Sabtu, 11 Februari 2012

Utusan Online - Pahang

Utusan Online - Pahang


4 lelaki, seorang wanita ditahan

Posted:

4 lelaki, seorang wanita ditahan

4 lelaki, seorang wanita ditahan

Oleh ALI MAHMOOD
utusanktn@gmail.com

RAUB 11 Feb. - Polis menahan empat lelaki dan seorang wanita serta merampas dadah bernilai RM318,000 dalam sebuah kenderaan pada satu sekatan jalan raya dekat simpang masuk ke Felda Krau di bandar ini kelmarin.

Ketua Polis Daerah, Supritendan Wan Mohd. Samsudin Wan Osman (gambar) berkata, dalam operasi pukul 2.10 pagi itu, dadah tersebut dijumpai tersorok di beberapa bahagian dalam kenderaan semasa ditahan dalam Operasi Tapis.

Menurutnya, setelah melakukan pemeriksaan, polis menemui 1,400 pil ekstasi seberat 440.7 gram, syabu 304 gram dan pil Eramin 5 5 seberat 104 gram.

"Empat lelaki dan seorang wanita berusia antara 23 dan 31 tahun ditahan selepas mendapati kenderaan yang mereka naiki membawa dadah terbabit.

"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh membawa hukuman mandatori gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut beliau, tangkapan itu merupakan kejayaan pertama polis Raub tahun ini dan siasatan awal mendapati suspek terlibat membawa dadah berkenaan daripada Kuala Lumpur untuk pasaran ke negara jiran.

Wan Mohd. Samsudin memberitahu, siasatan juga mendapati kesemua suspek sudah terlibat tiga kali melakukan jenayah sama.

Katanya, keputusan ujian saringan air kencing mendapati empat daripada mereka positif dadah jenis methamphetamine.

"Dua daripada suspek berkenaan pernah menjalani hukuman langkah-langkah pencegahan khas (LLPK) termasuk salah seorang daripadanya baru sahaja tamat tempoh LLPK bermula pada tahun 2009-2011.

"Daerah Raub menjadi laluan bagi perlakuan jenayah merentasi sempadan dengan membawa barangan yang menyalahi undang-undang terutama penghantaran ke Kelantan atau Thailand," katanya.

Katanya, kesemua suspek ditahan reman seminggu di Balai Polis Raub untuk siasatan lanjut.

Peruntukan RM200,000 ganti jambatan kayu usang

Posted:

Peruntukan RM200,000 ganti jambatan kayu usang

Peruntukan RM200,000 ganti jambatan kayu usang


PENDUDUK melalui jambatan usang yang menghubungkan Kampung Orang Asli Sungai Kiol dan Kampung Jeransung di Jerantut, baru-baru ini.


JERANTUT 11 Feb. - Penduduk Kampung Orang Asli Sungai Kiol dan Kampung Jeransung dekat sini gembira apabila kerajaan memperuntukkan sebanyak RM200,000 bagi menggantikan jambatan kayu yang usang di kawasan tersebut.

Seorang penduduk, Norafidah Abd. Aziz, 17, berkata, tindakan kerajaan yang sudi menggantikan jambatan usang itu amat dinantikan oleh penduduk kampung Orang Asli berkenaan.

"Kami sangat gembira apabila mendapat tahu kerajaan meluluskan peruntukan itu kerana penduduk di sini sudah beberapa kali mengalami detik cemas melalui jambatan tersebut sehingga ada yang hampir terjatuh ke dalam sungai," katanya kepada Mingguan Malaysia ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Menurutnya, dia tidak dapat melupakan detik cemas bersama neneknya, Bidah Putih, 55, ketika dalam perjalanan ke kebun pisang mereka yang terletak di Kampung Tekas di situ baru-baru ini apabila hampir terjatuh ke dalam sungai.

"Sebaik sahaja menaiki jambatan berkenaan, secara tiba-tiba beberapa keping papan yang reput jatuh ke dalam sungai dan mujur saya sempat mengelak lubang tersebut," katanya.

Katanya, jambatan baru itu nanti akan memudahkan penduduk menjalani kehidupan harian terutama untuk ke pekan Kampung Jeransang dan kebun berhampiran.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Damak, Datuk Lau Lee berkata, peruntukan yang disediakan untuk membaik pulih jambatan tersebut membuktikan kerajaan prihatin untuk membela nasib rakyat.

"Saya yakin semua penduduk di perkampungan Orang Asli Sungai Kiol sangat gembira mendengar berita ini kerana mereka tidak perlu lagi risau dengan keselamatan untuk ke kebun dan kampung seberang sungai," jelasnya.

Ambil kira pandangan awam

Posted:

Ambil kira pandangan awam

Ambil kira pandangan awam

KUANTAN 11 Feb. - MCA Pahang meminta Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) mengambil kira pandangan dan cadangan orang ramai berkaitan pendedahan dokumen Lynas Malaysia Sdn. Bhd. pada awal Januari lalu.

Pengerusinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, AELB perlu mengemukakan maklum balas berhubung perkara itu dalam tempoh terdekat bagi membuktikan ketelusan syarikat yang menjalankan pemprosesan nadir bumi di kawasan Perindustrian Gebeng di sini.

"Kita mahu tahu apa tindakan yang bakal diambil selepas AELB menerima pandangan dan cadangan daripada orang ramai," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco MCA Pahang di pejabat MCA Bahagian Kuantan, di sini semalam.

Tiong Lai berkata, MCA Pahang berpendirian tegas terhadap keprihatinan dan penjagaan isu kesihatan dan keselamatan berkaitan projek Lynas.

Tambahnya, pihaknya telah menubuhkan Jawatankuasa Pemantau Komuniti dengan kerjasama Persatuan Cina Kuantan untuk memantau perkembangan semasa tentang projek itu.

"Jawatankuasa ini juga akan memastikan setiap keraguan terhadap projek Lynas akan diperjelaskan," katanya.

Menurutnya, agensi itu juga seharusnya memberikan penerangan menyeluruh tentang lima syarat yang dikenakan terhadap Lynas supaya orang awam memahami serta tiada pertikaian tentang perkara tersebut.

"Sebelum ini, mereka sedia maklum tentang lima syarat itu. Pun begitu, ia perlu diperjelaskan secara mendalam supaya orang ramai puas hati tentangnya.

"Justeru itu, MCA Pahang mendesak pihak berkuasa termasuk AELB memantau secara teliti projek berkenaan bagi memastikan mereka mengikut syarat yang telah ditetapkan," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan