Isnin, 13 Februari 2012

Utusan Online - Muka Hadapan

Utusan Online - Muka Hadapan


Nik Abduh selar Karpal

Posted:

Nik Abduh selar Karpal

Nik Abduh selar Karpal

Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 12 Feb. – Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Nik Abduh Nik Aziz hari ini menyelar tindakan Pengerusi DAP, Karpal Singh yang tidak bersetuju dengan pendirian Pas menentang sambutan Hari Kekasih.

Sambil meminta Karpal belajar menghormati agama lain, Nik Abduh turut menegaskan peguam itu sepatutnya tidak memaksa pandangannya diterima oleh orang lain.

"Ia bukan hanya pendirian Pas, ia pendirian semua umat Islam. Semua pihak mesti terlibat mendidik dan menyeru umat Islam kepada kebaikan beragama.

"Mencegah kemungkaran adalah kebaikan yang dipromosi agama secara unggul. Dalam diri umat Islam ada agama. Ia hak tertinggi. Justeru, mendidik umat agar menghormati ajaran agama adalah hak asasi umat Islam.

"Karpal kena belajar walau sudah tua untuk menghormati agama lain, bukan memaksa pandangan sendiri ke atas orang lain. Politik bukan mahkamah," katanya menerusi status terkini di laman sosial Facebooknya hari ini.

Kenyataan Nik Abduh itu dipercayai berkait dengan tindakan Karpal yang menggesa Pas menarik balik pendirian membantah sambutan Hari Kekasih pada 14 Februari ini kerana ia mempromosikan aktiviti tidak bermoral.

Karpal seperti yang dilaporkan oleh sebuah akhbar hari ini dipetik berkata, pendirian Pas itu tidak boleh dipertahankan kerana sambutan Hari Kekasih diterima umum dan disambut hampir di semua negara.

Menurut Karpal, DAP berpendapat pendirian Pas menentang sambutan Hari Kekasih bukan satu langkah yang baik dan tindakan Pas juga bertentangan dengan hak asasi manusia dan prinsip kebebasan.

Dewan Pemuda Pas pada 7 Februari lalu, menggesa kerajaan melancarkan kempen menentang sambutan Hari Kekasih termasuk dengan menyiarkan iklan anti sambutan hari tersebut bagi mencegah umat Islam menyambutnya.

Peserta Felcra terima dividen RM839j

Posted:

Peserta Felcra terima dividen RM839j

Peserta Felcra terima dividen RM839j

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR dan AIN SAFRE BIDIN
pengarang@utusan.com.my

PASIR SALAK 12 Feb. - Seramai 94,000 peserta Felcra di seluruh negara bakal menerima durian runtuh apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka mengumumkan dividen sebanyak RM914 juta di sini Sabtu ini.

Pengerusi Felcra Berhad, Datuk Tajuddin Abdul Rahman berkata, pengumuman tersebut akan dibuat sempena Perhimpunan Rakyat dan Peserta Felcra Peringkat Kebangsaan yang dijangka dihadiri seramai 50,000 orang.

"Daripada jumlah dividen tersebut, RM839 juta adalah untuk peserta Felcra sementara yang selebihnya akan diagihkan kepada peserta Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

"Terdapat 7,000 peserta PPRT di seluruh negara yang kita bantu setiap bulan sejak bertahun-tahun lamanya iaitu bantuan bulanan sebanyak RM250 sebulan," katanya selepas meninjau persiapan perhimpunan tersebut di Tapak Perumahan Generasi Kedua Felcra Berhad Seberang Perak, Changkat Lada dekat sini hari ini.

Hadir sama Pengurus Besar Wilayah Felcra Berhad Perak, Mat Roni Zakaria.

Sementara itu Tajuddin berkata, Felcra akan mewujudkan dana pelaburan yang diuruskan oleh syarikat Pelaburan Felcra Berhad dengan suntikan awal sebanyak RM100 juta.

Beliau berkata, dana pelaburan itu adalah inisiatif baru bagi mengurangkan kebergantungan terhadap hasil ladang oleh peserta Felcra kerana hasil sektor itu yang semakin terhad ekoran masalah kekurangan tanah.

Tajuddin memberitahu, dana tersebut diuruskan oleh lembaga amanah yang profesional dan Felcra menggalakkan peserta untuk menabung dalam dana pelaburan berkenaan.

"Kami jangka kalau peserta melabur, Felcra pun melabur. Kita boleh wujudkan dana hingga RM500 juta dalam tempoh tiga atau tempat tahun. Jumlah itu membolehkan kita melakukan pelbagai pelaburan dan beri pulangan kepada syarikat dan peserta," katanya.

Selain itu katanya, Felcra juga akan menubuhkan Kolej Felcra di Seberang Perak bagi membangunkan modal insan daripada kalangan generasi Felcra.

Pas hanya pandai berjanji

Posted:

Pas hanya pandai berjanji

Pas hanya pandai berjanji

BACHOK 12 Feb. – UMNO Kelantan yakin rakyat di negeri ini mampu membuat keputusan untuk memilih kerajaan yang lebih baik dan menilai dengan sewajarnya selepas 21 tahun berada di bawah pentadbiran Pas.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Dr. Awang Adek Hussin (gambar) berkata, dasar membantu dan membela kebajikan rakyat menjadi tradisi dan amalan kepemimpinan UMNO yang dilaksanakan secara berterusan selaras aspirasi dan hala tuju Kerajaan Persekutuan.

"Ini termasuk memastikan kesejahteraan rakyat di peringkat akar umbi dalam pelbagai keperluan mendapat pembelaan yang sewajarnya.

"Rakyat sendiri pun sedar banyak kelemahan kerajaan Pas Kelantan yang gagal menyelesaikan masalah rakyat dan tidak menunaikan janji yang ditaburkan sepanjang pilihan raya umum yang lalu," katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan ceramah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tawang, di Pangkalan Cina, dekat sini malam tadi.

Awang Adek yang juga Timbalan Menteri Kewangan dan Ketua UMNO bahagian Bachok berkata, janji yang paling jelas gagal ditunaikan oleh Pas Kelantan ialah membina jambatan di Pangkalan Cina, dekat sini yang sepatutnya sudah siap dibina.

Beliau berkata, Kerajaan Pusat telah menyatakan kesediaan untuk membina jambatan berkenaan untuk memberi kemudahan kepada penduduk kawasan berkenaan.

"Tetapi kita gagal untuk melaksanakannnya apabila kerajaan Pas Kelantan bertindak membina cerucuk dan tiang jambatan di kawasan itu tetapi tertangguh pembinaannya sejak sekian lama.

"Kini yang ada hanyalah tiang-tiang konkrit dan dalam saat hampir pilihan raya ini kelihatan jentera berat ditempatkan di kawasan itu untuk mengabui mata rakyat," katanya.

Kata beliau, projek yang terbengkalai itu menyebabkan penduduk dari beberapa kampung terpaksa menggunakan laluan yang jauh untuk ke pekan Jelawat atau ke bandar Bachok terutama apabila jambatan Tok Guru di Sungai Kuau roboh pada musim banjir akhir tahun lalu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan