parah' setelah tercampak dari kenderaan pacuan empat roda sewaktu latihan menyelamat membabitkan polis, bomba, hospital dan JPAM di Jerantut, baru-baru ini.


JERANTUT 13 Feb. - Setiap kali berlakunya bencana alam atau kemalangan jalan raya, pastinya pihak hospital, polis, bomba dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) merupakan empat agensi utama yang saling berganding bahu dalam usaha menyelamat mangsa.

Jika dinilai secara kasar, pihak polis merupakan agensi pertama yang akan tiba di tempat kejadian terlibat dalam mengawal aliran trafik dan orang ramai manakala pasukan bomba dan penyelamat pula bertindak memadam kebakaran serta mengeluarkan mangsa dari tempat bencana atau kemalangan.

Pihak hospital pula menyediakan alatan untuk merawat mangsa dan JPAM menyediakan khidmat bantuan.

Kerjasama yang mantap antara empat agensi tersebut amat ditagih setiap kali berlaku bencana serta kemalangan dan kecekapan mereka menjadi penentu segala-galanya.

Oleh demikian, empat agensi tersebut yang beroperasi di daerah ini baru-baru ini mengadakan satu latihan menyelamat mangsa membabitkan kemalangan kereta api dengan tiga buah kenderaan lain.

Bunyi siren beberapa jentera bomba, kereta peronda polis dan ambulans menggemparkan penduduk di bandar ini kira-kira pukul 12.15 pagi yang bergegas ke tempat kemalangan melibatkan kereta api dan tiga kenderaan berhampiran Stesen Kereta Api Tanah Melayu Berhad (KTMB) Jerantut.

Dalam kejadian pukul 12.05 pagi itu, sebuah lori yang dipandu oleh warga tempatan bersama seorang kelindan dipercayai melanggar pagar penghadang laluan kereta api yang turut diikuti dua kereta pacuan empat roda ketika kereta api melalui laluan tersebut.

Akibatnya, kereta api tersebut melanggar lori serta kereta berkenaan mengakibatkan mangsa di dalam Mitsubishi Pajero tercampak keluar dari kenderaan dan mengalami kecederaan parah.

Suasana di tempat kejadian menjadi kelam-kabut dengan jeritan dan rintihan mangsa meminta tolong.

Terdapat beberapa mangsa yang cedera ringan cuba menyelamatkan diri di samping ada yang terbaring berlumuran darah termasuk tersepit dalam kenderaan.

Lalu lintas di kedua-dua arah jalan berkenaan mula sesak dan orang ramai mengerumuni lokasi tragedi ngeri itu untuk melihat keadaan sebenar.

Bagaimanapun, orang ramai yang pada mula menyangka ia merupakan kemalangan ngeri ternyata meleset kerana kejadian tersebut sebenarnya satu simulasi menyelamat mangsa kemalangan melibatkan kereta api dan kenderaan lain.

Ia melibatkan empat agensi iaitu Hospital Jerantut, Bomba dan Penyelamat, polis dan JPAM Jerantut.

Pemangku Ketua Polis Daerah Jerantut, Deputi Supritendan Zakaria Kassim berkata, pihak polis terus bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan.

"Ketika tiba di tempat kejadian, kami dapati Mitsubishi Pajero dalam keadaan terbalik dan mangsa bergelimpangan di atas jalan, tidak lama selepas itu beberapa ambulans dari Hospital Jerantut dan JPAM tiba di tempat kejadian termasuk bomba.

"Pihak bomba bertindak mengeluarkan mangsa tersepit dan dibantu JPAM untuk membawa mangsa ke kawasan selamat dengan menempatkan kakitangan hospital untuk memberi bantuan awal sebelum dihantar ke hospital," katanya kepada pemberita di sini baru-baru ini.

Sementara itu, Pengarah Hospital Jerantut, Dr. Devaraj Salam berkata, latihan berkenaan bertujuan meningkatkan tahap kecekapan agensi masing-masing dalam menghadapi kemalangan yang teruk.

Katanya, latihan itu meliputi pelbagai aspek termasuk komunikasi berkesan, penyampaian maklumat, koordinasi agensi di kawasan bencana dan mengelakkan daripada pertindihan tugas di antara agensi terlibat yang boleh menyebabkan kerugian dari segi masa serta tenaga.

Beliau memberitahu, kejadian tersebut menyebabkan dua mangsa cedera parah, tiga orang pada tahap sederhana manakala selebihnya hanya mengalami cedera ringan dan semua mangsa dihantar ke hospital untuk menerima rawatan.

"Latihan ini dijalankan dengan jayanya apabila semua agensi menunjukkan kecekapan dan semangat kerjasama baik dengan masing-masing mengetahui tugas yang perlu dilakukan ketika berdepan kemalangan ngeri seperti ini.

"Dengan adanya latihan seperti ini kita dapat melihat dan menilai kecekapan menyelamat semua agensi selain aspek pengurusan lokasi kejadian yang turut dititikberatkan," katanya.

Simulasi menyelamat mangsa nahas berjaya

Posted:

Simulasi menyelamat mangsa nahas berjaya

Simulasi menyelamat mangsa nahas berjaya

JERANTUT 13 Feb. - Simulasi menyelamat mangsa kemalangan melibatkan pegawai perubatan dan kakitangan Hospital Jerantut; Jabatan Bomba dan Penyelamat Jerantut; polis dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) baru-baru ini berlangsung dengan jayanya.

Latihan menyelamat itu diadakan bagi menguji tahap persiapan, kecekapan dan semangat kerja berpasukan bagi keempat-empat agensi berkenaan apabila berdepan dengan tragedi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jerantut, Yahaya Hanafi berkata, latihan itu dapat menguji kecekapan anggotanya berdepan kemalangan ngeri dan memberi bantuan segera dalam menyelamatkan mangsa.

"Kita membuat segala persiapan dan semua pegawai serta anggota yang terlibat berjaya melakukan tugasan menyelamat dengan cekap dan baik walaupun ia sekadar latihan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Seorang peserta latihan, Razali Mohd. Sood, 40, kepantasan semua agensi terlibat menjalankan tugas dapat membantu mangsa dirawat dan dihantar ke hospital dengan segera.

"Saya cukup kagum melihat mereka bekerja biarpun ia sekadar latihan. Mereka mampu menangani situasi getir itu dengan sempurna tanpa sebarang masalah," ujar beliau.

Seorang guru, Mohd. Fadzil Ramli, 24, berkata, latihan tersebut amat wajar kerana semua agensi terlibat dapat menilai tahap kecekapan masing-masing.

"Saya lihat semua petugas dari keempat-empat agensi berkenaan menjalankan tugas dengan baik dan dengan adanya latihan ini, mereka dapat mencari kelemahan serta memperbaikinya untuk berdepan dengan situasi sebenar jika nahas seperti ini berlaku," katanya.

Jangan nafikan hak pelajar

Posted:

Jangan nafikan hak pelajar

Jangan nafikan hak pelajar

Oleh ALI MAHMOOD
utusanktn@gmail.com

BERA 13 Feb. - Pengetua dan guru diingatkan supaya tidak menyisih atau menafikan hak pelajar yang dianggap lemah dalam akademik semata-mata mahu mengekalkan kecemerlangan sekolah.

Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tindakan menghalang pelajar seperti itu menduduki peperiksaan kerana mahu menjaga nama baik dan prestasi sekolah merupakan tindakan yang salah.

Tambahnya, sebagai warga pendidik yang bertanggungjawab, para guru perlu berusaha keras dengan menggunakan pendekatan lebih kreatif dan berhemah bagi membimbing pelajar terbabit.

"Tindakan seperti yang berlaku di beberapa sekolah tahun lalu adalah perbuatan tidak beretika dan salah sama sekali dari segi dasar pendidikan negara.

"Walaupun kejayaan sesebuah sekolah bergantung kepada hasil keputusan peperiksaan tetapi ia akan lebih bermakna jika dapat melaksanakan tanggungjawab mereka dengan mendidik semua pelajar berjaya dalam peperiksaan," katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Program Rancangan Khas Sekolah Menengah Kebangsaan Kerayong di sini semalam.

Dalam perkembangan sama, Ismail Sabri yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan berkata, peruntukan besar kepada Kementerian Pelajaran bertujuan memastikan taraf pendidikan terbaik dapat diberikan dalam usaha melahirkan lebih ramai pelajar berkualiti.

Beliau memberitahu, tahap pendidikan negara kini hampir sama dengan negara membangun lain, malah pelajar di negara ini mampu bersaing dengan pelajar di luar negara.

Ismail Sabri turut menegur pengurusan sesetengah sekolah yang menyediakan peruntukan besar untuk menceriakan kawasan sekolah sehingga memenangi pelbagai anugerah di peringkat daerah, negeri dan juga kebangsaan tetapi mengabaikan pencapaian akademik.

"Ini kerana ada sesetengah sekolah yang prestasi serta pencapaian pelajaran dalam peperiksaan tidak pernah meningkat. Ia juga tidak bagus, sepatutnya kita utamakan dahulu pencapaian pelajar sebelum menceriakan landskap," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan