Jumaat, 17 Februari 2012

Utusan Online - Kota

Utusan Online - Kota


170,000 pengguna terjejas

Posted:

170,000 pengguna terjejas

170,000 pengguna terjejas

Oleh NUR NAZLINA NADZARI
kota@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 17 Feb. – Sebanyak 170,000 akaun pengguna Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) di kawasan Hulu Langat dan sebahagian Kuala Lumpur mengalami gangguan bekalan air sekurang-kurangnya sehingga Sabtu ini apabila salah sebuah pam di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Langat, Hulu Langat, rosak.

Pengarah Eksekutif, Bahagian Hal Ehwal Korporat Syabas, Abdul Halem Mat Som berkata, pihaknya telah dimaklumkan mengenai perkara itu oleh pengendali loji berkenaan, Puncak Niaga (M) Sdn. Bhd. yang kini sedang melakukan kerja pembaikan pam berkenaan.

LRA Sungai Langat mempunyai 13 pam dan ia membekalkan air mentah dari Sungai Langat ke LRA Sungai Langat untuk diproses menjadi air terawat.

Abdul Halem menjelaskan, akibat kerosakan pam berkenaan, kadar pengeluaran air terawat terpaksa dikurangkan sebanyak 13 peratus iaitu daripada 470 JLH (juta liter sehari) kepada 410 JLH, iaitu kekurangan sebanyak 60 JLH.

Tambahnya, akibatnya beberapa kawasan di daerah Hulu Langat juga dijangka akan mengalami tekanan air rendah atau gangguan bekalan air sepanjang kerja-kerja penyenggaraan dilaksanakan.

"Syabas telah membuat segala persiapan yang perlu termasuk mengaktifkan pelan tindakan kecemasan bagi wilayah Hulu Langat sebagai langkah menyediakan bantuan bekalan air menerusi lori tangki untuk dihantar ke kawasan-kawasan yang terlibat sekiranya diperlukan.

"Kerja-kerja pembaikan pam dijangka siap pada lewat petang Sabtu. Pihak operator loji akan memaklumkan kepada Syabas berhubung kemajuan kerja-kerja penyenggaraan ini dari semasa ke semasa dalam usaha menyiapkan kerja-kerja tersebut dengan seberapa segera," katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Abdul Halem berkata, difahamkan LRA Sungai Langat yang telah memulakan operasi sejak tahun 1971 belum lagi dinaik taraf dan sentiasa beroperasi 22 peratus melepasi kapasiti reka bentuknya bagi memastikan pengeluaran air terawat mampu memenuhi permintaan bekalan air yang semakin meningkat di wilayah Hulu Langat.

Menurutnya, pengeluaran yang melepasi kapasiti ini telah menyebabkan pam air mentah tersebut beroperasi secara berterusan kerana tiada pam sedia tunggu atau pam-pam simpanan.

"Selain itu, loji ini terpaksa juga beroperasi kerana tiada sumber-sumber lain yang cukup untuk membekalkan air bersih ke wilayah tersebut.

Jangan salah guna bantuan diberi oleh kerajaan

Posted:

Jangan salah guna bantuan diberi oleh kerajaan

Jangan salah guna bantuan diberi oleh kerajaan

KLANG 17 Feb. - Sebanyak 50 petani dan peniaga kecil telah menerima sumbangan berupa peralatan perniagaan dan baka haiwan ternakan daripada Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen Kapar (MPPP) di Dewan Orang Ramai Taman Berkat, Meru di sini.

Program tersebut diadakan untuk membantu penerima-penerima bantuan memajukan perniagaan dan menambahkan hasil pertanian masing-masing.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sementa, Datuk Abdul Rahman Palil berkata, bantuan daripada pihak Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani tersebut perlu digunakan dengan sebaiknya kerana hanya yang benar-benar layak akan menerimanya.

Beliau berkata, penerima baka haiwan ternakan seperti kambing boer dan lembu brahman perlu menternak haiwan yang diberi dan bukan menjualnya untuk mendapat untung singkat.

"Bantuan seperti mesin jahit dan mesin membuat ais krim perlu digunakan sebaiknya demi menambahkan hasil pendapatan. Saya tidak mahu bantuan yang diberi disalah guna, kerana ada kes penerima bantuan menjual mesin yang disumbang kepada mereka," katanya pada majlis penyampaian bantuan tersebut baru-baru ini.

Jelasnya lagi, lembu brahman misalnya mempunyai harga pasaran yang tinggi dan sepatutnya baka tersebut dibiakkan untuk menghasilkan keuntungan berganda.

"Seekor lembu brahman dewasa berharga RM4,000 hingga RM5,000 seekor mengikut saiz. Sepatutnya kes menjual baka yang diberi oleh pihak Kementerian Pertanian tidak timbul lagi," jelasnya.

Beri peluang kepada bukan bumiputera – MCA

Posted:

Beri peluang kepada bukan bumiputera – MCA

Beri peluang kepada bukan bumiputera – MCA

PETALING JAYA 17 Feb. – Biro Pengaduan Awam MCA Selangor menyeru kerajaan negeri itu agar turut memberi peluang kepada kontraktor bukan bumiputera untuk sama-sama terlibat dalam kontrak memungut sampah dan pengurusan kebersihan di kawasan tadbiran Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ).

Ketua bironya, Datuk Theng Book berkata, beliau difahamkan pada 1 Februari lepas, pihak MPSJ telah memberi kontrak kepada 154 kontraktor kebersihan yang kesemuanya terdiri daripada kontraktor Bumiputera.

"Saya kesal terhadap sikap ahli exco Kerajaan Negeri, terutamanya wakil DAP yang 'cakap tak serupa bikin'. DAP sentiasa tegaskan yang mereka bersikap adil kepada semua tidak kira bangsa dan agama, tetapi dalam isu pemberian tender sampah, mereka hanya mengutamakan satu kaum sahaja," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media berkenaan isu sampah dan kes denggi di Selangor, di sini hari ini.

Dalam sebuah portal berita berbahasa Mandarin bertarikh 9 Februari melaporkan sebanyak 154 kontraktor kutipan sampah yang terdiri daripada golongan bumiputera, diberi kontrak oleh MPSJ untuk mengutip sampah dan menguruskan masalah kebersihan di kawasan Subang Jaya.

Theng mendakwa semasa kerajaan negeri ditadbir Barisan Nasional sebelum Pilihan Raya Umum ke-12, Selangor tidak pernah meminggirkan golongan bukan bumiputera dalam isu pemberian kontrak ini dan sentiasa memastikan kebersihan setempat terjamin.

"Oleh itu, saya menyeru Teresa Kok (Exco kanan negeri Selangor) supaya menjawab persoalan yang kami lontarkan, di mana janji mereka yang dikatakan mengamalkan sikap sama rata terhadap semua kaum," katanya. – BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan