Isnin, 20 Februari 2012

Utusan Online - Kota

Utusan Online - Kota


Bina dan biar?

Posted:

Bina dan biar?

Bina dan biar?

Oleh RASMI ABDULLAH
kota@utusan.com.my


MESKIPUN sudah setahun disiapkan tetapi 16 gerai milik Majlis Daerah Kuala Langat di Taman Perwira, Telok Panglima Garang ini tidak pernah disewakan kepada sesiapa.


KUALA LANGAT 20 Feb. - Buat tanpa perancangan rapi dan akhirnya membazir sahaja. Itulah yang terjadi kepada 16 buah gerai di Taman Perwira, Telok Panglima Garang di sini yang terbiar sejak lebih setahun lalu.

Peniaga dan penduduk berkata, terlalu banyak faktor menolak yang menjadikan gerai milik Majlis Daerah Kuala Langat itu tidak diminati oleh sesiapa untuk disewa.

Tinjauan Utusan Malaysia baru-baru ini mendapati, ada di antara pintu gerai-gerai itu yang sudah tertanggal dan hilang manakala kawasan gerai tersebut berada dalam keadaan yang tidak terurus.

Seorang peniaga, Zuraidah Mohd. Sharif, 50 berkata, walaupun gerai itu sudah lama dibina tetapi tiada seorang pun peniaga yang ingin menyewa di situ kerana tiada bekalan air disediakan.

Katanya, keadaan gerai yang tersorok juga dikhuatiri tidak akan menarik perhatian pelanggan, sekali gus menyebabkan peniaga terpaksa berfikir dua kali untuk menyewa di situ kerana mereka berkemungkinan menghadapi risiko kerugian atau terpaksa gulung tikar.

"Saya sendiri kalau disuruh berpindah ke situ pun saya tidak mahu kerana saiz gerai yang kecil dan lokasinya jauh daripada tumpuan orang ramai.

"Setakat ini peniaga tidak mendapat sebarang arahan daripada MDKL agar berpindah ke gerai tersebut dan mungkin juga gerai itu akan dirobohkan kerana ada yang memberitahu, klinik kesihatan akan dibina di kawasan itu," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Seorang lagi peniaga, Saharina Tumiran, 40, berkata, gerai tersebut tidak menarik minat peniaga untuk menyewa kerana tiada kemudahan asas disediakan, selain lokasinya agak jauh daripada kawasan tumpuan ramai.

"Saya pun hairan mengapa MDKL membina gerai di kawasan tersebut tanpa membuat kajian tentang kesesuaian tapak terutama faktor lokasi yang strategik," katanya yang menjalankan perniagaan di kawasan berhampiran gerai itu.

Sementara itu, Penolong Pegawai Penerangan, Unit Aduan Perhubungan Awam dan Korporat MDKL, Shahrulnizam Khalil ketika dihubungi enggan mengulas mengenai isu gerai itu.

Katanya, tindakan selanjutnya terhadap gerai-gerai tersebut sama ada akan dirobohkan atau sebaliknya, masih menunggu arahan daripada pihak yang berkuasa.

Penghuni PPR paling untung

Posted:

Penghuni PPR paling untung

Penghuni PPR paling untung

Oleh ROSLAH OTHMAN
kota@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 20 Feb. - Golongan berpendapatan rendah khususnya penghuni rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) dikenal pasti antara golongan yang paling banyak menerima kesan daripada pembangunan ibu negara.

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, ini jelas dapat dilihat dari segi perubahan struktur gaya hidup dan peningkatan sosio ekonomi.

Sehubungan itu, katanya, satu program soal selidik mengenai kajian tempat kediaman dan program intervensi akan dilakukan oleh Universiti Malaya (UM) bagi meningkatkan tahap kesihatan umum penduduk bandar.

Katanya, empat buah PPR yang dipilih sebagai lokasi kajian ialah PPR Kerinchi, PPR Pantai Ria , PPR Seri Cempaka dan PPR Seri Pantai.

Menurutnya, apa yang lebih diharapkan melalui soal selidik itu yang dikendalikan dalam tiga fasa selama lima tahun itu ialah hasilnya boleh digunakan untuk merangka dan melaksanakan program yang dapat meningkatkan tahap kesihatan warga PPR.

"Golongan ini telah melalui fasa penghijrahan dari kawasan luar bandar ke bandar atau dari kawasan setinggan ke perumahan bertingkat menyebabkan ada antaranya terdedah kepada tekanan hidup.

"Ada juga yang memberi kesan kepada tahap kesihatan mereka termasuk menghidap penyakit kronik seperti darah tinggi, sakit jantung dan diabetes," katanya selepas melancarkan Projek Khidmat Masyarakat Berkaitan Penyakit di Kalangan Komuniti Bandar anjuran Fakulti Pendidikan serta Fakulti Pergigian Universiti Malaya di PPR Kerinchi di sini semalam.

Turut hadir, Dekan Fakulti Perubatan UM, Prof. Dr. Adeeba Kamarulzaman.

Raja Nong Chik berkata, bagi mendepani masalah penduduk itu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur turut memainkan peranannya termasuk dengan membina beberapa taman rekreasi untuk warga kota beriadah .

"Bagi warga PPR di Lembah Pantai, diharapkan mereka akan dapat memanfaatkan sepenuhnya Taman Rekreasi Bukit Kerinchi seluas 32 hektar yang kini dalam pembinaan dan dijangka siap pertengahan tahun ini," ujarnya.

Krisis air: MBS selar Selangor enggan kerjasama

Posted:

Krisis air: MBS selar Selangor enggan kerjasama

Krisis air: MBS selar Selangor enggan kerjasama

SHAH ALAM 20 Feb. - Majlis Belia Selangor (MBS) mengutuk tindakan kerajaan negeri yang masih berdegil tidak mahu bekerjasama dengan kerajaan Pusat untuk menjayakan projek penyaluran bekalan air mentah dari Pahang bagi menampung keperluan rakyat serta industri di negeri ini.

Timbalan Presidennya, Badrul Hisham Badrudin berkata, sikap kerajaan negeri pimpinan pembangkang itu disifatkan tidak bertanggungjawab kerana banyak rundingan melibatkan penyaluran bekalan air dari Pahang dan pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 sebelum ini gagal kerana kerenah pentadbiran negeri.

Katanya, kegagalan itu berpunca daripada tindakan kerajaan negeri menangguhkan kelulusan pengambilan tanah, penggunaan tanah rizab hutan simpan serta kelulusan pembangunan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Akibatnya, pelaksanaan projek penyaluran air mentah dari Pahang ke Selangor terganggu manakala pelaksanaan Projek Loji Rawatan Air Langat 2 mengalami kelewatan yang sangat kritikal.

"Persoalannya, mengapa kerajaan negeri masih berdegil tidak mahu memberi kerjasama kepada kerajaan Pusat. Bukankah Kumpulan Darul Ehsan (KDEB) yang dipilih untuk meneraju pemindahan air mentah ini adalah anak syarikat kerajaan negeri," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Badrul Hisham berkata, pihaknya turut mempertikaikan cadangan kerajaan negeri menggunakan kaedah pengambilan air mentah dari bekas-bekas lombong tinggal, penapisan air sungai dan tadahan air hujan sebagai usaha menangani krisis bekalan air Selangor menjelang 2014.

Ini kerana katanya, cadangan itu dilihat tidak praktikal kerana dikhuatiri bukan hanya melibatkan jumlah peruntukan kewangan negeri yang besar, tetapi tempoh masa pelaksanaan serta jumlah bekalan yang dihasilkan amat diragui.

"Apa jaminan kerajaan negeri bahawa tidak akan ada pemilihan syarikat perunding dari luar untuk membuat kerja-kerja ini seperti di Pulau Pinang apabila kerajaan negeri itu dilaporkan melantik syarikat dari Singapura untuk menjadi perunding projek pembinaan rumah kos rendah," katanya.

Dalam pada itu, katanya, unjuran Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) jelas menunjukkan bahawa permintaan bekalan air terawat pada 2011 di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya dijangka meningkat kepada 4,631 juta liter sehari.

Peningkatan itu, katanya, melebihi keupayaan pembekalan sebanyak 4,431 juta liter sehari dengan defisit bekalan sebanyak 200 juta liter sehari.

Katanya, menjelang akhir 2014, defisit bekalan dijangka terus meningkat kepada 703 juta liter sehari dengan permintaan bekalan air terawat meningkat kepada 5,349 juta liter sehari berbanding keupayaan pembekalan sebanyak 4,646 juta liter sehari.

"Oleh itu, kami mendesak agar kerajaan negeri tidak lagi berdolak-dalik, menuding jari dan berhenti mempolitikkan isu air di Selangor. MBS tidak yakin dengan janji kerajaan negeri seperti mana janji-janji yang dibuat pada pilihan raya umum lalu yang tidak ditunaikan sehingga kini," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan