Rabu, 15 Februari 2012

Utusan Online - Kota

Utusan Online - Kota


Peniaga tuntut pampasan

Posted:

Peniaga tuntut pampasan

Peniaga tuntut pampasan

Oleh ROSLAH OTHMAN
kota@utusan.com.my


Para peniaga dan penyokong mereka berkumpul di hadapan pejabat William Leong bagi menuntut Ahli Parlimen itu membayar pampasan kerana merobohkan gerai tanpa notis di Selayang, baru-baru ini.


SELAYANG 15 Feb. – Lima peniaga di Jalan 26 Selayang Baru menuntut Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen membayar ganti rugi kerana gagal menyelesaikan isu gerai mereka dirobohkan tanpa notis baru-baru ini.

Mereka yang berhimpun di hadapan pejabat Ahli Parlimen itu bersama-sama kira-kira 30 orang yang merupakan penyokong mereka menuntut pampasan sebanyak RM110,000.

Kumpulan itu turut merayu agar kepimpinan Barisan Nasional (BN) di kawasan itu membantu membela nasib peniaga-peniaga kecil terbabit dalam isu tersebut.

Seorang peniaga, Tee Guat Eng, 64, berkata, pampasan itu adalah bagi menampung kerugian yang terpaksa ditanggung peniaga, bukan sahaja disebabkan kerosakan gerai tetapi juga kehilangan mata pencarian.

Katanya, tindakan William juga dianggap kejam kerana beliau bukan sahaja mengarahkan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) merobohkan gerai itu tetapi juga sikap lepas tangan.

"Kami mahukan keadilan dan menuntut hak kami. Jika beginilah sikap beliau, sudah pasti dalam pilihan raya akan datang, rakyat menolaknya," ujarnya.

Turut hadir pada perhimpunan itu ialah Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas), Mohd. Ridzuan Abdullah.

Mohd. Ridzuan berkata, pihaknya memberi tempoh seminggu bagi William menyelesaikan isu gerai peniaga terlibat dan tidak teragak-agak membawa perkara itu ke mahkamah.

"Kami juga meminta agar pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat tindakan William yang jelas sekali terdapatnya unsur-unsur penyelewengan dalam tindakannya," ujarnya.

Sementara itu, William ketika dihubungi menegaskan, beliau tetap dengan pendirian bahawa tindakan yang diambil itu adalah atas persetujuan Pejabat Daerah, MPS dan Jabatan Pengairan dan Saliran untuk menaik taraf kawasan rizab sungai di situ.

Katanya, tindakan meroboh diambil berikutan kegagalan peniaga mematuhi beberapa peraturan, selain mengabaikan notis yang dihantar oleh MPS sebelum ini.

Katanya, beliau cuba memainkan peranan sebagai Ahli Parlimen dengan mengadakan perbincangan dengan peniaga termasuk tawaran mencari tapak yang lain namun tidak mendapat kerjasama.

"Peniaga tidak perlu mengikut pihak tertentu sebaliknya perlu berfikir sedalam-dalamnya sebelum bertindak termasuk membawa perkara itu ke mahkamah," katanya.

Ikan rakyat masih dijual melebihi had harga

Posted:

Ikan rakyat masih dijual melebihi had harga

Ikan rakyat masih dijual melebihi had harga


Harga ikan rakyat masih dijual pada harga melebihi had di beberapa kedai runcit dan pasar basah di sekitar Bandar Tun Razak.


KUALA LUMPUR 15 Feb. - Para peniaga didapati masih menjual 'ikan rakyat' pada harga melebihi had yang ditetapkan oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) iaitu di bawah RM9 sekilogram atas alasan terpaksa menanggung kos yang tinggi.

Tinjauan Utusan Malaysia di beberapa kedai dan pasar di sekitar Bandar Tun Razak mendapati, beberapa jenis 'ikan rakyat' dijual pada harga RM15 dan ke atas sekilogram.

Seorang peniaga, Yap Fui Ling berkata, harga ikan yang dijual di kedainya adalah mengikut yang ditetapkan oleh pembekal.

Menurutnya, harga ikan kembung di kedainya dijual pada harga RM16.90 sekilogram kerana harga yang diperolehi daripada pembekal adalah RM14 sekilogram.

"Jika harga pembekal murah, kami akan menjual ikan dengan harga murah. Memang ada pembeli merungut kerana harganya tinggi tetapi mereka kena faham harga ikan tidak menentu," katanya.

Baru-baru ini, Ketua Pengarah LKIM, Datuk Mohd. Khazin Hamzah berkata, tujuh jenis ikan yang disenaraikan sebagai 'ikan rakyat' tidak boleh melebihi RM9 sekilogram.

Tujuh jenis ikan tersebut adalah kembung, selar, cencaru, pelaling, selayang, talapia dan keli.

Seorang lagi peniaga, Mohd. Oli Ullah Morti berkata, sebagai penjual, mereka ada mengambil kira rungutan pembeli mengenai harga ikan, tetapi tidak mampu berbuat apa-apa.

"Keuntungan kami untuk sekilogram ikan hanya dalam lingkungan RM1 hingga RM1.50. Kami terpaksa mengikut harga yang diberikan oleh pihak pembekal," jelasnya.

Sementara itu, seorang pembeli, Nurul Jannah Abdul berkata, harga ikan yang agak tinggi sememangnya membebankan dan penetapan harga oleh LKIM adalah sesuatu yang wajar.

Suri rumah, C. Thamaraiselvi juga mengeluh harga ikan yang mahal dan meminta kerajaan mengawal harganya agar tidak terlalu tinggi.

"Langkah LKIM ini memberi manfaat kepada pengguna terutama golongan berpendapatan rendah kerana ikan merupakan antara sumber protein utama rakyat," katanya.

DBKL wujud akaun khas

Posted:

DBKL wujud akaun khas

DBKL wujud akaun khas

Oleh MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
kota@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 15 Feb. - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mewujudkan sebuah akaun khas untuk membeli balik rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) daripada pembeli yang gagal membayar balik pinjaman Syarikat Perumahan Wilayah Persekutuan (SPWP).

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Ahmad Fuad Ismail (gambar) berkata, akaun tersebut diwujudkan melalui peruntukan sebanyak 20 peratus hasil jualan PPR serta PA dan akan menjadi jaminan kepada skim penjualan rumah berkenaan.

Menurutnya, berdasarkan nilai jualan 4,988 unit rumah PPR dan PA sehingga 31 Januari lalu sebanyak RM155 juta, akaun khas itu kini mempunyai dana sebanyak RM30 juta.

"Sebelum ini banyak pihak mempersoalkan dari mana DBKL dapat dana, ada yang kata kenapa DBKL dipaksa beli rumah tersebut dan ada yang tuduh kita guna wang daripada hasil cukai taksiran yang kita peroleh dan pelbagai lagi.

"Namun, saya tegaskan di sini bahawa Kabinet telah luluskan hasil pembelian rumah PPR dan PA ini 100 peratus menjadi milik kami, jadi tiada isu yang mengatakan DBKL tiada wang dan skim ini menyalahgunakan KWSP," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengumumkan penganjuran program 'KUL Sign Festival 2012' di Pasar Seni di sini baru-baru ini.

Tambah Ahmad Fuad, bagi mendapatkan kembali wang daripada akaun khas itu yang digunakan untuk membeli rumah, rumah itu akan dijual semula pada harga pasaran kepada pemohon yang berdaftar dengan Sistem Pendaftaran Terbuka DBKL.

Katanya, berdasarkan harga pasaran hartanah pada masa ini, dianggarkan harga rumah tersebut boleh dijual pada harga RM70,000 hingga RM80,000 berikutan lokasinya yang strategik.

Sementara itu, mengulas mengenai 'KUL Sign' Festival 2012, beliau berkata, ia bertujuan menjalin kerjasama dua hala dan persefahaman antara DBKL dengan penggiat grafiti.

Katanya, festival dua hari yang memasuki edisi kedua itu akan berlangsung pada 25 Februari ini i Dataran LRT Pasar Seni dan pertandingan 'KUL Sign' Grafiti bertemakan Greater KL akan turut diadakan.

"Kumpulan sasaran pertandingan ini ialah pelukis tempatan dan setakat ini, seramai 200 peserta telah mengesahkan penyertaan termasuk pelukis dari luar negara seperti dari Itali, Singapura, Hong Kong, Sweden dan sebagainya," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan