Khamis, 9 Februari 2012

Utusan Online - Pahang

Utusan Online - Pahang


Tiga projek besar terbengkalai

Posted:

Tiga projek besar terbengkalai

Tiga projek besar terbengkalai


Deretan pembentung konkrit terbiar sekian lama kerana projek jalan Persekutuan antara Sungai Tekam, Jerantut dengan Simpang Jengka Lapan yang masih terbengkalai.


KEPUTUSAN kerajaan meluluskan tiga projek besar di Jerantut iaitu pembinaan klinik kesihatan, kompleks sukan dan pembinaan jalan Persekutuan yang baharu amat menggembirakan rakyat.

Namun, kegembiraan itu kini beransur pudar kerana apa yang dijanjikan tidak ubah seperti cantik di atas kertas sahaja, sedangkan semua projek tersebut belum siap malah ada yang belum bermula.

Pembinaan jalan Persekutuan yang baharu dan membaik pulih sedia ada iaitu menghubungkan Felda Sungai Tekam dan Simpang Tiga Jengka Lapan masih terbengkalai sejak sekian lama.

Longgokan bahan pembinaan di tepi jalan kini menyakitkan mata memandang apatah lagi ia terletak di laluan utama menghubungkan bandar Jerantut ke Felda Residence Tekam Resort yang menjadi tumpuan pelancong.

Hari berganti hari, bulan berganti bulan dan tahun berganti tahun, namun keadaannya masih sama dan keadaan jalan tersebut kini semakin teruk yang boleh mengundang padah kepada pengguna jalan raya terutama pada waktu malam.

Jalan tersebut merupakan laluan penting bagi penduduk di Felda Sungai Tekam, Felda Tekam Utara, Pusat Perkhidmatan Pertanian Tun Razak (PPPTR) Tekam dan Gugusan Felda Kota Gelanggi untuk ke bandar Jerantut.

Jalan yang sepatutnya memudahkan penduduk untuk ke sesuatu destinasi namun kini semakin sukar kerana keadaan jalan yang teruk dan sering ditenggelami air apabila hujan lebat yang turut melimpahi ladang sawit terdekat.

Projek pembinaan Klinik Kesihatan Jerantut menelan belanja RM25 juta juga amat dinantikan oleh semua penduduk Jerantut.

Pembinaan klinik tersebut bertujuan membantu mengurangkan kesesakan di Hospital Jerantut yang dilengkapi dengan pejabat pentadbiran, kuarters kakitangan, unit kecemasan, jagaan ibu mengandung dan selepas bersalin, perancang keluarga, jagaan bayi serta kanak-kanak.

Namun kini penduduk di Jerantut tertanya-tanya bilakah projek tersebut akan siap sedangkan mengikut jadual asal, klinik tersebut akan mula beroperasi selewat-lewatnya awal Februari.

Sehingga kini, bangunan yang dibina belum nampak dan jika ikut jadual asal, kontraktor yang mengendalikan projek tersebut hanya mempunyai masa sebulan lagi untuk menyiapkannya.

Saya rasa pembinaan klinik tersebut tidak akan dapat disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan dan disebabkan kelewatan tersebut hujan lebat yang melanda Bandar Taman Negara itu dihujani banjir lumpur.

Baru-baru ini banjir lumpur telah melanda Jalan Tahan yang terletak tidak jauh dari kawasan pembinaan menyebabkan jalan tersebut dilimpahi lumpur dan menjejaskan para peniaga di kawasan tersebut.

Difahamkan, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai telah membuat lawatan ke tapak pembinaan klinik berkenaan pada Jun tahun lalu ekoran kelembapan kontraktor mengendalikannya.

Pada masa sama, Menteri Kesihatan juga telah memberi amaran agar kontraktor tersebut menyiapkan projek berkenaan mengikut jadual dan beliau akan kembali ke Jerantut untuk meninjau klinik berkenaan sekali lagi.

Sementara itu, projek pembinaan kompleks sukan pula belum bermula sedangkan kerja-kerja pembinaannya sepatutnya bermula November lalu.

Kerajaan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM5 juta untuk membina kompleks sukan di Jerantut yang dilengkapi dengan padang bola sepak, tempat duduk berkapasiti 800 orang dan sistem perparitan yang sempurna.

Kompleks sukan tersebut akan dibina di atas tanah seluas lima hektar bersebelahan bangunan Jabatan Bekalan Air namun tidak ada satu pun kelibat jentera berat di kawasan tersebut.

Apa yang difahamkan, peruntukan tersebut bagaimanapun tidak mencukupi untuk membina satu kompleks sukan yang lengkap sebaliknya kerajaan perlu menambah peruntukan kira-kira RM2.3 juta lagi untuk membuat trek larian.

Projek pembinaan kompleks sukan tersebut diusulkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membuat lawatan ke Jerantut pada 2010 dan beliau meluluskan pembinaan kompleks berkenaan.

Ketiga-tiga projek tersebut sangat penting dan amat dinantikan oleh penduduk namun sehingga kini belum siap.

Saya berharap agar pihak berwajib terutama wakil rakyat dan kontraktor yang mengendalikan projek tersebut memandang serius perkara ini kerana ia melibatkan kepentingan masyarakat setempat dan perkara ini dapat diatasi dengan segera.

MAT RESAH,

Felda Kota Gelanggi

Teluk Chempedak dinaik taraf

Posted:

Teluk Chempedak dinaik taraf

Teluk Chempedak dinaik taraf

Oleh ZAMZURINA AHMAD
zamzurina.ahmad@utusan.com.my

KUANTAN 9 Feb. – Sebanyak RM3.67 juta diperuntukkan kerajaan bagi menaik taraf kemudahan di pantai Teluk Chempedak di sini untuk kemudahan pengunjung.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga negeri, Datuk Shafik Fauzan Shariff berkata, peruntukan itu diperoleh menerusi Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) dan RMK-10 dengan masing-masing berjumlah RM1.87 juta dan RM1.5 juta.

"Sehingga kini saya berpuas hati dengan kerja-kerja baik pulih yang dilakukan sejak tahun lalu terutama laluan pejalan kaki dari pantai menuju ke Teluk Tongkang.

"Laluan pejalan kaki yang dibina menggunakan plastik fiber itu dilihat kukuh dan selamat berbanding penggunaan jambatan kayu sebelum ini," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di pantai berkenaan semalam.

Menurut Shafik, beliau berharap Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) akan melakukan kerja-kerja pembersihan di sepanjang pantai dan laluan pejalan kaki selepas laluan itu siap sepenuhnya minggu depan.

"Banyak sampah sarap yang kelihatan di sepanjang laluan itu kerana ia masih dalam pembinaan. Justeru, saya berharap pihak MPK segera bertindak sebaik sahaja ia siap sepenuhnya.

"Ini berikutan Teluk Chempedak merupakan lokasi pilihan setiap pelancong yang berkunjung ke negeri ini," jelasnya.

Tambahnya, selain laluan pejalan kaki, tandas awam di pantai berkenaan turut dibangunkan semula dengan konsep hijau agar lebih mesra alam.

"Tandas awam yang memiliki 40 buah bilik termasuk bilik mandi bagi kemudahan pengunjung lelaki dan wanita itu dibina bercirikan mesra alam termasuk penjimatan elektrik dan air.

"Sebagai contoh, air yang digunakan untuk membasuh kaki dan tangan akan digunakan semula bagi menyiram pokok bunga.

"Malah, reka bentuknya yang unik seperti ruang-ruang udara dipraktikkan bagi mengelakkan penggunaan kipas atau penghawa dingin," jelasnya.

Peniaga tidak beretika jejas sektor pelancongan

Posted:

Peniaga tidak beretika jejas sektor pelancongan

Peniaga tidak beretika jejas sektor pelancongan

SISWA SUKA MELANCONG,
Maran

SAYA merupakan anak jati Pahang yang cukup kagum dengan keindahan alam semula jadi negeri ini.

Pantai yang cantik, keindahan Taman Negara dan pelbagai tempat menarik sering sahaja menjadi bahan cerita untuk saya apabila berborak dengan rakan-rakan dari negeri lain.

Pada cuti Tahun Baru Cina baru-baru ini, saya yang kini belajar di sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) di ibu negara pulang bersama empat rakan lain ke kampung kelahiran saya di Maran.

Saya memilih membawa rakan-rakan yang berasal dari Sabah, Pulau Pinang, Johor dan Kuala Lumpur itu menghabiskan cuti di Kuantan.

Apabila tiba di Kuantan, selepas selesai menjamu selera di sebuah restoran yang menyajikan masakan Pahang, saya mula rasa malu dengan rakan-rakan.

Apa tidaknya, sudahlah makanan terlalu mahal mengalahkan di Kuala Lumpur, rasa hidangan yang disajikan juga sekadar menghilangkan rasa lapar sahaja.

Apa yang dikesalkan ialah restoran berkenaan tidak meletakkan tanda harga bagi setiap lauk dan hanya mengaburi pelanggan dengan harga yang dipaparkan untuk hidangan masakan panas.

Selepas itu, saya membawa rakan-rakan ke pusat peranginan terkenal, pantai Teluk Chempedak untuk beriadah pula.

Masalah pertama yang dihadapi ialah begitu sukar mendapatkan ruang bagi meletak kenderaan tetapi kami anggap perkara tersebut biasa apatah lagi ketika itu cuti umum.

Saya berharap kedinginan angin laut yang menerpa akan membuatkan percutian saya dan rakan-rakan akan berakhir dengan kenangan terindah.

Setelah puas berjalan dan mengambil gambar, kami duduk berehat seketika di gerai makanan yang disediakan.

Sebaik rakan saya menempah minuman di sebuah gerai, tiba-tiba kami dimarahi oleh peniaga di situ kerana tidak membeli minuman di kedainya.

Alasannya, meja yang kami duduki itu miliknya, padahal semua meja di situ sama sahaja dan saya pasti ia disediakan pihak berkuasa tempatan.

Justeru, saya menggesa pihak berkuasa memantau beberapa perkara yang dinyatakan di atas seperti pemantauan harga makanan yang dipamerkan dan sikap peniaga terhadap pengunjung.

Apa guna slogan 'Budi Bahasa Budaya Kita' jika ia tidak dipraktikkan terutama di kawasan tumpuan pelancong.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan