Selasa, 7 Februari 2012

Utusan Online - Muka Hadapan

Utusan Online - Muka Hadapan


Jaringan keselamatan sosial

Posted:

Jaringan keselamatan sosial

Jaringan keselamatan sosial

Oleh ABDUL YAZID ALIAS
pengarang@utusan.com.my


Najib Tun Razak hadir pada majlis sambutan Chap Goh Meh anjuran lapan Persatuan Cina di Dewan Persatuan Hokkien Klang, Selangor, semalam. - BERNAMA


KLANG 6 Feb. - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Malaysia melaksanakan dasar jaringan keselamatan sosial bagi membela masyarakat kurang berkemampuan dan orang kurang upaya (OKU) menerusi pelaksanaan bantuan serta kemudahan yang disediakan kepada golongan itu.

Sehubungan itu Perdana Menteri menegaskan, kerajaan tidak mengamalkan dasar negara kebajikan atau welfare state memandangkan banyak negara yang melaksanakan dasar sedemikian kini terpaksa berhadapan dengan masalah ekonomi yang serius.

''Dasar jaringan keselamatan sosial dijalankan menerusi kerjasama pihak swasta, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta orang perseorangan itu adalah bagi memastikan golongan berkenaan tidak terpinggir daripada menikmati hasil kekayaan negara,'' katanya.

Beliau demikian demikian ketika berucap pada majlis sambutan Chap Goh Meh bersama kira-kira 1,500 masyarakat pelbagai kaum terdiri daripada OKU, anak-anak yatim dan warga emas di Dewan Hokkien Klang, di sini hari ini.

Pada majlis tersebut, Najib yang dikenali di kalangan masyarakat Cina sebagai 'Ah Jib Gor' turut menyampaikan sumbangan angpau sebanyak RM100 kepada setiap golongan yang kurang berkemampuan.

Hadir sama Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Datuk Seri Noh Omar dan Pengerusi MCA Selangor, Datuk Donald Lim Siang Chai.

Najib berkata, melalui dasar jaringan keselamatan sosial, kerajaan dapat mewujudkan sebuah masyarakat yang lebih adil, saksama dan seimbang dari segi berkongsi kekayaan negara.

Perdana Menteri berkata, dasar kerajaan yang menekankan kebajikan OKU, ibu tunggal, anak-anak yatim dan golongan tidak berkemampuan jelas dilihat melalui Program Kebajikan Rakyat 1Malaysia (KAR1SMA) di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Beliau berkata, menerusi Karisma, kerajaan memperuntukan RM1.4 bilion untuk membela kebajikan golongan berkenaan selain peruntukan RM2.6 bilion bagi program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bagi seluruh rakyat tidak mengira kaum yang mempunyai pendapatan isi rumah kasar kurang daripada RM3,000 sebulan.

''Kerajaan turut menyalurkan bantuan persekolahan sebanyak RM100 kepada setiap murid sekolah rendah dan menengah. Sekarang kerajaan sedang menjalankan pemberian bantuan BR1M," kata beliau.

Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor berkata, kerajaan juga mengalakkan syarikat-syarikat korporat dan GLC melaksanakan dasar jaringan keselamatan sosial melalui program tanggungjawab sosial (CSR) masing-masing.

Beliau berkata, usaha membela kebajikan golongan tidak berkemampuan juga dilaksanakan menerusi program-program melibatkan kerjasama sektor kerajaan dan swasta sebagaimana di Selangor, sebanyak 50 badan kebajikan dan amal menerima bantuan masing-masing sebanyak RM10,000 untuk tujuan itu.

Bagi memantapkan taraf OKU di negara ini, Perdana Menteri turut menyeru syarikat-syarikat swasta dan orang perseorangan agar menyediakan lebih banyak peluang kepada golongan itu termasuk pekerjaan dan sebagainya.

Beliau memberikan contoh bagaimana kerajaan memberikan penghargaan kepada seorang pelajar OKU melalui Anugerah Perdana Sambutan Maulidur Rasul semalam kerana kejayaannya memperoleh keputusan cemerlang 9A dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun lalu.

"Ini adalah contoh yang boleh dibanggakan apabila golongan OKU diberikan peluang yang sewajarnya," katanya.

Najib ajak penganut Hindu letak semangat 'nambikei' terhadap kerajaan

Posted:

Najib ajak penganut Hindu letak semangat 'nambikei' terhadap kerajaan

Najib ajak penganut Hindu letak semangat 'nambikei' terhadap kerajaan

KUALA LUMPUR 6 Feb. - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengajak seluruh penganut agama Hindu untuk terus meletakkan semangat kesetiaan atau 'nambikei' terhadap kerajaan.

Kata Perdana Menteri, menerusi semangat tersebut, kerajaan akan sentiasa dapat bekerjasama dengan komuniti beragama Hindu, seterusnya membantu mereka mengatasi pelbagai masalah dan mencapai sasaran ke arah kehidupan yang lebih baik.

''Kerajaan kekal komited memenuhi segala janji terhadap komuniti beragama Hindu dan akan melakukan apa yang diperlukan untuk membantu mencapai impian masing-masing," katanya.

Beliau berkata demikian dalam perutusan sempena perayaan Hari Thaipusam yang disambut esok (hari ini) menerusi laman blognya di www.1Malaysia.com.my hari ini.

Menurut Najib, Hari Thaipusam adalah salah satu kepelbagaian budaya dan agama yang disambut di Malaysia. Bagi masyarakat Hindu, ia diraikan dengan pengorbanan dan penghargaan di kuil-kuil di seluruh negara.

Kata beliau, penganut agama Hindu pada perayaan ini juga akan berdoa untuk mendapatkan kehidupan dan masa depan yang lebih baik serta jaminan kebahagiaan buat anak-anak mereka.

''Ia adalah naluri biasa setiap daripada kita untuk melangkah ke arah kehidupan yang lebih baik sama ada untuk diri sendiri atau untuk orang yang kita kasihi.

''Dengan itu, saya mengambil kesempatan pada hari yang cukup bermakna ini untuk mengucapkan selamat menyambut Hari Thaipusam kepada seluruh penganut agama Hindu di negara ini," katanya.

Negara maju: Kaum Cina jangan lepas peluang

Posted:

Negara maju: Kaum Cina jangan lepas peluang

Negara maju: Kaum Cina jangan lepas peluang

KUALA LANGAT 6 Feb. - Datuk Seri Najib Tun Razak menyeru rakyat negara ini terutama masyarakat berketurunan Cina agar dapat bersama kerajaan dalam merealisasikan proses transformasi untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju sepenuhnya menjelang tahun 2020.

Perdana Menteri meminta mereka agar jangan melepaskan peluang untuk menjadi generasi yang mencapai matlamat tersebut.

Sambil menyifatkan cita-cita tersebut bukan satu mimpi di siang hari beliau berkata, ia adalah sesuatu yang boleh dicapai sekiranya seluruh rakyat memberikan sokongan dan kepercayaan kepada program transformasi itu.

"Saya percaya kita boleh mencapai apa yang dicita-citakan itu sekiranya setiap orang daripada kita menyokong dan percaya dengan proses transformasi.

"Oleh itu, saya menyeru seluruh rakyat untuk bersama-sama di belakang kami (kerajaan) bagi memastikan impian itu menjadi satu realiti," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di depan lebih 50,000 masyarakat berketurunan Cina pada Karnival Chap Goh Mei 2012 di Fo Guang Shan (FGS) Dong Zen Temple, Jenjarum di sini, malam ini.

Hadir sama isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Noh Omar; Pengerusi MCA Selangor, Datuk Donald Lim Siang Chai yang juga pengerusi penganjur karnival tersebut.

Turut hadir Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Presiden Gerakan, Tan Sri Koh Tsu Koon.

Dalam pada itu Najib berkata, masyarakat berbilang kaum dan agama di negara amat bertuah kerana dalam tempoh tiga hari berturut-turut sejak semalam dapat merayakan kepercayaan masing-masing iaitu Maulidur Rasul semalam, Chap Goh Mei pada hari ini dan esok Thaipusam bagi masyarakat beragama Hindu.

"Tidak ada negara di dunia yang sambut secara berturut-turut melainkan di negara kita. Ini adalah suatu yang unik dalam negara ini," katanya.

Justeru, Najib mahu masyarakat negara ini mencari nilai kebersamaan seperti amalan kesederhanaan meskipun mempunyai akidah dan kepercayaan yang berlainan.

Perdana Menteri berkata, beliau difahamkan dalam kepercayaan Buddha juga mempunyai amalan yang menyamai konsep kesederhanaan selain menekankan aspek keharmonian.

"Inilah yang boleh kita jadikan ikatan dalam menjadikan negara ini aman, harmoni dan semakin kuat dari segi perpaduan dan integrasi nasional.

"Saya dapati apabila saya meluahkan konsep kesederhanaan yang dalam Islam disebut wasatiyyah didapati dalam agama lain juga ada membawa konsep yang sama walaupun kita ada perbezaan akidah," katanya.

Beliau berkata, konsep kesederhanaan atau moderate membawa sikap hormat-menghormati antara satu sama lain.

"Kesederhanaan membawa pengertian kita tidak amalkan kefahaman ekstrem, fanatik dan militan atau perangi antara satu sama lain," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan