Jumaat, 10 Februari 2012

Utusan Online - Mahkamah

Utusan Online - Mahkamah


Urusan kes rayuan dua tertuduh bunuh Altantuya ditetapkan 9 Mac

Posted:

Urusan kes rayuan dua tertuduh bunuh Altantuya ditetapkan 9 Mac

Urusan kes rayuan dua tertuduh bunuh Altantuya ditetapkan 9 Mac

PUTRAJAYA 10 Feb. - Mahkamah Rayuan menetapkan 9 Mac depan bagi satu lagi pengurusan kes berhubung rayuan Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar atas sabitan dan hukuman mati kerana membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu, hampir enam tahun lalu.

Tarikh tersebut ditetapkan semasa pengurusan kes berkenaan di hadapan Timbalan Pendaftar, N. Kanageswari hari ini. Jika semua urusan dokumentasi berjalan lancar, tarikh rayuan kelak akan ditentukan pada hari tersebut.

Peguam J. Kuldeep Kumar yang mewakili Azilah, 34, ketika ditemui pemberita memberitahu, anak guamnya belum memfailkan petisyen rayuan kerana pihaknya masih belum menerima alasan penghakiman Mahkamah Tinggi.

Menurut beliau, ketiadaan alasan penghakiman menjadikan rekod rayuan yang diperoleh tidak lengkap dan menyebabkan pihaknya tidak dapat memfailkan petisyen yang mengandungi alasan-alasan rayuan.

Ujarnya, setakat ini pihaknya sudah memperoleh 40 jilid dokumen dan masih menunggu dari mahkamah baki kira-kira 17 jilid daripada keseluruhan rekod rayuan yang mencecah 60 jilid.

Sementara itu, Kitson Foong yang hadir bersama-sama Lim Kon Keen mewakili Sirul Azhar, 28, memaklumkan bahawa anak guamnya telah memfailkan petisyen rayuan dan mungkin menimbang untuk memfailkan alasan rayuan tambahan jika diperlukan.

Timbalan Pendakwa Raya, Devinderjit Kaur Gill hadir bagi pihak pendakwaan yang dinamakan sebagai responden dalam rayuan tersebut.

Kedua-duanya merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang mensabitkan mereka pada 9 April 2009 terhadap tuduhan membunuh model sambilan itu yang ketika kejadian berusia 28 tahun.

Hakim Datuk Mohd. Zaki Md. Yasin mendapati Azilah dan Sirul Azhar bersalah setelah berpuas hati bahawa pembelaan mereka merupakan penafian semata-mata dan tidak boleh dipercayai serta bertujuan menyalahkan di antara satu sama lain.

Bekas eksekutif akaun didakwa guna cek palsu

Posted:

Bekas eksekutif akaun didakwa guna cek palsu

Bekas eksekutif akaun didakwa guna cek palsu

SHAH ALAM 10 Feb. - Seorang bekas eksekutif akaun sebuah syarikat swasta dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 28 tuduhan menggunakan cek palsu serta pecah amanah terhadap wang berjumlah RM131,894.23 milik majikannya, enam tahun lalu.

Tan Ai Lian, 43, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan tersebut dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Mohd. Fadhir Harun.

Wanita itu didakwa melakukan pecah amanah terhadap 14 keping cek CIMB Bank milik majikannya, Agronite Ultrafine Minerals Sdn. Bhd., yang kesemuanya bernilai RM131,894.23 untuk kepentingan peribadi.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di pejabat Agronite Ultrafine Minerals di Lot 10, Jalan Selat Selatan 14, Pandamaran, Klang dekat sini antara 26 Disember 2006 dan 24 April 2007.

Bagi setiap 14 pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh dikenakan sebatan serta denda.

Ai Lian juga didakwa menggunakan 14 cek sama yang dipalsukan sebagai tulen pada tempoh masa tersebut di pejabatnya.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya, C. Vignes Kumar menawarkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin serta memohon agar pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Peguam Kamarul Zaman Abdul Rahman bagaimanapun memohon jumlah yang lebih rendah memandangkan pertuduhan pecah amanah dan memalsukan cek melibatkan 14 transaksi yang sama.

Mohd. Fadhir kemudian membenarkan tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin RM25,000 dengan seorang penjamin serta mengarahkan pasport wanita itu diserahkan kepada mahkamah sebagai syarat jaminan.

Kes itu akan disebut semula pada 9 Mac ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan