Isnin, 13 Februari 2012

Utusan Online - Mahkamah

Utusan Online - Mahkamah


Ketua Pendakwa Syarie dipenjara 2 tahun, denda RM55,000

Posted:

Ketua Pendakwa Syarie dipenjara 2 tahun, denda RM55,000

Ketua Pendakwa Syarie dipenjara 2 tahun, denda RM55,000

IPOH 13 Feb. - Ketua Pendakwa Syarie Jabatan Agama Islam Perak (JAIP), Shahrunnazri Abdul Samad hari ini dihukum penjara dua tahun dan denda RM55,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas didapati bersalah atas empat tuduhan rasuah lima tahun lalu.

Shahrunnazri, 44, dijatuhi hukuman tersebut selepas Hakim Tan Hooi Leng mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Hooi Leng menjatuhkan hukuman penjara dua tahun bagi setiap pertuduhan dan denda RM25,000 bagi tuduhan pertama dan RM10,000 bagi setiap pertuduhan kedua, ketiga dan keempat.

Mahkamah memerintahkan kesemua hukuman penjara berjalan serentak.

Shahrunnazri yang memaki baju kemeja warna biru nila dan ditemani ibu bapa serta keluarga, didakwa melakukan empat kesalahan meminta dan menerima rasuah sebanyak RM5,000 daripada seorang anggota polis yang disyaki berkhalwat bersama pasangannya, lima tahun lalu.

Mengikut tuduhan pertama, tertuduh didakwa meminta suapan wang tunai RM5,000 daripada Mohamad Asri A. Bakar yang merupakan pengadu dalam kes ini di Restoran Capati Medan Gopeng, No. 41 dan 43, Medan Gopeng 1, di sini kira-kira pukul 11 pagi, 29 Julai 2007.

Tuduhan seterusnya, Shahrunnazri didakwa memperoleh suapan wang tunai RM1,000 menerusi akaun simpanannya daripada pengadu di Maybank Jalan Sultan Idris Shah, lebih kurang pukul 3.25 petang, 1 Ogos 2007.

Lelaki itu turut didakwa menerima suapan wang tunai RM2,000 melalui akaun simpanannya di Maybank Taman Ipoh Jaya di sini kira-kira pukul 11.30 pagi, 13 Ogos 2007.

Bagi tuduhan keempat, Shahrunnazri didakwa memperoleh suapan wang tunai RM2,000 melalui kaedah yang sama di Maybank Jalan Sultan Idris Shah di sini lebih kurang pukul 4.25 petang, 25 September 2007.

Hooi Leng turut memerintahkan tertuduh dihukum penjara lapan bulan jika gagal membayar denda.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan permohonan peguam Yusri Kamaruddin yang mewakili tertuduh untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman tersebut sehingga rayuan didengar di Mahkamah Tinggi.

Dengan kebenaran itu, Hooi Leng juga menaikkan wang jaminan tertuduh daripada RM15,000 kepada RM20,000 dengan seorang penjamin.

Shahrunnazri telah digantung kerja dan hanya dibayar separuh gaji sejak perbicaraan kes tersebut berjalan pada 2008.

Pendakwaan dikendalikan oleh Ketua Unit Pendakwaan dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Abdul Razak Musa.

Kes Tajudin di peringkat akhir penyelesaian

Posted:

Kes Tajudin di peringkat akhir penyelesaian

Kes Tajudin di peringkat akhir penyelesaian

PUTRAJAYA 13 Feb. - Mahkamah Rayuan hari ini diberitahu bahawa kes saman yang berlarutan antara bekas Pengerusi Eksekutif MAS, Tan Sri Tajudin Ramli dengan Pengurusan Danaharta Nasional Bhd. (Danaharta) serta dua anak syarikatnya kini tiba di peringkat akhir penyelesaian.

Ia berikutan perkembangan terbaru bahawa tokoh perniagaan itu membayangkan penyelesaian kes yang melibatkan perintah Mahkamah Tinggi mengarahkannya membayar RM589.143 juta kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) itu dan anak syarikatnya.

Sehubungan itu, panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Seri Abu Samah Nordin yang bersidang bersama Datuk Syed Ahmad Helmy Syed Ahmad dan Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin menetapkan esok bagi membolehkan kedua-dua pihak menentukan terma-terma penyelesaian yang akan dipersetujui kelak.

Jika wujud perkembangan lain yang tidak memungkinkan penyelesaian dicapai, prosiding rayuan terhadap Danaharta dan dua anak syarikatnya itu akan diteruskan.

Selain itu, terdapat 35 kes lagi melibatkan Tajudin dan beberapa GLC lain (responden) antaranya MAS, Telekom Malaysia Bhd. dan Naluri Corporation serta individu-individu korporat yang masih menunggu sama ada penyelesaian atau diteruskan dengan prosiding rayuan.

Tajudin mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 7 Disember 2009 yang membuat penghakiman memihak kepada Danaharta, Danaharta Urus Sdn. Bhd. dan Danaharta Managers Sdn. Bhd.

Mahkamah mengarahkan beliau membayar RM589.143 juta setakat 31 Disember, 2005 kepada Pengurusan Danaharta, serta faedah pada kadar dua peratus lebih tinggi daripada kadar pinjaman asas (BLR) Malayan Banking Bhd. hingga tarikh penyelesaian pembayaran.

Kes itu berbangkit selepas Tajuddin melaksanakan perjanjian kemudahan pada 13 Julai 1994 untuk meminjam RM1.792 bilion daripada sekumpulan peminjam bersindiket untuk membiayai pembelian 32 peratus pegangan dalam MAS.

Bagaimanapun, dari 1994 hingga 1998, beliau gagal membayar pinjaman asal menyebabkan ia menjadi pinjaman tidak berbayar (NPL).

Ketika mahkamah bersidang, peguam Lim Kian Leong yang mewakili Tajudin memohon penangguhan sehingga esok bagi membolehkan pihaknya menyelesaikan beberapa isu melibatkan prosedur dalam penyelesaian kes berkenaan.

Beliau memaklumkan, anak guamnya melahirkan keyakinan bahawa beberapa isu berkaitan yang diputuskan pada saat-saat akhir akan diselesaikan esok agar terma-terma penyelesaian direkodkan.

Sehubungan itu, Kian Leong memohon agar semua rayuan Tajudin terhadap kes-kes lain ditangguhkan sementara menunggu keputusan terhadap kes melibatkan Pengurusan Danaharta.

Danaharta tidak membantah penangguhan itu.

Bagaimanapun, responden-responden lain membantahnya atas alasan penangguhan hari ini boleh dibenarkan jika terdapat kepastian berhubung penyelesaian kes terhadap mereka.

Pada peringkat itu, Hakim Abu Samah turut mencelah dengan meminta kepastian sama ada terdapat penyelesaian terhadap kes lain.

Kian Leong selanjutnya menyatakan, usaha berterusan telah diambil dan pihaknya mencapai perkembangan yang besar ke arah memutuskan penyelesaian melibatkan Pengurusan Danaharta.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan