Selasa, 21 Februari 2012

Utusan Online - Mahkamah

Utusan Online - Mahkamah


Qazaf: Anwar fail semakan keputusan

Posted:

Qazaf: Anwar fail semakan keputusan

Qazaf: Anwar fail semakan keputusan

KUALA LUMPUR 21 Feb. - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memfailkan permohonan semakan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan Syariah pada hujung bulan lalu berhubung notis rayuan kes qazaf beliau yang didakwa tidak mengikut prosedur dan menyalahi undang-undang.

Pada 30 Januari lalu, Mahkamah Rayuan Syariah melalui panel tiga hakim diketuai Hakim Syarie, Datuk Zohdi Toha memutuskan untuk terus mendengar merit permohonan ketiga-tiga responden yang berusaha mengetepikan notis rayuan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu tanpa memberikan perintah kebenaran bagi berbuat demikian.

Responden-responden tersebut ialah Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan, Shamsuddin Hussain; Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk Che Mat Che Ali; dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Menurut afidavit Anwar, pihak responden telah memohon perintah agar diberi kebenaran untuk memfailkan permohonan bagi membatalkan notis rayuan atas alasan dokumen terbabit cacat dan defektif.

Bagaimanapun pada tarikh pendengaran, Hakim Zohdi yang turut bersidang bersama Hakim-Hakim Syarie, Datuk Aidi Moktar dan Datuk Hussin Harun berpendapat permohonan untuk mendapatkan kebenaran adalah tidak relevan dan sia-sia.

Oleh yang demikian, mahkamah mengarahkan agar pihak-pihak yang terlibat berhujah mengenai isu untuk mengetepikan notis rayuan Anwar.

Tindakan itu bagaimanapun dibantah peguam syarie utama Anwar, Kamar Ainiah Kamaruzaman dan beberapa peguam syarie lain yang kemudian bertindak meninggalkan mahkamah yang masih bersidang.

Terdahulu, Kamar Ainiah memohon agar pihak responden meminda permohonan tersebut namun permintaan itu tidak diendahkan oleh peguam-peguam syarie yang mewakili kesemua responden dengan menyatakan bahawa isu yang dibangkitkan merupakan perkara baru.

Rayuan jurusolek berlagak perempuan 7 Mei

Posted:

Rayuan jurusolek berlagak perempuan 7 Mei

Rayuan jurusolek berlagak perempuan 7 Mei


EMIRUL Shazril Shah Jamaluddin hadir ke mahkamah untuk merayu atas kesalahan berlagak seperti perempuan di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR 21 Feb. - Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini menetapkan 7 Mei ini keputusan sama ada seorang jurusolek dibenarkan merayu atau tidak terhadap hukuman penjara dan denda yang dihadapinya atas kesalahan berlagak dan berpakaian seperti perempuan, tiga tahun lalu.

Ketua Hakim Syarie Wilayah Persekutuan, Datuk Mohamad Abdullah memutuskan demikian selepas Emirul Shazril Shah Jamaludin yang diwakili peguam syarie, Ruslizam Rahim mengemukakan dokumen hujahan balas di hadapannya hari ini.

Terdahulu, Ruslizam memaklumkan bahawa pihaknya baru sahaja menyerahkan dokumen tersebut kepada Pendakwa Syarie dari Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Mohd. Azizuddin Abdullah Halim, sebelum prosiding bermula.

Mohd. Azizuddin selaku responden kemudian bangun mengesahkan perkara tersebut dan memberitahu bahawa pihaknya memerlukan tempoh sebulan untuk menjawab hujahan itu.

Perayu, Emirul, 30, berpakaian kemeja perempuan dan berseluar ketat dilihat hadir seorang diri ke mahkamah hari ini. Ketika prosiding berlangsung dia, dilihat menyarung jaket berwarna hitam.

Ruslizam yang ditemui pemberita di pekarangan mahkamah berkata, anak guamnya selaku perayu telah memfailkan rayuan untuk kali kedua terhadap hukuman penjara seminggu dan denda RM1,000 seperti yang diputuskan oleh Mahkamah Rendah Syariah di sini, pada 17 April 2009.

Jelas beliau lagi, Emirul dikenakan hukuman tersebut selepas mengaku bersalah atas tuduhan berpakaian dan berlagak seperti perempuan untuk tujuan tidak bermoral ketika serbuan polis di sebuah kelab malam di Bukit Bintang pada 16 April 2009.

''Anak guam saya pada ketika itu yang tidak diwakili peguam syarie kemudian memfailkan notis rayuan terhadap kedua-dua hukuman tersebut, bagaimanapun, pada Mei tahun lalu, rayuannya ditolak oleh Mahkamah Tinggi kerana tidak mematuhi prosedur yang ditetapkan.

''Oleh demikian, Emirul melalui saya telah memfailkan permohonan kepada Mahkamah Tinggi agar memberi sekali lagi peluang kepadanya untuk merayu terhadap keputusan hukuman penjara dan denda berkenaan,'' ujar Ruslizam.

Lelaki itu boleh dikenakan hukuman penjara tiga minggu jika gagal membayar denda.

Kedua-dua hukuman tersebut dibenarkan digantung pelaksanaannya oleh mahkamah sementara menunggu rayuan.

Dia didakwa mengikut Seksyen 28 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan