Khamis, 16 Februari 2012

Utusan Online - Kota

Utusan Online - Kota


Perumahan Seksyen 7 mendap

Posted:

Perumahan Seksyen 7 mendap

Perumahan Seksyen 7 mendap

oleh AHMAD FADZLY ESA
kota@utusan.com.my


PENDUDUK memerhatikan salah sebuah rumah di Jalan Plumbum, Seksyen 7 yang mendap di bahagian hadapan sehingga memecahkan jubinnya di Shah Alam, semalam.


SHAH ALAM 16 Feb. – Lebih 1,000 penduduk di Jalan Plumbum 101/107, Seksyen 7 di sini kini hidup dalam kebimbangan apabila bahagian hadapan dan belakang rumah mereka mendap sedalam kira-kira 0.3 meter selepas hujan lebat awal pagi kelmarin.

Ahli Jawatankuasa Persatuan penduduk kawasan berkenaan, Zain Wahinuddin Idris (gambar), 55, berkata, kejadian tanah mendap itu disedari oleh penduduk yang terkejut daripada tidur apabila mereka terdengar bunyi dentuman yang kuat pada pukul 2.30 pagi.

Menurutnya, beliau dan beberapa penduduk sudah membuat aduan mengenai kejadian tanah mendap yang berlaku di kawasan itu sejak 2006 lalu kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), namun tiada sebarang tindakan serius diambil.

"Malah, saya turut membuat laporan kepada pelbagai pihak lain seperti Jabatan Kerja raya (JKR) dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), namun mereka seolah-olah tidak memandang serius perkara ini.

"Saya sangat sedih bila kejadian ini menjadi semakin teruk, ia melibatkan harta benda dan juga nyawa penduduk, ada sebahagian penduduk yang terpaksa berpindah sementara kerana bimbangkan keselamatan mereka," katanya.

Dalam pada itu, tinjauan Utusan Malaysia mendapati sebahagian ruang hadapan rumah beberapa penduduk di situ mendap dan menyebabkan berlaku hakisan di sekitar kawasan tersebut.

Tanah mendap itu turut menjejaskan kira-kira 35 hingga 40 buah rumah teres dua tingkat di kawasan tersebut.

Selain itu, sistem saliran longkang yang sempit dan tersumbat mengakibatkan air naik di bahagian hadapan rumah sehingga ke paras buku lali.

Mengulas lanjut, Zain memberitahu, rumah teres dua tingkat itu mula dibina pada tahun 2002 dan siap sepenuhnya pada Disember 2005 dan dijual dengan harga RM250,000

Menurutnya, kawasan perumahan itu merangkumi rumah teres dua tingkat sebanyak 168 unit dan rumah berkembar sebanyak 80 unit dengan PKNS adalah pemajunya.

Penduduk akur kena pindah

Posted:

Penduduk akur kena pindah

Penduduk akur kena pindah

Oleh NUR NAZLINA NADZAR
kota@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 16 Feb. – Setelah lebih setahun bertahan, akhirnya 34 keluarga di rumah pangsa empat tingkat Kampung Kerinchi bersedia untuk berpindah dari rumah mereka.

Mereka yang sebelum ini enggan berpindah sudah menerima borang K daripada Pejabat Tanah dan Galian dan diarahkan untuk mengosongkan kawasan terbabit mengikut Akta Pengambilan Tanah.

Namun, mereka kini buntu untuk mencari tempat tinggal yang baru dengan wang pampasan sebanyak RM73,000 yang mereka terima dan meminta kerajaan menyediakan rumah untuk mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Rumah Pangsa Kerinchi, Hashim Selim, 67, berkata, penduduk bersedia untuk keluar dari situ tetapi mereka tidak mempunyai tempat tinggal.

Menurutnya, dengan wang pampasan sebanyak RM73,000 sahaja, amat sukar bagi mereka mencari rumah lain di ibu kota.

"Kami berharap agar rumah dapat disediakan kepada kami semua iaitu 34 keluarga yang masih tinggal di sini. Kami adalah rakyat Malaysia dan penduduk asal di sini dan bukannya pendatang asing," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Beliau berkata, penduduk sedih dengan langkah pihak berkuasa menggunakan Akta Pengambilan Tanah untuk memaksa penduduk keluar sedangkan rundingan masih boleh diadakan.

"Perkara ini telah memberi tekanan kepada penduduk dan ahli keluarga mereka kerana ada juga yang sudah kematian suami dan isteri dan kejadian ini amat menyusahkan mereka," katanya.

Projek pembangunan semula rumah pangsa Kampung Kerinchi tidak dapat dilaksanakan kerana mendapat bantahan daripada 10 peratus penduduk yang masih was-was dengan pemaju projek itu walaupun kerajaan memberi jaminan yang mereka akan diberikan rumah di situ.

Berikutan itu, Akta Pengambilan Tanah telah digunakan bagi meneruskan projek terbabit yang sudah berlarutan lebih setahun dan proses rundingan dikatakan tidak menampakkan kesan positif.

Hashim menegaskan, walaupun mereka bersedia untuk keluar, namun mereka masih tetap dengan pendirian untuk memperjuangkan hak mereka di mahkamah.

"Kami akan meneruskan tuntutan kami iaitu meminta pampasan sebanyak RM600,000 bagi setiap rumah kerana kami yakin itulah nilai kepada potensi yang ada di kawasan ini," jelasnya.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Zulkifli Embon, 45, berkata, mereka tidak menolak pembangunan tetapi tidak yakin pihak pemaju yang tidak memberikan surat perjanjian kepada pemilik.

"Kami hanya mempertahankan hak individu tetapi kami dianggap pula seperti penjenayah oleh penduduk yang bersetuju kerana telah menyebabkan projek ini tidak dapat dijalankan," ujarnya.

ctos melanggar undang-undang - Saksi

Posted:

ctos melanggar undang-undang - Saksi

ctos melanggar undang-undang - Saksi

KUALA LUMPUR 16 Feb. — Seorang saksi yang pernah membuat kajian terhadap Credit Tip Off Sdn. Bhd. (CTOS) hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa agensi maklumat kredit itu telah melanggar undang-undang Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) berhubung penamaan syarikat.

Zarina Jaafar yang ketika itu bertugas sebagai ketua pegawai eksekutif di Associate & General (M) Sdn. Bhd. berkata, hasil kajiannya mendapati di dalam Memorandum of Association (MOA) syarikat berkenaan, terdapat perkataan to carry on the business of a credit rating agency or bureau (Biro) sedangkan keadaan sedemikian hanya boleh dilakukan oleh agensi badan berkanun atau syarikat yang dimiliki kerajaan.

Katanya, larangan terhadap perkara itu diselidik pada 2007 menerusi pegawai kaunter di Pejabat Pendaftar Syarikat, SSM dan jelas dinyatakan di dalam garis panduan menamakan syarikat.

Zarina yang merupakan saksi kelima pembelaan berkata demikian ketika pemeriksaan balas oleh peguam Ashok Kandiah dalam perbicaraan kes saman fitnah yang difailkan oleh CTOS terhadap bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri M. Kayveas.

Pada September 2007, CTOS bersama CTOS Data Systems Sdn Bhd, CTOS-EMR Sendirian Berhad dan CTOS Business Systems Sdn. Bhd. memfailkan saman terhadap Kayveas atas dakwaan mengeluarkan kenyataan fitnah yang diterbitkan di akhbar-akhbar tempatan antara 25 Jun 2007 dan 15 Julai 2007.

CTOS memohon ganti rugi am, teladan, teruk, kos, dan lain-lain relif yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Defendan (Kayveas) dalam pernyataan pembelaan berkata, kenyataan itu adalah laporan saksama dan tepat dibuat oleh defendan dalam kapasitinya pada masa itu sebagai Timbalan Menteri berdasarkan situasi semasa untuk pengetahuan umum.

Selain itu, Zarina yang kini bertugas sebagai pengurus komunikasi pemasaran di Hotel Seri Pacific Kuala Lumpur turut memberitahu bahawa kajian terhadap CTOS itu dibuat atas permintaan Kayveas yang telah melantik dan mengupahnya.

Ditanya Ashok sama ada beliau bersetuju bahawa tiada sebarang kajian mendalam dibuat ke atas isu "biro" selain berdasarkan garis panduan, Zarina berkata: "Ya, setuju."

Terdahulu, Zarina memberitahu bahawa bagi membuat kajian itu beliau telah mengunjungi pejabat CTOS beberapa kali dan menemui pegawai terbabit sebelum melapor segala maklumat kepada Kayveas.

Perbicaraan di hadapan Hakim Rosilah Yop Isnin bersambung 23 Februari. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan