Selasa, 21 Februari 2012

Utusan Online - Kota

Utusan Online - Kota


Iklan haram makin pelbagai

Posted:

Iklan haram makin pelbagai

Iklan haram makin pelbagai

Oleh SITI AISHAH YUSOFF
kota@utusan.com.my


IKLAN-iklan haram di ibu negara kini bukan sahaja tentang khidmat pinjam wang tetapi juga khidmat urut dan menjual alat serta ubat seks serta menggunakan cat semburan untuk menyukarkan usaha membersihkannya.


KUALA LUMPUR 21 Feb. - Walaupun isu iklan haram yang ditampal di tempat-tempat awam sudah lama dibangkitkan tetapi sehingga ke hari ini, ia masih gagal diselesaikan sepenuhnya.

Jika dahulu iklan-iklan haram itu banyak tentang perkhidmatan yang ditawarkan oleh ceti haram atau ah long tetapi kini ia semakin pelbagai seperti iklan khidmat urut, ubat dan alat yang berunsurkan seks dan juga khidmat pembantu rumah.

Iklan-iklan itu juga dilihat tidak lagi hanya ditampal atau digantung tetapi ada juga yang menggunakan cat semburan yang tentunya sukar dibersihkan.

Iklan seperti 'Lips Massage' dan 'Adult Toys' dilihat semakin banyak di ibu negara sehingga mencemarkan keindahan dan mewujudkan persekitaran yang kotor.

Tinjauan Utusan Malaysia di beberapa kawasan seperti Jalan Ampang, Wangsa Maju, Taman Sri Rampai dan Pandan Indah mendapati iklan-iklan itu semakin berleluasa.

Seorang pekerja swasta, S. Gunalan, 60, berkata, iklan-iklan tersebut memang mencemarkan persekitaran dan menyusahkan orang ramai kerana ada iklan yang menutup maklumat pada papan tanda.

"Memang tujuan ditampal untuk tarik perhatian orang ramai tetapi jika sudah menutup maklumat yang lebih penting, saya rasa itu sudah melampau dan perlukan tindakan segera," katanya.

Katanya, dia melihat tindakan pihak berkuasa setakat ini masih gagal membendung perbuatan itu daripada dihentikan.

Seorang lagi kakitangan swasta, Rosmaizu Seman, 36, berkata, lambakan iklan haram berbaur lucah tidak sepatutnya ditampal di merata-rata tempat.

"Bila dibaca tulisan tersebut, kadang-kadang kita pula jadi malu kerana perkataan seperti itu tidak sesuai dipamerkan kepada orang awam terutama jika kanak-kanak yang membaca.

"Pihak bertanggungjawab perlu bertindak segera bagi membasmi lambakan iklan haram seperti ini," katanya.

Nurashikin Kamarudin, 25, berkata, iklan haram yang berbaur lucah bukan sahaja menyakitkan mata dan memalukan tetapi juga boleh memudaratkan orang ramai terutama ubat perangsang seks kerana ia tidak mendapat kelulusan kerajaan.

"Sudah tiba masanya pihak berkuasa merangka tindakan paling tegas dan berkesan bagi membanteras gejala ini supaya keindahan ibu negara tidak tercemar dan kesejahteraan orang ramai terpelihara," katanya.

DBKL tagih kerjasama orang ramai

Posted:

DBKL tagih kerjasama orang ramai

DBKL tagih kerjasama orang ramai

KUALA LUMPUR 21 Feb. - Lambakan iklan haram berbaur seks di sekitar ibu negara boleh diatasi jika orang ramai bekerjasama dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi membanteras gejala tersebut.

Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Sosio Ekonomi DBKL, Datuk Mohd. Amin Nordin Abd. Aziz berkata, kerja-kerja penurunan iklan akan menjadi mudah jika penduduk dan persatuan bersama membantu DBKL membanteras iklan-iklan haram itu.

"Atas rasa tanggungjawab kepada negara, orang ramai perlu bertindak menurunkan iklan tersebut jika melihat iklan-iklan tersebut di tampal sekitar kawasan tempat tinggal mereka.

"Tetapi kebanyakan mereka hanya tahu membuat aduan kepada DBKL tetapi tidak sama -sama membantu membanteras gejala ini," katanya.

Beliau berkata, kesedaran orang ramai terhadap bahaya lambakan iklan haram masih lagi kurang walaupun semakin ramai yang membuat aduan kepada pihak berkuasa.

"Sebab itu, terdapat sebahagian mereka hanya melihat sahaja iklan-iklan tersebut ditampal dan di gantung. Bagi mereka, tugas menurunkan iklan itu adalah tanggungjawab pihak berkuasa," katanya.

Mohd. Amin Nordin menambah, mana-mana iklan haram sama ada berbaur lucah atau tidak telah melanggar dua perkara dalam undang-undang yang dikuatkuasakan oleh DBKL.

"Yang pertama, Undang-undang Kecil Iklan Tanpa Lesen dan kedua, Undang-undang Kecil Iklan Vandalisme," jelasnya.

Beliau berkata, DBKL sentiasa berusaha untuk membanteras masalah itu dari semasa ke semasa tetapi sukar mengatasi masalah itu sepenuhnya atas pelbagai kekangan termasuk jumlahnya yang terus bertambah.

PPKB dilancarkan Mei ini

Posted:

PPKB dilancarkan Mei ini

PPKB dilancarkan Mei ini

Oleh NUR NAZLINA NADZARI
utusankota@utusan.com.my


Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin (berdiri, kiri) sambil diiringi Johari Abdul Ghani melawat makmal komputer selepas merasmikan Terminal Sejahtera Kampung Baru di Kampung Sungai Baru, Kampung Baru, semalam.


KUALA LUMPUR 21 Feb. - Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (PPKB) akan dilancarkan secara rasmi pada Mei ini setelah selesai proses pelantikan anggota perbadanan tersebut dan majlis penasihatnya.

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah meluluskan penubuhan pasukan interim dan pelantikan pegawai-pegawai akan berkuat kuasa pada 1 Mac ini.

Katanya, terdapat beberapa sesi jelajah khususnya kepada pemilik dan pewaris tanah di Kampung Baru berkaitan perancangan pembangunan di situ yang akan dilaksanakan selepas keputusan mengenai pelan panduan pembangunan diputuskan oleh pihak kementerian dan PPKB.

"Buat masa ini, projek-projek kecil yang melibatkan penambahbaikan infrastruktur sudah pun mula dijalankan di Kampung Baru.

"Apabila selesai urusan untuk perbadanan ini, ia akan dilancarkan. Mengenai pelantikan Pengerusi (PPKB), ia akan dipilih oleh Perdana Menteri sendiri manakala anggota perbadanan pula adalah daripada kementerian dengan persetujuan menteri," katanya.

Beliau berkata demikian selepas pelancaran pusat kemudahan pembelajaran kendiri, Terminal Sejahtera Kampung Baru di Kampung Baru di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Adnan Md. Ikhsan; Pemangku Ketua UMNO Bahagian Titiwangsa, Datuk Johari Abdul Ghani dan Setiausaha Kehormat Lembaga Penempatan Tanah Pertanian Melayu atau Malay Agriculture Settlement (MAS), Shamsuri Suradi.

Sementara itu, mengenai permintaan penduduk untuk mendapatkan sebuah dewan orang ramai di tapak Terminal Sejahtera, Raja Nong Chik memberitahu, tapak terbabit belum dikenal pasti pemiliknya.

"Kita tidak pasti pemilik tapak ini sama ada milik kerajaan, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) atau pihak lain.

"Untuk mendapatkan peruntukan, status tanah haruslah diketahui terlebih dahulu.

"Bagaimanapun kementerian akan mengkaji dan akan usahakan untuk mendapatkan peruntukan bagi tujuan ini," ujarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan