Khamis, 9 Februari 2012

Utusan Online - Muka Hadapan

Utusan Online - Muka Hadapan


Misteri kematian Patrick Wong?

Posted:

Misteri kematian Patrick Wong?

Misteri kematian Patrick Wong?

Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA
mohdasron.mustapha@utusan.com.my


Keratan Utusan Malaysia 20 November 2009.


KUALA LUMPUR 8 Feb. – Pengendali portal berita Free Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin hari ini mendakwa kematian ahli perniagaan, Datuk Patrick Wong Kie Yik yang terjatuh dari balkoni rumahnya pada 19 November 2009, sebenarnya dibunuh.

Lebih mengejutkan, Raja Petra mendakwa kematian bekas Presiden Persatuan Pemborong Binaan Malaysia itu mempunyai kaitan dengan skandal penyelewengan pasir membabitkan pemimpin pakatan pembangkang di Selangor.

Katanya, ia berdasarkan pertemuan antara beliau dengan mendiang di United Kingdom pada Oktober 2009 atau sebulan sebelum kejadian itu, di mana Patrick telah berjanji untuk mengumpul maklumat mengenai penyelewengan pasir untuk disiar dalam Free Malaysia Today.

Jelas Raja Petra, beliau percaya tiga perompak bersenjata parang yang memecah masuk rumah mendiang di Bukit Bandaraya, Bangsar, adalah pembunuh yang diupah oleh pihak yang terbabit dalam penyelewengan pasir kerana bimbang isu rasuah tersebut didedahkan Patrick.

"Seorang kawan baik saya telah dibunuh dan saya ingin tahu mengapa. Sekarang, selepas hampir tiga tahun, saya memiliki bukti yang akan mendedahkan cerita 'rasmi'. Sumber dalaman memberitahu saya ia bukan rompakan, ia satu pembunuhan berkait dengan perniagaan.

"Ini kerana selepas pertemuan di United Kingdom, Patrick meminta tempoh sebulan untuk mengumpul maklumat mengenai sindiket perlombongan pasir di Selangor, bererti pada November saya boleh mula menyiarkan pendedahan itu tetapi ia tidak berlaku.

"Beberapa minggu kemudian, Patrick dibunuh. Polis kata mendiang maut kerana terjatuh tetapi laporan bedah siasat mendapati kematiannya disebabkan kecederaan di kepala dan leher (seperti dicekik)," dakwanya seperti mana dipetik dari http://www.freemalaysiatoday.com.

Dalam kejadian pada 19 November 2009 lalu, Patrick, 57, yang ketika itu berada dalam bilik komputer dilaporkan maut apabila terjatuh daripada balkoni, ketika cuba menyelamatkan diri selepas panik melihat dua daripada tiga perompak menyerbu tingkat atas rumahnya.

Bagaimanapun, anak perempuan dan lelaki Patrick yang masing-masing berusia 18 dan 25 tahun serta pembantu rumah tidak diapa-apakan, sebaliknya perompak hanya melarikan dompet mangsa berisi USD300 (RM1,018) dan telefon bimbit milik anak perempuan mendiang.

Dalam pada itu, sebagai memperjuangkan kematian sahabat baiknya itu, Raja Petra berikrar akan mendedahkan segala bukti rasuah dan penyelewengan pasir yang didalangi beberapa pemimpin pakatan pembangkang selepas tiga tahun beliau mengumpul maklumat.

Ujarnya, tindakan tersebut demi memberi penghormatan kepada Patrick kerana mendiang semasa hayatnya menentang aktiviti rasuah dan penyelewengan pasir di Selangor yang seolah-olah 'dihalalkan' walaupun Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengetahui perkara itu.

"Sekurang-kurangnya saya dapat memberi penghormatan kepada mendiang walaupun sedar dengan risiko nyawa yang terpaksa saya hadapi tetapi jika apa yang berlaku pada Patrick terjadi ke atas saya, ia mengesahkan apa yang saya kata (pembunuhan) tentang mendiang," dakwanya.

Nama pemain rasuah didedah

Posted:

Nama pemain rasuah didedah

Nama pemain rasuah didedah



KUALA LUMPUR – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengotakan janji untuk tidak 'beri muka' kepada pemain yang terlibat dalam rasuah bola sepak apabila menyiarkan nama pemain dan pegawai yang terlibat mengatur perlawanan, semalam.

Dalam kenyataan kepada media semalam, FAM mendedahkan nama 11 pemain pasukan Piala Presiden 2011 Negeri Sembilan yang didakwa terlibat dalam rasuah setelah Jawatankuasa Tatatertib mendapati wujudnya unsur-unsur rasuah dan gejala mengatur perlawanan.

Hukuman penggantungan pemain dan pegawai tersebut berkuatkuasa pada 30 November lalu.

Empat pemain iaitu Mohd. Yatim Abdullah, Adrian Davadas, Norhairi Abdul Rahman dan Muhammad Zulfadhlie Mohamad A'ashari dikenakan hukuman gantung selama setahun daripada terlibat dengan semua aktiviti bola sepak di peringkat kebangsaan.

Mereka juga tidak boleh mengemukakan sebarang rayuan kepada FAM.

Tujuh lagi pemain itu Muhammad Zaidi Othman, Hamirul Fahamie Abu Yazid, Anwarul Hafiz Ahmad, Muhamad Haikal Mohamad Nazri, Suhairy Johari dikenakan hukuman lebih berat iaitu gantung lima tahun.

Pemain terbabit hanya dibenarkan membuat rayuan selepas menjalani hukuman penggantungan setahun.

Rayuan yang dibuat perlu dilakukan secara bertulis kepada FAM.

Ketua jurulatih pasukan Piala Presiden 2011 Negeri Sembilan, Yusarman Yusof pula digantung seumur hidup dan tidak boleh terlibat dengan sebarang aktiviti bola sepak.

Yusarman hanya boleh mengemukakan rayuan secara bertulis kepada FAM selepas 10 tahun menjalani hukuman.

Dalam kenyataannya, FAM turut mengumumkan pegawai-pegawai dan para pemain pasukan Piala Presiden Pulau Pinang SDM Navy 2011, pasukan Piala Presiden Johor MP Muar FC 2011, pasukan Piala Presiden Terengganu PBDKT/T-Team 2010 digantung sementara sehingga Mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib FAM yang akan datang.

Minggu lalu, Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah mendedahkan badan induk itu sudah mengenal pasti 18 pemain dan seorang jurulatih yang didapati terbabit dalam skandal rasuah pada Liga Malaysia musim lepas.

Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Exco FAM yang dipengerusikan Tengku Abdullah sendiri.

Kontroversi mengenai rasuah mula menggegar bola sepak tanah air apabila beberapa pemain pasukan Perlis disoal siasat kerana disyaki menerima wang daripada bookie untuk mengatur perlawanan ketika dibelasah 7-2 oleh MP Muar dalam aksi pertama Liga Perdana musim ini.

Sebagai langkah awal membanteras kegiatan itu, FAM melaksanakan pendekatan 3E (education, engagement, enforcement) atau pendidikan, pembabitan dan penguatkuasaan untuk membanteras kegiatan rasuah dalam arena bola sepak tempatan.

Tengku Abdullah memberitahu, melalui pendekatan 3E, selepas ini semua proses pendaftaran pemain perlu melalui satu badan khas yang akan ditubuhkan bagi mengenal pasti pemain yang memiliki rekod buruk.

"Kalau ada pemain yang mempunyai rekod tidak baik, kita tidak benarkan mereka beraksi dan lesen tidak akan dikeluarkan," ujarnya.

Hilmi sah ditahan di Batam

Posted:

Hilmi sah ditahan di Batam

Hilmi sah ditahan di Batam

Oleh WAN NOOR HAYATI WAN ALIAS
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 8 Feb. - Polis mengesahkan seorang rakyat Malaysia yang ditahan di Batam, Indonesia, Jumaat lalu, merupakan lelaki diburu pasukan itu sejak tiga tahun lalu dikenali sebagai Hilmi Hazimin Malek bagi membantu siasatan penyebaran gambar separuh bogel Elizabeth Wong.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, pihaknya telah menerima pengesahan identiti lelaki itu daripada pihak berkuasa negara jiran tersebut.

Menurutnya, bagaimanapun lelaki tersebut pada masa ini masih disiasat Polis Republik Indonesia (Polri) berhubung kesalahan dilakukan di negara itu.

"Pihak berkuasa Indonesia meminta sedikit masa untuk melengkapkan siasatan mengikut prosedur dan dakwaan yang dikemukakan terhadap lelaki tersebut.

"Kita bagaimanapun akan bekerjasama dengan pihak berkuasa Indonesia bagi membantu siasatan seterusnya," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Timbalan Menteri Luar, A. Kohilan Pillay berkata, pihaknya telah menghubungi pihak berkuasa negara jiran itu untuk pengesahan bagaimanapun tiada kenyataan rasmi dikeluarkan pihak berkenaan.

Dalam pada itu, menurut Chin Wah, lelaki tersebut dikehendaki polis Kuala Lumpur untuk membantu siasatan kes melibatkan Elizabeth yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar Selangor.

Kenyataan tersebut mengulas laporan beberapa akhbar hari ini yang menyiarkan berita berhubung penahanan seorang lelaki yang mendakwa sebagai anggota PKR.

Dalam laporan sebuah portal dari negara jiran itu Sabtu lalu, rakyat Malaysia tersebut yang dikenali sebagai 'Azmin Helmi', 37, ditahan oleh pegawai Imigresen Indonesia di Batam sehari sebelum itu kerana memiliki dokumen palsu.

Lelaki tersebut yang dikesan mempunyai alamat di Ampang, Selangor dan dilahirkan pada 27 Mac 1975 dikatakan mempunyai kad pengenalan Indonesia dan kad keluarga palsu dan dikeluarkan di Batam selain kad kelahiran palsu daripada Karimun.

Imigresen Batam pula dilaporkan memberitahu media bahawa Azmin yang menyatakan dia adalah anggota PKR telah memasuki Indonesia atas saranan keluarga dan parti tersebut, dengan menggunakan pasport Malaysia melalui pelabuhan Tanjung Balai di Karimun pada 15 Februari 2009.

Dia dikatakan memberitahu pegawai penyiasatan bahawa dia telah menjelajah ke serata Indonesia, melawat Pekan Baru, Jakarta selain tinggal di Cengkareng, Cingkawang dan Pondok Kelapa melebihi 30 hari tempoh visanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan