Jumaat, 24 Februari 2012

Utusan Online - Muka Hadapan

Utusan Online - Muka Hadapan


Pas Kedah bergolak lagi

Posted:

Pas Kedah bergolak lagi

Pas Kedah bergolak lagi

Oleh MOHD. SHARIZA ABDULLAH
utusankedah@utusan.com.my

ALOR SETAR 23 Feb. - Kepimpinan Kerajaan Pas Kedah sekali lagi berhadapan dengan krisis apabila sekurang-kurangnya empat Exco parti itu dikatakan enggan hadir pada majlis pelantikan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, pada 28 Februari ini.

Empat Exco yang dikaitkan ialah Datuk Phahrolrazi Zawawi, Dr. Ismail Salleh, Datuk Dr. Hamdan Mohamed Khalib dan seorang lagi Exco yang tidak didedahkan identitinya.

Krisis terbaru itu dijangka meletakkan Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dalam dilema memandangkan tindakan berkenaan dikaitkan dengan usaha memberi tekanan kepada beliau untuk meletakkan jawatan.

Sejak September tahun lalu, Azizan menghadapi pelbagai tekanan untuk berundur daripada jawatan tersebut atas alasan beliau tidak mempunyai keupayaan mentadbir Kedah dan menghadapi masalah kesihatan.

Sementara itu, satu sumber mendedahkan sekurang-kurangnya empat anggota Exco sudah mengosongkan bilik masing-masing dan seorang daripadanya dilaporkan sudah sah menghantar surat peletakan jawatan kepada Azizan.

Sumber itu mendakwa, kesemua mereka bertindak demikian sebagai bantahan kepada gaya pentadbiran Azizan yang dikatakan tidak efisien.

Krisis terbaru politik Kedah itu bermula apabila tersebar khabar angin terdapat tiga Exco negeri berkenaan telah menghantar surat kepada Azizan menyatakan mereka tidak mahu dilantik semula ke jawatan tersebut dan salinannya dihantar kepada Setiausaha Kerajaan Negeri.

Sumber memberitahu, langkah yang dibuat oleh mereka bertujuan memberi tekanan kepada Azizan supaya tidak bertanding pada pilihan raya umum akan datang.

Tindakan itu sekali gus akan membolehkan Azizan tidak dilantik semula ke jawatan tersebut jika pakatan pembangkang terus memerintah Kedah.

Sementara itu, Exco yang terlibat ketika dihubungi Utusan Malaysia tidak mengesahkan atau menafikan sama ada mereka akan menghadiri majlis pelantikan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 28 Februari ini.

Dua daripada empat Exco yang dikatakan terlibat seolah-olah berdolak-dalik dalam memberikan pengesahan.

Phahrolrazi yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Jawatankuasa Kerja Raya, Bekalan Air, Sumber Air Dan Tenaga berkata, belum masanya beliau membuat sebarang kenyataan tetapi jika perlu, satu sidang akhbar berhubung perkara tersebut akan diadakannya dalam tempoh terdekat.

"Bagi buah masak cukup dahulu, baru boleh buat kenyataan," katanya yang juga Timbalan Pesuruhjaya I Pas Kedah.

Sementara itu, Dr. Ismail juga enggan membuat sebarang kenyataan dengan mendakwa beliau tidak tahu menahu mengenai perkara tersebut.

Ditanya sama ada beliau telah menghantar surat tidak mahu dilantik semula sebagai Exco, Pengerusi Kesihatan, Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO), Pembangunan Insan, Sains dan Inovasi, Teknologi Maklumat dan Komunikasi negeri itu berkata: "Tanya MB (Menteri Besar), beliau tahulah kot. Saya tidak tahu apa-apa, jadi tak mahu kata apa-apa lagi."

Dr. Hamdan yang memegang portfolio Belia dan Sukan, Kesenian dan Warisan serta Kebudayaan negeri pula gagal dihubungi.

Dalam perkembangan berkaitan, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan, Azizan selaku Menteri Besar berhak untuk melantik atau menggugurkan mana-mana Exco kerana ia proses biasa dalam pentadbiran.

"Hak negeri untuk pilih siapa yang layak. Lantik orang baru atau gugur juga perkara biasa," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Karnival Kedah Sejahtera di Kompleks Pas Pokok Sena malam tadi.

Justeru, Abdul Hadi berkata, orang ramai tidak sewajarnya mempercayai khabar angin kerana ia bukan sumber rasmi.

Kerajaan Negeri Kedah melakukan rombakan barisan Exconya setahun sekali.

Tak jemput bukan isu – PM

Posted:

Tak jemput bukan isu – PM

Tak jemput bukan isu – PM

Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD dan MOHD. ASRON MUSTAPHA
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 23 Feb. – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, tindakan kerajaan Persekutuan tidak menjemput menteri besar dan ketua menteri negeri yang ditadbir pembangkang dalam mesyuarat penyelarasan kelmarin, bukan satu isu kerana ia merupakan amalan biasa sejak sekian lama.

Perdana Menteri berkata, mesyuarat tersebut hanya terhad kepada menteri besar dan ketua menteri negeri ditadbir Barisan Nasional (BN) sahaja dan ia tidak bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Bagaimanapun beliau berkata, bagi mesyuarat yang membabitkan Majlis Tanah Negara, Kerajaan Tempatan dan Jawatankuasa Kewangan Negara, semua menteri besar dan ketua menteri termasuk dari negeri pembangkang dijemput.

"Ini amalan sejak dahulu lagi. Saya telah lama dalam kerajaan, apa masalahnya. Soal jemputan tidak perlu berbangkit. Mereka (pembangkang) pun banyak mesyuarat tetapi tidak pernah jemput kita. Itupun hendak dipersoalkan," katanya sinis.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang mempertikaikan soal jemputan ke mesyuarat penyelarasan tersebut, selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini malam ini.

Dalam pada itu, Perdana Menteri mengesahkan kehadiran Ketua Wanita UMNO yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil pada mesyuarat MT malam ini.

Namun Najib berkata, isu berhubung kontroversi Pusat Fidlot Nasional (NFC) yang dikaitkan dengan Shahrizat tidak dibincangkan.

Sementara itu Najib berkata, mesyuarat malam ini menetapkan 1 April hingga 15 Jun sebagai tarikh diadakan persidangan tahunan cawangan manakala persidangan perwakilan bahagian pula ditetapkan pada 1 Julai hingga 15 September depan.

"Mesyuarat juga memutuskan sambutan ulang tahun UMNO ke-66 pula buat pertama kalinya akan disambut secara meriah di Stadium Merdeka pada 11 Mei akan datang.

"Mesyuarat juga dimaklumkan keahlian UMNO sehingga 31 Disember tahun lalu bertambah seramai 113,116 orang menjadikan jumlah keseluruhannya seramai 3,335,878 orang," ujarnya.

Selesai segera kes NFC

Posted:

Selesai segera kes NFC

Selesai segera kes NFC

KUALA LUMPUR 23 Feb. - Panel Penilaian Operasi (PPO) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mahu siasatan terhadap kes Pusat Fidlot Nasional (NFC) diselesaikan segera bagi berlaku adil kepada semua pihak yang terlibat dalam skandal itu.

Pengerusinya, Tan Sri Dr. Hadenan Abdul Jalil berkata, siasatan itu perlu diselesaikan segera untuk mengelak pelbagai spekulasi berhubung kes itu.

"SPRM telah melengkapkan kertas siasatan itu tetapi ia telah dikembalikan oleh Jabatan Peguam Negara kerana ada beberapa perkara perlu disiasat lagi," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat khas PPO penggal pertama 2012 di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia di sini, hari ini.

Dr. Hadenan berkata, pihaknya telah diberikan penerangan mengenai proses siasatan kes itu pada satu mesyuarat khas.

"Kes ini disiasat oleh dua pihak iaitu SPRM dan polis," katanya.

NFC berdepan dengan kontroversi selepas Laporan Ketua Audit Negara 2010 pada Oktober lepas menyatakan ia gagal memenuhi matlamat penubuhannya.

Mengenai mesyuarat hari ini, beliau berkata, panel itu antara lain membincangkan tiga kes berprofil tinggi termasuk yang membabitkan menantu Menteri Besar Kelantan, Abdul Ariffahmi Abd Rahman.

Kes terhadap Abdul Ariffahmi yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PBMK) telah ditutup kerana kekurangan bukti untuk melakukan pendakwaan terhadap beliau, katanya.

Abdul Ariffahmi disiasat SPRM atas dakwaan menyalahgunakan wang perbadanan negeri Kelantan dan isu berkaitan penerbangan isterinya ke Kuala Lumpur dan Dubai, yang didakwa menggunakan wang kerajaan negeri.

Dr. Hadenan berkata, kes membabitkan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Muda Mat Suhaimi Shafiei dan ADUN Batu Caves Amirudin Shari, yang disiasat oleh SPRM berhubung isu penyelewengan pasir di Selangor, masih diteruskan.

"Panel bersetuju kes ini diteliti semula oleh bahagian perundangan SPRM kerana ada beberapa perkara yang perlu disemak," katanya.

Menurutnya, hasil operasi SPRM terhadap kes penyelewengan pasir pada tahun lepas, seramai 43 orang telah ditangkap terdiri daripada 30 pegawai penguat kuasa dan 13 orang awam kerana dipercayai menerima suapan antara RM500 dan RM88,000.

Sementara itu, beliau berkata, SPRM menyita harta berjumlah RM24.4 juta menerusi 967 kes yang dapat diselesaikannya dalam tempoh enam bulan pada tahun lepas.

Dr. Hadenan berkata, daripada kesemua kes itu, jumlah harta yang dilucutkan hak pula ialah RM49 juta manakala hasil denda diperolehi SPRM ialah RM10 juta.

Beliau berkata, sepanjang tahun lepas juga, SPRM menerima 13,325 maklumat membabitkan pelbagai kesalahan seperti rasuah dan penyalahgunaan kuasa tetapi hanya 1,300 kes yang dibuka untuk siasatan.

"Kita hanya buka kertas siasatan yang mempunyai maklumat kukuh dan tepat bagi membantu kita menyiasat kes dilaporkan. Dari maklumat itu, sebanyak 3,458 adalah surat layang," katanya. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan