Selasa, 14 Februari 2012

Utusan Online - Muka Hadapan

Utusan Online - Muka Hadapan


Pas desak Anwar tarik balik kenyataan

Posted:

Pas desak Anwar tarik balik kenyataan

Pas desak Anwar tarik balik kenyataan

Oleh AZRAN FITRI RAHIM
pengarang@utusan.com.my

KOTA BHARU 13 Feb. - Pas hari ini mendesak Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya menarik balik kenyataannya yang menyokong sebarang usaha memastikan keselamatan negara Israel seperti yang disiarkan dalam The Wall Street Journal (WSJ) baru-baru ini.

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat juga meminta Anwar supaya menyaman WSJ sekiranya kenyataan tersebut telah diputar-belitkan oleh media berkenaan.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas jawatankuasa tertinggi parti itu dan Majlis Syura Ulama Pas bermesyuarat di Kuala Lumpur semalam.

"Jawatankuasa Agung dan Majlis Syura membuat keputusan meminta saya mengirim surat kepada Anwar supaya menarik balik kenyataannya mengenai Israel sebagaimana yang disiarkan dalam WSJ.

"Sekiranya kenyataan WSJ tidak tepat, kita harap Anwar menyaman WSJ. Saya telah menandatangani surat di Kuala Lumpur semalam dan insya-Allah surat itu akan dihantar oleh Setiausaha Majlis Syura selepas ini," katanya pada sidang akhbar selepas majlis makan malam bersama Ahli Majlis Fatwa Kebangsaan di Hotel GRV di sini malam ini.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Anwar dalam wawancara dengan WSJ baru-baru ini menyatakan sokongan terhadap sebarang usaha bagi menjaga keselamatan negara Israel.

Ia telah mencetuskan bantahan umat Islam, malah ramai yang terkejut dengan kenyataan Anwar itu termasuk diplomat negara-negara Islam antaranya Duta Palestin ke Malaysia, Abdel Azeez Abughoush.

Menteri Besar itu bagaimanapun enggan mengulas mengenai pendapat banyak pihak bahawa Anwar mengeluarkan kenyataan itu hanya untuk menarik sokongan dari negara asing.

"Bila kita bersahabat kewajipan kita adalah tegur-menegur, apa yang kita tengok kawan kita tidak betul kita tegur, apa yang kawan kita tengok kita tidak betul dia tegur kita, itu ajaran agama.

"Saya telah tunaikan tanggungjawab sebagai seorang kawan dan Mursyidul Am Pas supaya dia tarik balik kenyataannya mengenai Israel kerana Israel ini negara haram. Saya telah sebut kepada Duta Amerika Syarikat ketika dia datang ke pejabat saya dua tahun lepas, saya kata kalau selipar Jepun sekali pun tidak ada hak untuk ambil negara kita, inikan pula negara Palestin. Siapa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), pandai-pandai bahagi dua bumi Palestin," katanya.

Kerajaan perkenal mekanisme penyelesaian

Posted:

Kerajaan perkenal mekanisme penyelesaian

Kerajaan perkenal mekanisme penyelesaian


Najib Tun Razak menyampaikan ucapan yang turut disertai oleh Muhyiddin Yassin pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri di Dataran Perdana Putra, Putrajaya semalam. - utusan/HANAFI KHAMIS


PUTRAJAYA 13 Feb. - Kerajaan sentiasa memperkenalkan mekanisme baru dalam pentadbiran melalui penekanan terhadap kaedah penyelesaian masalah secara lebih efektif demi kesejahteraan rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pendekatan itu sejajar dengan persetujuan dan kehendak para menteri semasa sesi permukiman di kediaman rasmi beliau minggu lepas.

Tegas beliau, ada beberapa isu yang memerlukan pegawai tinggi kerajaan menyelesaikan masalah secara 'cross-cutting' untuk mencapai hasil yang diharapkan tanpa menggunapakai kaedah konvensional yang kurang berkesan.

'Kita tidak perlu mengekalkan kaedah lama kerana itu amalan kita sedia kala justeru kita mesti mencipta idea baru yang lebih kreatif melalui pendekatan baru kerana inilah sikap yang perlu ada pada kita.

''Kita juga tidak boleh bersikap menidakkan kalau ada benda baru yang kita difikirkan baik jika mekanisme baru itu boleh kita guna pakai kerana ia lebih berkesan," katanya pada majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri di Dataran Perdana Putra, di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan.

Menurut Perdana Menteri, kaedah perbincangan melalui Jawatankuasa Kabinet tidak lagi sesuai kerana mengambil masa yang lama dan melibatkan ramai menteri dan pegawai kerajaan namun hasilnya mungkin lebih baik jika mengamalkan pendekatan penyelesaian masalah.

''Sebagai sebuah pentadbiran kita sentiasa mencari idea baru dan pendekatan baru sebab itulah kita perkenalkan pendekatan Lautan Biru untuk mencari jalan mencapai hasil lebih berkesan dengan menggunakan peruntukan minima dan penjawat awam sedia ada," katanya.

Perdana Menteri menegaskan, para pegawai perlu menterjemahkan kehendak kerajaan seiring dengan tuntutan sesuatu keperluan dan situasi melalui keputusan yang tepat dan pantas kerana negara memerlukan anggota pentadbiran yang cekap dan berintegriti untuk melakukan tugas dengan lebih efektif.

Katanya, segala bantuan untuk rakyat perlu disampaikan kepada kumpulan sasaran mengikut jadual ditetapkan dan setiap projek yang hendak dilaksanakan juga mesti dipastikan kelancarannya.

Najib berkata, Malaysia perlu lebih bersedia melakukan perubahan agar tidak ketinggalan dalam arus perubahan yang begitu hebat ekoran keadaan dunia yang tidak menentu meskipun negara memiliki kekuatan dalaman untuk menghadapinya.

Cari kaedah siasatan baru - PM

Posted:

Cari kaedah siasatan baru - PM

Cari kaedah siasatan baru - PM

Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 13 Feb.- Datuk Seri Najib Tun Razak menyarankan pihak keselamatan terutamanya Polis Diraja Malaysia (PDRM) mencari kaedah baru dalam menjalankan siasatan dan menyelesaikan kes-kes jenayah.

Kata Perdana Menteri, kaedah baru itu perlu seiring dengan persekitaran jenayah yang lebih moden hari ini sekali gus meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap kemampuan PDRM.

"Kaedah baru itu termasuk teknologi penyiasatan terkini dan kertas siasatan yang lebih lengkap selain memastikan prinsip kepimpinan dalam organisasi PDRM itu sendiri sentiasa diletakkan di barisan hadapan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar Antarabangsa Mengenai Prinsip Kepolisan anjuran PDRM dengan kerjasama Institut Kepimpinan Dan Strategi Asean (Asli) di sini hari ini.

Menurut Najib, anggota PDRM juga tidak wajar berasa putus asa atau mengalah terhadap percubaan pihak-pihak tertentu untuk menjatuhkan moral serta semangat mereka dengan pelbagai fitnah dan cacian.

Kata beliau, tuduhan-tuduhan tidak berasas itu sepatutnya diambil sebagai satu cabaran dalam memantapkan serta memperteguhkan lagi keupayaan PDRM membanteras jenayah.

Sambil melahirkan ucapan bangga dan tahniah atas penurunan kadar indeks jenayah serta peningkatan keyakinan orang ramai terhadap PDRM, tegas Najib, pasukan itu ketika ini berada pada landasan terbaik dalam memikul amanah dan tanggungjawab mempertahan keamanan negara.

"Sudah semestinya usaha memastikan negara ini bebas sepenuhnya daripada jenayah adalah satu perjalanan yang panjang namun ia bukanlah sesuatu yang mustahil untuk dicapai," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan