Rabu, 8 Februari 2012

Utusan Online - Pahang

Utusan Online - Pahang


Lepar Utara terputus bekalan gas

Posted:

Lepar Utara terputus bekalan gas

Lepar Utara terputus bekalan gas

Oleh HARIS FADILAH AHMAD
utusanktn@gmail.com


OSMAN SHAARI menunjukkan stor simpanan gas yang kosong di Felda Lepar Utara 3, Jerantut, kelmarin.


JERANTUT 8 Feb. – Seramai 15,000 penduduk di Gugusan Felda Lepar Utara dekat sini mengalami kesukaran untuk memasak berikutan bekalan gas untuk tujuan itu terputus sejak tiga bulan lalu.

Masalah itu meliputi penduduk di penempatan Felda Lepar Utara 1, 2, 4, 8, 9, 11 dan 14 serta kakitangan kilang sawit Lepar Utara 4 dan 6.

Ia berpunca daripada kekurangan bekalan gas dari depot di Lembah Klang manakala pembekal di bandar lain enggan menghantar gas ke kawasan itu dengan jumlah kecil kerana terletak di luar operasi bekalan masing-masing.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati kedai Felda D'Mart yang terletak di Felda Lepar Utara 3, 9, 11, 1, 2 dan 4 turut menerima tempias apabila masing-masing cuma menerima penghantaran 60 tong gas dalam tempoh seminggu.

Ketua Kampung Felda Lepar Utara 3, Osman Shaari, 46, berkata, senario yang dialami penduduk di situ bermula sejak tiga bulan lalu dan keadaan semakin kritikal pada Disember tahun lepas.

"Bekalan gas dari pembekal di Bandar Tun Razak, Jengka yang terakhir ke kawasan ini adalah pada awal tahun ini dan sehingga kini kami terputus bekalan.

"Kami memohon pembekal di bandar Jerantut menghantar bekalan gas memasak, tetapi mereka enggan kerana di luar kawasan operasi mereka," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Seorang peneroka Felda Lepar Utara 8, Sulaiman Nayan, 62, berkata, keadaan semakin kritikal sejak awal Januari lalu dan ia menjejaskan pendapatan peniaga kedai makan di kawasan itu.

"Peniaga terpaksa memberhentikan jualan berikutan ketiadaan gas memasak di pasaran," katanya.

Dia meminta kerajaan negeri memulihkan kemelut berkenaan dengan membenarkan ramai pembekal menghantar gas memasak ke kawasan berkenaan.

Seorang peniaga kedai makan, Fatimah Jaafar, 48, berkata, bekalan tiga tong gas masih tidak mencukupi dan terpaksa berbelanja lebih untuk memperoleh gas memasak di bandar Jerantut sejauh 80 kilometer dari Gugusan Felda Lepar Utara.

"Harga setong gas seberat 12 kilogram adalah RM23.50 dan akan meningkat sebanyak RM24.70 apabila dijual di kawasan ini akibat ketidakcukupan bekalan dan ia menyusahkan penduduk," katanya.

Dia menambah, penduduk terpaksa memunggah menggunakan kereta dengan dikenakan caj sehingga RM80 untuk dua tong gas termasuk membayar sewa kereta untuk ke Bandar Tun Razak, Jengka dan Jerantut bagi mendapatkan bekalan.

Platform penyatuan masyarakat Melayu

Posted:

Platform penyatuan masyarakat Melayu

Platform penyatuan masyarakat Melayu

JERANTUT 8 Feb. - Budaya berkhatan beramai-ramai perlu disuburkan kerana boleh menjadi platform penyatuan masyarakat Melayu di bandar dan luar bandar selain menjimatkan kos.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Damak, Datuk Lau Lee berkata, majlis itu mampu menarik kehadiran pelbagai kaum untuk menyaksikan kemeriahan masyarakat Melayu Islam dalam melaksanakan program bercorak tradisional itu.

Menurutnya, penganjuran itu membolehkan masyarakat memahami lebih jelas mengenai nilai budaya tradisional orang Melayu meraikan kanak-kanak sebelum memasuki alam dewasa.

"Kebiasaannya, majlis berkhatan dibuat secara individu dan terhad kepada keluarga dan jiran terdekat sahaja. Bagaimanapun jika dibuat secara berkelompok, ia jadi lebih meriah.

"Orang ramai terutamanya kalangan penduduk pelbagai kaum boleh hadir menyaksikan kemeriahan sekali gus memupuk persefahaman kaum serta menjayakan konsep 1Malaysia," katanya kepada pemberita di Damak baru-baru ini.

Bagi Pengerusi Belia Wawasan Kampung Melayu Damak, Ramli Mustapha, 42, majlis itu wajar dijadikan amalan dalam masyarakat Melayu Islam untuk mengukuhkan semangat silaturahim selain mampu menjimatkan masa dan kos.

"Selain menunaikan sunnah Rasulullah, ia dapat dijadikan medan kepada pemimpin setempat bersemuka dengan masyarakat dan bertanyakan masalah serta kebajikan masing-masing," katanya.

Sehubungan itu, program tersebut membantu kanak-kanak di kalangan keluarga miskin menerusi sumbangan perseorangan kerana kos operasi berkhatan juga membebankan jika dilaksanakan di klinik swasta berbanding dengan kerajaan.

Ketua Kampung Hulu Cheka, Nazri Che Husin, 46, berkata, program itu merupakan pengisian badan kebajikan JKKK bertepatan dengan musim cuti persekolahan.

"Program ini juga dapat mengekalkan tradisi berkhatan masyarakat Melayu di sini dengan perarakan bunga manggar, membawa pulut kuning dan acara mandi beramai-ramai." katanya.

Tambahnya, program tahunan kampung itu akan menyedarkan generasi baru supaya mengekalkan tradisi adat berkhatan walaupun kaedah moden sudah diguna pakai ketika rawatan.

Sukan lasak pahang bicycle mania 2012

Posted:

Sukan lasak pahang bicycle mania 2012

Sukan lasak pahang bicycle mania 2012

KUANTAN 8 Feb. — Acara sukan berbasikal lasak Pahang Bicycle Mania 2012 anjuran kerajaan negeri Pahang dan pihak swasta kini kembali lagi setelah penganjurannya pada tahun lepas mendapat sambutan hangat ribuan peminat sukan berbasikal dari seluruh negara.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Warisan, Pembangunan Keluarga dan Hal Ehwal Wanita negeri, Datuk Shafik Fauzan Sharif berkata, sebanyak dua pertandingan berbasikal akan diadakan pada bulan ini iaitu sukan berbasikal extreme BMX dan papan luncur serta perlumbaan basikal bukit.

"Bagi acara berbasikal extreme BMX dan papan luncur, ia akan diadakan pada 18 Februari ini di Teluk Cempedak dari pukul 10 pagi hingga 11 malam.

"Manakala acara perlumbaan basikal bukit pada 26 Februari ini pula hanya terbuka kepada peminat basikal lasak peringkat amatur sahaja dan pertandingan bertempat di trek basikal Taman Bandar Mountain Bike Criterium, Indera Mahkota," katanya.

Katanya, pertandingan itu terbahagi kepada tiga kategori iaitu terbuka lelaki veteran (40 tahun dan ke atas), terbuka wanita (18 tahun dan ke atas) dan terbuka lelaki (18 hingga 39 tahun).

Pendaftaran adalah pada 25 Februari ini di kedai basikal Rahim Le Tua, Bandar Indera Mahkota bermula pukul 10 pagi hingga 3 petang dan yuran penyertaan RM15 bagi setiap kategori.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan 30 jaket keselamatan sumbangan pihak swasta kepada anggota polis yang telah membantu melicinkan pelbagai acara berbasikal di negeri itu tahun lepas di Ibu Pejabat Polis kontinjen Pahang di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Cawangan Khas Pahang, SAC Datuk Riduan Hashim.

Beliau berkata, kerajaan negeri mahu lebih banyak acara sukan berbasikal dianjurkan di setiap daerah di negeri itu bagi mempromosikan sukan itu sebagai gaya hidup. – BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan