Rabu, 15 Februari 2012

Utusan Online - Muka Hadapan

Utusan Online - Muka Hadapan


'Anwar perlu buat kenyataan terbuka'

Posted:

'Anwar perlu buat kenyataan terbuka'

'Anwar perlu buat kenyataan terbuka'

Oleh AZRAN FITRI RAHIM
azran.rahim@utusan.com.my


NIK Abdul Aziz Nik Mat bersama wakil-wakil agama di Kediaman Rasmi Menteri Besar, JKR 10, Kota Bharu, semalam.


KOTA BHARU 14 Feb. - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meminta Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat kenyataan terbuka sama ada mahu menarik balik sokongan terhadap Israel atau pun menyaman Wall Street Journal (WSJ).

Beliau berkata, rakyat mahu mengetahui perkara sebenar kerana ia telah menjadi isu yang diketahui umum selepas disiarkan WSJ baru-baru ini.

"Kalau dia (Anwar) hendak berjumpa (saya) tidak ada apa, kami cukup sokong orang yang duduk atas kebenaran, tidak merasa gerun.

"Cuma sebab dia buat kenyataan terbuka, saya hendak jawab secara sulit tidak betul, isu terbuka, jawab juga mesti terbuka supaya orang ramai dapat tahu," katanya kepada pemberita selepas bertemu dengan wakil-wakil agama di Kediaman Rasmi Menteri Besar, JKR 10, di sini hari ini.

Nik Abdul Aziz berkata demikian ketika diminta mengulas laporan sebuah portal propembangkang yang memetik sumber dalaman PKR bahawa Anwar akan bertemu dengan beliau untuk menjelaskan isu Israel itu.

Malam tadi, Nik Abdul Aziz dalam satu kenyataan mendesak Anwar supaya menarik balik kenyataannya yang menyokong sebarang usaha memastikan keselamatan negara Israel seperti yang disiarkan dalam WSJ baru-baru ini.

Pas turut meminta Anwar supaya menyaman WSJ sekiranya kenyataan tersebut telah diputar-belitkan oleh media berkenaan.

Desakan tersebut dibuat selepas ahli jawatankuasa tertinggi parti itu dan Majlis Syura Ulama Pas mengadakan mesyuarat di Kuala Lumpur kelmarin.

Mengulas lanjut, Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, sehingga kini beliau masih belum dihubungi pemimpin tertinggi PKR mengenai pertemuan itu.

Dalam pada itu, ketika ditanya apakah tindakan Pas sekiranya Anwar masih tidak menarik balik kenyataan tersebut atau pun menyaman WSJ, beliau berkata: "Tidak apa biar begitu dulu, kalau tidak tarik balik itu masalah kemudian."

Malaysia konsisten sokong Palestin

Posted:

Malaysia konsisten sokong Palestin

Malaysia konsisten sokong Palestin

Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED
metra.mohamed@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 14 Feb. – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Malaysia sentiasa memberi sokongan padu kepada perjuangan Palestin dan pendirian negara terhadap isu-isu melibatkan perjuangan tersebut adalah konsisten.

Menurut Perdana Menteri, walaupun Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan menyokong usaha menjaga keselamatan Israel, Palestin termasuk rakyatnya sedia maklum ia bukanlah pendirian Malaysia secara amnya.

''Saya berpendapat Hamas dan Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) juga tahu bahawa itu (kenyataan Anwar) bukan pendirian kita (kerajaan).

''Rakyat Palestin tahu kerajaan menyokong kuat perjuangan mereka dan akan terus memberikan sokongan padu. Kita sentiasa konsisten dalam menyokong perjuangan itu,'' katanya.

Najib berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Minggu Pembinaan Antarabangsa Malaysia 2012 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai kekecewaan dan kebimbangan Palestin terhadap kenyataan Anwar dalam temu bual yang disiarkan The Wall Street Journal (WSJ), bulan lalu.

Kekecewaan itu disampaikan oleh Perdana Menteri Palestin, Ismail Haniyeh kepada Pengerusi Pentadbiran Yayasan al-Quds Malaysia, Nasharuddin Mat Isa, di Kuwait baru-baru ini.

Najib memberitahu, apa yang diperkatakan Anwar itu diyakini mengundang rasa kecewa rakyat Palestin yang sekian lama menderita ekoran kekejaman rejim Zionis Israel.

''Amat jelas mereka (rakyat Palestin) kecewa dengan kenyataan yang dibuat oleh Anwar. Kita tidak boleh menggunakan apa yang kita cakap kepada khalayak berlainan untuk melihat hasil yang berbeza.

''Apa yang penting, kita perlu konsisten kerana apa yang kita cakap, walau di Bachok atau Jerantut sekalipun, ia boleh dilaporkan ke seluruh dunia,'' katanya.

Mengenai desakan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat agar Anwar menarik balik kenyataan atau menyaman WSJ jika kenyataan itu telah diputar-belitkan, kata beliau, Pas juga telah bersuara agar Anwar melakukan apa yang didesak oleh parti berkenaan.

Dalam pada itu di Pokok Sena, Kedah, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, desakan Pas agar Anwar menarik balik kenyataannya yang menyokong sebarang usaha memastikan keselamatan Israel menjelaskan bahawa kedua-dua parti tersebut tidak sehaluan dalam pandangan dan perjuangan.

Kata beliau, Pas, DAP dan PKR walaupun bergabung namun mereka sentiasa mempunyai pandangan yang berbeza dan tidak sehaluan.

"Kenyataan Nik Aziz mencabar Anwar itu sesuatu yang sangat serius menjelaskan bahawa terdapat pertelingkahan antara mereka. Lebih banyak Hadi (Datuk Seri Abdul Hadi Awang), Nik Aziz dan Anwar bercakap, lebih ketara perbezaan dan pemikiran mereka.

"Rakyat harus ambil iktibar daripada perkara ini supaya mereka faham siapa sebenarnya pakatan pembangkang. Ini satu iktibar atau peringatan kepada rakyat tentang siapa mereka, perjuangan mereka, ideologi mereka dan perjuangan pemimpin dalam pakatan pembangkang," katanya.

Sedih tak jujur laksana DEB

Posted:

Sedih tak jujur laksana DEB

Sedih tak jujur laksana DEB

Oleh SYUKRI SHAARI
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 14 Feb. – Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah menyelar tindakan sesetengah pihak yang tidak amanah serta telus dalam melaksanakan Dasar Ekonomi Baru (DEB) sehingga matlamat membangunkan ekonomi orang Melayu dan Islam terjejas.

Baginda bertitah, DEB yang asalnya merupakan matlamat murni untuk menyeimbangkan agihan ekuiti secara saksama antara kaum di negara ini tercalar apabila berlakunya perbuatan tidak bertanggungjawab di peringkat pelaksanaannya.

Sambil menyifatkan tindakan tersebut sebagai satu kecurangan, baginda bertitah, ia menyebabkan wujud jurang antara matlamat yang disasarkan menerusi dasar itu dengan realiti pencapaiannya.

"Banyak contoh kejayaan melalui DEB yang tidak boleh dinafikan terutamanya dari segi melahirkan modal insan profesional serta menambah kumpulan pertengahan di kalangan Melayu dan bumiputera.

"Bagaimanapun, berlakunya kecurangan di peringkat pelaksanaan telah menjejaskan matlamat asal dasar tersebut sehingga mewujudkan jurang antara matlamat yang disasarkan terutamanya membabitkan pemilikan ekuiti.

"Akibatnya, matlamat mahu menyeimbangkan agihan ekuiti di kalangan ummah gagal dicapai manakala dasar murni tersebut dipersalahkan, dijadikan sasaran kritikan sehingga ada pihak tergamak menghinanya.

''Sedarlah, hakikatnya dasar itu tidak berdosa, yang berdosa adalah mereka yang melakukan penyelewengan di peringkat pelaksanaan," titah baginda pada Seminar Wakaf: Penjana Pembangunan di Sasana Kijang Bank Negara di sini hari ini.

Sementara itu, Raja Dr. Nazrin bertitah, terdapat kajian yang menunjukkan bahawa hanya enam peratus daripada kekayaan individu atau keluarga Melayu yang sempat sampai ke generasi ketiga manakala hanya dua peratus sahaja yang kekal melewati generasi tersebut.

"Pola daya tahan pemilikan ekuiti berkenaan akan memberi impak negatif dalam jangka panjang. Ia kritikal kerana boleh mengakibatkan orang Melayu dan Islam menerima nasib berdagang di bumi sendiri," titah baginda.

Justeru, baginda mahu orang Melayu dan Islam lebih berani dalam melakukan penghijrahan strategi daripada kaedah berfokuskan individu kepada kaedah berasaskan institusi demi pembangunan ekonomi ummah.

Baginda bertitah, konsep wakaf korporat merupakan satu alternatif yang berpotensi untuk memacu ummah ke arah penghijrahan tersebut dan membantu pembangunan ekonomi yang mapan.

"Konsep wakaf bukanlah baru kerana suatu ketika dahulu ia berperanan sebagai sumber kekuatan ekonomi ummah sehingga tidak perlu bergantung kepada dana kerajaan.

"Beta menyifatkan konsep wakaf korporat ini sebagai pendekatan alternatif bagi membantu ummah mengatasi keadaan kritikal yang sedang dialami. Ia diyakini lebih berkesan dalam memenuhi agenda membangunkan ekonomi orang Melayu dan Islam," titah baginda.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan