Jumaat, 10 Februari 2012

Utusan Online - Kota

Utusan Online - Kota


81 persatuan hantar memo kepada KWSP

Posted:

81 persatuan hantar memo kepada KWSP

81 persatuan hantar memo kepada KWSP

Oleh ROSLAH OTHMAN
kota@utusan.com.my


Anuar Sudin (empat dari kiri) menyerahkan memorandum menyokong skim khas pembelian unit rumah PPR dan PA kepada Nik Affendi Jaafar di Ibu Pejabat KWSP, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/DJOHAN SHAHRIN SHAH


KUALA LUMPUR 10 Feb. - Majlis Gabungan Persatuan-persatuan Penduduk di bawah naungan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Wilayah Persekutuan hari ini menggesa Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) agar tidak melayan kerenah parti pembangkang berhubung skim khas pembelian unit rumah PPR-MTEN dan PA DBKL

Gesaan itu dibuat menerusi satu memorandum, yang turut menjadi tanda sokongan mereka terhadap skim yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 28 Disember lepas.

Memorandum itu diserahkan kepada Pengurus Besar Perhubungan Awam KWSP, Nik Affendi Jaafar di lobi Ibu Pejabat KWSP di sini hari ini.

Yang Dipertua majlis itu, Anuar Sudin berkata, memorandum itu juga sebagai membalas memorandum bantahan penggunaan dana KWSP bagi tujuan pembiayaan Projek Perumahan Rakyat (PPR) oleh Kerajaan Persekutuan yang dihantar parti pembangkang kepada KWSP pada 8 Februari lalu.

Anuar menegaskan, pihaknya terpanggil untuk membalas memorandum itu yang nyata tidak menyebelahi pihak penyewa Perumahan Awam (PA) dan PPR dan menidakkan hak mereka membeli unit-unit yang ditawarkan.

Menurutnya, selama ini ramai penyewa yang berminat membeli unit rumah PA dan PPR tetapi tidak berkemampuan dan mereka menanti-nantikan satu skim yang dapat membantu mereka mencapai hasrat itu.

"Kami amat kecewa hasrat kerajaan untuk membantu golongan berpendapatan rendah terutama yang bekerja sendiri untuk memiliki rumah cuba diganggu pihak pembangkang.

"Seharusnya mereka membantu seiring dengan slogan negeri berkebajikan, tetapi sebaliknya cuba mempolitikkan isu ini," ujarnya ketika ditemui selepas mengetuai penyerahan memorandum berkenaan.

Kira-kira 18 wakil persatuan penduduk mewakili 81 persatuan penduduk dan 700,000 penghuni PPR dan PA turut hadir pada sesi itu.

Timbalan Yang Dipertuanya, Razak Abdul Karim pula berkata, sebagai tanda sokongan juga pihak majlis akan turut menyertai sesi road show yang akan diadakan oleh DBKL dan agensi terlibat bagi sesi penerangan mengenai pembiayaan skim tersebut pada 1 Mac ini.

Sementara itu, Setiausaha Kehormat majlis itu, Amulludin Latip menyeru agar pihak KWSP tidak tunduk kepada desakan pihak pembangkang supaya tidak memberikan dana RM1.5 billion kepada Kerajaan Persekutuan bagi membiayai skim tersebut.

Menurutnya, perkara itu perlu dilihat dari sudut kebajikan kerana dengan wujudnya dana berkenaan, ia akan membantu penyewa unit rumah PPR dan PA yang berpendapatan rendah memiliki hartanah di ibu negara.

Pada 8 Febuari lalu, tiga Ahli Parlimen pembangkang iaitu Nurul Izzah Anwar, Tony Pua dan Dr. Dzulkefly Ahmad melalui Pertubuhan Kemajuan dan Kebajikan Rakyat Selangor (Prorakyat) telah menghantar memorandum bantahan mereka kepada KWSP.

Memorandum itu antara lain menyatakan tidak bersetuju penggunaan dana KWSP bagi membantu golongan berpendapatan rendah memiliki unit rumah PA dan PPR.

Pada hari yang sama, Timbalan Ketua Eksekutif dan Ketua Pelaburan KWSP, Datuk Shahril Ridza Ridzuan telah mengeluarkan kenyataan akhbar bahawa skim khas pembelian rumah itu tidak melibatkan KWSP memberikan pinjaman kepada individu.

Pegawai kanan polis turun padang program walkabout

Posted:

Pegawai kanan polis turun padang program walkabout

Pegawai kanan polis turun padang program walkabout


Tun Hisan Tun Hamzah (berdiri, dua dari kanan) beramah mesra dengan orang awam semasa program walkabout di Damansara, dekat Shah Alam, semalam.


SHAH ALAM 10 Feb. - Polis Selangor mencatat sejarah tersendiri apabila semua pegawai kanannya di peringkat balai, daerah dan kontinjen telah turun padang untuk menghadiri program walkabout diadakan pasukan itu di sekitar Damansara malam tadi.

Ketua Polis negeri, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, kesemua pegawainya telah diminta bersama-sama masyarakat di dalam program berkenaan dengan memakai uniform.

Katanya, program itu sebahagian daripada program komuniti kepolisan yang telah diadakan sebelum ini bagi mendapatkan maklum balas daripada masyarakat tentang isu-isu keselamatan.

"Untuk mendekati masyarakat kami tidak perlu memanggil orang ramai ke balai sebaliknya pegawai serta anggota sendiri akan bertemu mereka.

"Kami juga akan bersama-sama masyarakat dengan memakai uniform bagi menunjukkan bahawa sifat mesra yang membolehkan mereka berkongsi rasa selamat dengan polis," katanya.

Beliau berkata demikian pada program walkabout itu yang turut dihadiri oleh Timbalannya, Datuk A. Thaivegan dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd. Adnan Abdullah.

Tambah Tun Hisan, kadar jenayah di Damansara mengalami penurunan sebanyak 3.9 peratus jika dibanding tempoh yang sama sepanjang Januari tahun lalu.

"Kebanyakan jenayah di sini adalah berkaitan dengan kejadian curi motosikal di kawasan penempatan," katanya.

Kami bukan perampas tanah - MRT Corp.

Posted:

Kami bukan perampas tanah - MRT Corp.

Kami bukan perampas tanah - MRT Corp.

PUTRAJAYA 10 Feb. - MRT Corp. hari ini menjelaskan pihaknya tidak akan meroboh atau mengambil alih mana-mana bangunan bersejarah di Jalan Sultan di ibu negara untuk pembinaan My Rapid Transit (MRT).

Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp., Datuk Azhar Abdul Hamid berkata, ini kerana kesemua projek MRT yang dijangka dimulakan di Jalan Sultan pada 2014 hanya melibatkan kerja-kerja bawah tanah.

Beliau berkata, berikutan daripadanya, segelintir penduduk atau pemilik hartanah di Jalan Sultan perlu dipindahkan dan premis mereka dikosongkan selama enam bulan bagi membolehkan kerja-kerja bawah tanah dijalankan.

"Tempoh ini melibatkan kerja-kerja pemeriksaan awal, pembinaan terowong dan seterusnya pemeriksaan akhir yang bertujuan memastikan tiada bangunan terjejas semasa projek dijalankan.

"Kami bukannya perampas tanah dan kami tidak akan merobohkan mana-mana bangunan bersejarah yang ada, kami sebaliknya telah menyuarakan kepada kerajaan supaya kawasan sekitar Jalan Sultan diiktiraf sebagai kawasan warisan sejarah," katanya selepas menandatangani perjanjian yang melantik MMC Gamuda KVMRT Sdn. Bhd. sebagai rakan pelaksana projek MRT di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas cadangan segelintir penduduk yang mahu MRT Corp. mengubah laluan MRT supaya tidak menjejaskan bangunan bersejarah di Jalan Sultan.

Mengulas lanjut, Azhar berkata, MRT Corp. tidak akan mengambil alih hartanah di Jalan Sultan secara sewenang-wenangnya melainkan pembinaan stesen perlu dijalankan.

Beliau berkata, kewujudan MRT akan menawarkan pelbagai manfaat kepada penduduk dan peniaga di Jalan Sultan kerana ia membawa lebih ramai pengunjung ke situ.

"MRT akan membawa kepada lebih banyak peluang perniagaan kerana orang ramai boleh berkunjung ke situ pada siang atau malam tanpa perlu risau mengenai soal tempat meletak kenderaan," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan