Khamis, 9 Februari 2012

Utusan Online - Mahkamah

Utusan Online - Mahkamah


Akaun Pathmanabhan dibekukan

Posted:

Akaun Pathmanabhan dibekukan

Akaun Pathmanabhan dibekukan


Yvonne Tiong


SHAH ALAM 9 Feb. - Seorang saksi hari ini memberitahu bahawa akaun persendirian dan akaun syarikat firma guaman milik N. Pathmanabhan yang merupakan tertuduh pertama dalam kes bunuh Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi, di Hong Leong Bank telah dibekukan pada September dua tahun lalu.

Pengurus Operasi Hong Leong Bank Cawangan Banting, Yvonne Tiong Guat Choo, 39, yang memberi keterangan di Mahkamah Tinggi di sini berkata, pembekuan itu dibuat selepas pihak bank menerima satu surat yang mengarahkan mereka berbuat demikian. Beliau bagaimanapun tidak pasti arahan bertulis itu datang daripada siapa dan tarikh tepat kedua-dua akaun tersebut dibekukan.

''Untuk akaun syarikat, bank ada beritahu tentang pembekuan sebab ada satu lagi rakan kongsi tetapi untuk akaun peribadi tidak,'' katanya semasa disoal balas oleh peguam yang mewakili Pathmanabhan, Manjeet Singh Dhillon.

Saksi pendakwaan ke-98 itu juga bersetuju tiada sebarang transaksi boleh berlaku sama ada kemasukan atau pengeluaran apabila kedua-dua akaun tersebut dibekukan.

Beliau turut mengakui ada berkomunikasi dengan rakan kongsi firma guaman Pathma Nalli & Patners berhubung operasi akuan itu buat kali terakhir pada tahun lalu.

Pathmanabhan yang merupakan bekas peguam dan tiga pekerja ladangnya, T. Thilaiyalagan, 20, R. Matan, 21, dan R. Kathavarayan, 31, didakwa membunuh Sosilawati, 47; pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin, 44; peguam, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32; dan pegawai Bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohamad, 38.

Mereka didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu di Lot No. 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting dekat sini antara pukul 8.30 malam dan 9.45 malam, 30 Ogos 2010.

Sementara itu, pegawai penyiasat Asisten Supritendan (ASP) Mohd. Ishak Yaakob, 36, yang menyambung keterangannya hari ini membuat pengecaman beberapa barang kes yang diterimanya sepanjang siasatan kes itu.

Antaranya ialah sampel darah yang diambil daripada ahli keluarga mangsa dan dua keping kad keahlian tertera gelaran 'Datuk Paduka' yang dianugerahkan kepada Pathmanabhan daripada negeri Kelantan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir yang masuk hari ke-67 bersambung pada 29 Februari ini.

Karpal bela diri 30 dan 31 Mei

Posted:

Karpal bela diri 30 dan 31 Mei

Karpal bela diri 30 dan 31 Mei

KUALA LUMPUR 9 Feb. - Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 30 dan 31 Mei ini untuk Pengerusi DAP, Karpal Singh memberi keterangan bela diri atas tuduhan mengeluarkan kata-kata hasutan membabitkan Sultan Perak pada satu sidang akhbar di pejabatnya, empat tahun lalu.

Hakim Azman Abdullah yang kini bertugas di Mahkamah Tinggi Kota Bharu, Kelantan menetapkan demikian pada sebutan kes berkenaan di hadapannya hari ini.

Karpal diperintah membela diri setelah Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan pihak pendakwaan yang tidak berpuas hati terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskan peguam terkemuka itu daripada tuduhan tersebut.

Pada prosiding hari ini, Karpal turut memaklumkan, beliau akan memberi keterangan bela diri secara bersumpah.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Noorin Badaruddin dan dibantu oleh Timbalan Pendakwa Raya, Azlina Rasid manakala Karpal diwakili barisan peguam-peguam bela, Sangeet Kaur, Gobind Singh Deo, Ramkarpal Singh dan M. Prakash.

Pada 17 Mac 2009, Karpal mengaku tidak bersalah atas tuduhan menyebut kata-kata hasutan membabitkan Sultan Perak pada satu sidang akhbar antara pukul 12 dan 12.30 tengah hari, 6 Februari 2009 di pejabatnya, Tetuan Karpal Singh & Co, No.67, Jalan Pudu Lama, Dang Wangi, di sini.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

Pada 11 Jun 2010, Karpal dilepas dan dibebaskan oleh Hakim Azman daripada pertuduhan tersebut tanpa memanggilnya membela diri selepas mendapati kenyataan akhbar yang dibuat ahli politik veteran itu termaktub di bawah pengecualian Seksyen 3(2)(a) Akta Hasutan.

Sepanjang perbicaraan yang bermula pada 12 Ogos 2009, seramai 20 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan termasuk beberapa wartawan media cetak dan elektronik, wakil Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Perak dan Gagasan Melayu Perak serta anggota polis dari Kuala Kangsar, Perak.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan