Rabu, 8 Februari 2012

Utusan Online - Mahkamah

Utusan Online - Mahkamah


Tindakan Karpal tidak waja

Posted:

Tindakan Karpal tidak waja

Tindakan Karpal tidak waja

Oleh NORLIZAH ABAS
pengarang@utusan.com.my

PUTRAJAYA 8 Feb. – Pengerusi DAP, Karpal Singh tidak wajar memberi peringatan tegas atau 'kata dua' kepada Sultan Perak agar mengikut undang-undang berhubung krisis politik di negeri itu kerana ia jelas melampaui batas peradaban dalam hubungan antara raja dan rakyat.

Tindakan tersebut bukan sahaja mempunyai kecenderungan merendahkan martabat Sultan Perak malah cenderung mendatangkan kebencian atau penghinaan terhadap baginda sebagai raja berperlembagaan.

Demikian penghakiman sebulat suara Mahkamah Rayuan pada 20 Januari lalu ketika memerintahkan peguam terkemuka itu membela diri terhadap tuduhan di bawah Akta Hasutan 1948 kerana mengeluarkan perkataan berunsur hasutan terhadap Sultan Perak.

Keputusan itu dicapai oleh panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Ahmad Maarop yang bersidang bersama Datuk Clement Allan Skinner dan Datuk Seri Mohamed Apandi Ali selepas membenarkan rayuan pendakwa raya.

Hakim Ahmad (kini Hakim Mahkamah Persekutuan) dalam penghakiman bertulisnya setebal 105 muka surat menyifatkan, pernyataan Karpal yang meminta Sultan berhenti melantik Menteri Besar dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri merupakan satu peringatan tegas.

Walaupun Karpal menegaskan ia bukan satu ugutan, pada hemat panel itu, ia merupakan peringatan tegas atau amaran bahawa baginda dikehendaki bertindak dalam lingkungan dan had Perlembagaan Negeri Perak.

Hakim Ahmad menyatakan, pada pendapat mereka, memberi nasihat kepada Sultan berhubung keperluan perlembagaan atau memberikan pandangan undang-undang bahawa baginda telah terkeliru atau tersilap adalah satu perkara yang amat berbeza daripada memberikan satu peringatan tegas kepada Sultan untuk mengikut undang-undang.

Beliau menyatakan, apatah lagi jika peringatan tegas itu diberi secara berulang kali dalam satu sidang akhbar yang diadakan di pejabat peguam tersebut dengan harapan agar ia disiarkan oleh media.

Peguam terkemuka itu dituduh mengeluarkan perkataan berunsur hasutan terhadap Sultan Perak di firma guamannya, Tetuan Karpal Singh & Co di Jalan Pudu Lama di ibu negara di antara pukul 12 dan 12.30 tengah hari, 6 Februari 2009.

Ujar hakim berkenaan, Karpal mengucapkan kata-kata yang membawa erti bahawa Sultan telah bertindak dengan tidak mengikut perlembagaan yang membawa maksud bahawa Sultan tidak hormatkan undang-undang.

Hakim Ahmad selanjutnya menyatakan, Karpal menyatakan bahawa pemecatan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohamad Nizar Jamaluddin yang dikatakan menurut Perkara 16(6) Perlembagaan Negeri Perak adalah jelas ultra vires (melampaui batasan undang-undang) peruntukan tersebut.

Beliau menyatakan, pada hemat panel itu, pengertian terhadap pernyataan Karpal itu apabila diterjemahkan membawa maksud bahawa Sultan yang bertindak mengikut Perkara 16(6) Perlembagaan Negeri Perak sebenarnya tidak tahu bidang kuasa baginda di bawah peruntukan tersebut.

''Atau Sultan tahu bahawa di bawah Perkara 16(6) baginda tidak boleh memecat Menteri Besar tetapi baginda bertindak juga memecat Mohamad Nizar dan sengaja melanggar Perlembagaan Negeri,'' ujar Hakim Ahmad.

Sehubungan itu, panel tersebut berpendapat, perkataan-perkataan yang diucapkan oleh peguam tersebut mempunyai kecenderungan menghasut dan menimbulkan perasaan tidak puas hati dan kebencian rakyat terhadap Sultan Perak.

Ujar Hakim Ahmad, sama ada disukai atau tidak, ia cenderung untuk merendah-rendah Sultan Perak dengan mempertikaikan kuasa prerogratif (hak istimewa) baginda yang termaktub di bawah perlembagaan.

Hakim Ahmad selanjutnya menyatakan, dalam mempertimbangkan persoalan sama ada perkataan-perkataan itu menghasut atau tidak, pandangan saksi-saksi yang mendengar perkataan-perkataan tersebut bukan penentunya.

Beliau menyatakan, mahkamah yang mesti memutuskan sama ada perkataan-perkataan itu menghasut atau tidak, seterusnya mesti membuat garisan yang memisahkan pandangan atau komen politik daripada perkataan-perkataan yang menghasut.

Panel bersidang dengan itu mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 11 Jun 2010 yang melepas dan membebaskan Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu tanpa dipanggil membela diri.

Kes itu akan disebut di Mahkamah Tinggi di hadapan hakim yang sama esok bagi menetapkan tarikh perbicaraan.

Karpal didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya.

Dua cek RM4 juta dari akaun Pathmanabhan tidak ditunaikan

Posted:

Dua cek RM4 juta dari akaun Pathmanabhan tidak ditunaikan

Dua cek RM4 juta dari akaun Pathmanabhan tidak ditunaikan

SHAH ALAM 8 Feb. - Seorang saksi hari ini mengesahkan bahawa dua keping cek bernilai RM1 juta dan RM3 juta dikeluarkan daripada akaun milik N. Pathmanabhan iaitu tertuduh pertama yang didakwa membunuh Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi, kepada syarikat milik jutawan kosmetik itu, Southern Symphony Sdn. Bhd. dua tahun lalu.

Pengurus Operasi Hong Leong Bank Cawangan Banting, Yvonne Tiong Guat Choo, 39, yang memberi keterangan di Mahkamah Tinggi di sini berkata, kedua-dua cek yang bertarikh 9 September 2010 itu bagaimanapun tidak ditunaikan sehingga 15 September tahun yang sama.

''Kedua-dua cek itu tidak ditunaikan pada 9 September 2010. Cek itu sah sehingga enam bulan. Sehingga 15 September 2010, cek-cek itu tidak ditunaikan.

''Sehingga 30 Ogos 2010, baki dalam akaun peribadi Pathmanabhan sebanyak RM1,383,943.85. Sementara baki dalam akaun syarikat guaman Patma Nalli & Patners sebanyak RM106,369.73,'' katanya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Idham Abd. Ghani.

Dalam kes ini, bekas peguam, Pathmanabhan dan tiga pekerja ladangnya, T. Thilaiyalagan, 20, R. Matan, 21, dan R. Kathavarayan, 31, dituduh membunuh Sosilawati, 47; pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin, 44; peguam, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32; dan pegawai Bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohamad, 38.

Mereka didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu di Lot No. 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting dekat sini antara pukul 8.30 malam dan 9.45 malam, 30 Ogos 2010.

Erni Dekritawati Yuliana dalam keterangannya sebelum ini memberitahu, ibunya, Sosilawati memaklumkan beliau akan ke Banting pada hari tersebut untuk berjumpa peguam bernama Pathma bagi mempercepatkan tarikh cek dan membolehkan wang itu digunakan sebagai bonus hari raya kepada kakitangan serta hadiah untuk adik-beradik.

Pada tahun 2010, umat Islam di Malaysia menyambut Hari Raya Aidilfitri pada hari Jumaat 10 September.

Pada prosiding hari ini, Guat Choo yang merupakan saksi pendakwaan ke-98 turut memberitahu tentang kemasukan cek dan wang tunai antara RM10,000 dan RM3 juta ke dalam akaun peribadi dan syarikat Pathmanabhan.

Sementara itu, pegawai penyiasat Asisten Supritendan (ASP) Mohd. Ishak Yaakob dari Ibu Pejabat Polis (IPD) Dang Wangi pula berkata, beliau melihat Thilaiyalagan, Matan dan Kathavarayan menunjukkan beberapa tempat kepada Cif Inspektor N. Govindan semasa mereka berada di Ladang Gadong pada 12 September 2010.

Katanya, antara tempat yang ditunjukkan ialah sebuah rumah, kawasan lapang di hadapan kandang anjing, empat bilik di dalam kuarters pekerja dan kawasan lapang yang ada kesan pembakaran.

''Pada mulanya Govindan, tiga suspek dan saya pergi ke hadapan sebuah rumah. Saya lihat mereka berkomunikasi dengan Govindan dalam bahasa Tamil. Kemudian kami dibawa ke belakang.

''Di kuarters pekerja mereka tunjukkan sebuah tong berisi cecair, satu kayu kriket dan beberapa bilik di dalamnya. Kami juga dibawa ke sebuah stor dan ditunjukkan satu penyodok,'' jelas beliau.

Menurut Mohd. Ishak, beliau kemudian diminta mengekori van yang dinaiki Govindan dan tertuduh-tertuduh sebelum berhenti di atas jambatan Sungai Panchau, Banting.

Semasa berada di situ, katanya, beliau melihat Kathavarayan menunjukkan ke arah sungai kepada Govindan sebelum diberi taklimat oleh pegawai soal siasat dari Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman tentang apa yang ditunjukkan.

Pada hari yang sama, beliau turut mengekori kenderaan yang dinaiki Govindan ke kunci air Pasar Besar Banting dan melihat Kathavarayan menunjukkan sesuatu kepada pegawai polis itu.

''Pada pukul 5 petang, 17 September 2010, saya menerima panggilan telefon daripada Govindan mengatakan jam tangan Seiko Honda Racing Team dijumpai di Sungai Endah dan terus pergi ke sana.

''Semasa berada di atas jambatan Sungai Endah, Govindan memaklumkan U. Suresh, Thilaiyalagan dan Kathavarayan mahu menunjukkan satu tempat dan saya diminta mengekori dari belakang,'' katanya.

Semasa berada di tempat pembakaran sampah Ladang Kelapa Sawit Sungai Arak, Mohd. Ishak memberitahu, beliau melihat Thilaiyalagan dan seorang lagi suspek, Suresh menunjukkan sesuatu kepada Govindan yang kemudiannya membawa kepada penemuan kayu-kayu terbakar.

Katanya, kesemua barang yang dijumpai di beberapa lokasi itu oleh pasukan forensik telah dibungkus dan diserahkan kepada beliau.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir yang masuk hari ke-66 bersambung esok.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan