Khamis, 9 Februari 2012

Utusan Online - Kota

Utusan Online - Kota


Rundingan terakhir selesaikan isu

Posted:

Rundingan terakhir selesaikan isu

Rundingan terakhir selesaikan isu

Oleh ROSLAH OTHMAN
kota@utusan.com.my


Keramat Mall di Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur masih gagal berfungsi sepenuhnya akibat keengganan peniaga di Pasar Datuk Keramat berpindah ke pasar moden itu.


KUALA LUMPUR 9 Feb. – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mengadakan perbincangan 'terakhir' dengan peniaga di Pasar Datuk Keramat dalam tempoh terdekat ini bagi menyelesaikan isu peniaga yang enggan berpindah ke Keramat Mall.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Ahmad Fuad Ismail menggambarkan bahawa selepas pertemuan itu, tiada rundingan lagi akan dibuat dengan peniaga yang dilihat masih berdolak-dalih selepas beberapa siri pertemuan sebelum ini.

Menurutnya, perkara itu sudah terlalu lama tertangguh dan peniaga sendiri perlu memahami bahawa ramai peniaga lain yang menunggu dan menunjukkan minat untuk mengambil tempat mereka di situ.

Ditanya mengenai tindakan yang akan diambil terhadap peniaga-peniaga yang enggan berpindah itu, beliau berkata setakat ini pihaknya belum membuat sebarang ketetapan.

"DBKL masih memikirkan tindakan tegas yang mungkin diambil ke atas mereka.

"Bagaimanapun DBKL tidak menolak kemungkinan tawaran berniaga di situ akan dibuka kepada peniaga dan penjaja dari kawasan sekitar selepas perbincangan diadakan," ujarnya ketika ditemui di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai perkembangan terkini mengenai isu perpindahan peniaga di pasar lama ke Keramat Mall.

Sebelum ini, kira-kira 70 peniaga barangan kering di Pasar Datuk Keramat menyatakan persetujuan untuk memindahkan operasi mereka ke Keramat Mall selepas Hari Raya Aidilfitri pada September tahun lalu.

Namun, difahamkan ketika ini hanya terdapat hampir 20 peniaga yang telah memulakan operasi di pasar serba moden itu.

Jejantas jadi perhiasan

Posted:

Jejantas jadi perhiasan

Jejantas jadi perhiasan

Oleh NUR NAZLINA NADZARI
kota@utusan.com.my


Jejantas yang menghubungkan flat Sri Pulau Pinang dan Sri Sabah di Cheras, Kuala Lumpur tidak digunakan oleh penduduk setelah lifnya tidak berfungsi.


KUALA LUMPUR 9 Feb. – Pada satu ketika, penduduk flat Sri Pulau Pinang dan flat Sri Sabah di Cheras berasa bangga kerana mereka mendapat jejantas moden yang menghubungkan kedua-dua Perumahan Awam Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu.

Apatah lagi kemudahan itu dilengkapi lif – yang belum terdapat pada jejantas lain, hatta di tengah ibu negara sekali pun.

Jejantas itu memudahkan penduduk kedua-dua perumahan bertingkat itu untuk menyeberang Jalan Loke Yew dan Jalan Ikan Emas yang sibuk bagi menjalankan urusan harian di destinasi pilihan.

Namun, kemudahan yang disediakan dengan harga yang sudah tentunya mahal itu kini ibarat gajah putih atau perhiasan sahaja. Tidak ramai yang menggunakannya, apatah lagi setelah lifnya rosak.

Tinjauan Utusan Malaysia ke jejantas itu baru-baru ini mendapati, jejantas tersebut jarang digunakan oleh penduduk sekitar dan keadaannya kelihatan tidak terurus.

Di kawasan tangga dipenuhi dengan sampah, termasuk botol minuman keras, penutup botol dan serpihan kaca. Ini menyebabkan penduduk kedua-dua flat itu tidak berani untuk menggunakan jejantas itu kerana keadaan jejantas itu memberi gambaran yang menakutkan mereka.

Lifnya pula tidak boleh digunakan. Adalah jelas kabel-kabel lif dan lampu telah hilang, yang dipercayai penduduk sekitar adalah angkara penagih dadah.

Seorang peniaga nasi ayam, Khalid Tahar, 50, berkata lif pada jejantas itu sudah lama tidak berfungsi dan tidak dijaga semenjak ia diserahkan kepada DBKL oleh pemaju.

Katanya, pada awalnya ada pengawal keselamatan yang menjaga jejantas itu, tapi kini sudah tiada lagi.

"Projek ini sememangnya membazir sahaja kerana tiada orang yang menggunakan jejantas ini. Ini kerana jejantas tersebut terlalu tinggi dan lif juga tidak berfungsi.

"Sepatutnya, pihak DBKL harus menjaga jejantas itu dengan baik supaya orang ramai dapat menggunakannya," katanya.

Sementara itu, seorang penyelia syarikat swasta, Habib Tahar, 51, berkata, jejantas itu bukan sahaja membazir malah tidak memberi faedah kepada penduduk.

"Pelajar sekolah pun tidak menggunakan jejantas ini dan menggunakan jalan di bawah kerana lebih dekat.

"Lif ini sudah setahun terbiar begitu sahaja. Jika ia disenggara dengan baik, mungkin akan lebih ramai orang yang akan menggunakannya," ujarnya.

Dalam pada itu, peniaga kedai makan, Yow Ching Yen, 76, pula menggesa DBKL menjaga jejantas itu dengan baik supaya penduduk dapat menggunakan kemudahan tersebut.

"Walaupun sudah setahun siap tapi masih tidak dapat digunakan. Ia memang tidak memberi faedah dan membazir sahaja," jelasnya.

Ribut: Penduduk masih trauma

Posted:

Ribut: Penduduk masih trauma

Ribut: Penduduk masih trauma

SUBANG JAYA 9 Feb. - Rata-rata penduduk di Pangsapuri Teratai di Bukit Subang menyifatkan ribut petang kelmarin merupakan kejadian paling buruk pernah dialami oleh mereka.

Menurut Niza Hamid, 36, semasa ribut melanda, dia berada di beranda tingkat dua dan melihat awan gelap.

Menceritakan detik cemas itu, katanya, selang beberapa minit kemudian kedengaran bunyi angin kuat dan beberapa keping atap jatuh.

"Saya menjadi panik dan berlari mendapatkan kedua-dua anak yang berusia sembilan bulan dan empat tahun di dalam rumah lalu bergegas turun meminta pertolongan. Kami sekeluarga berusaha memindahkan barang berharga dan ditempatkan di dewan berdekatan," katanya yang masih trauma akibat kejadian tersebut.

Pengerusi Persatuan Penduduk Pangsapuri Teratai (PPPT), Mohammad Ariffin Baba, 47, yang sudah 11 tahun menetap di premis itu memberitahu, sebelum ini tidak pernah kejadian ribut seperti itu melanda kawasan tersebut.

"Sebelum ini hanya angin kuat dan hujan lebat, tidaklah sampai tahap ini," ujarnya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Zahedi Ayub berkata, sehingga kini pihaknya bersama agensi terlibat sedang giat melaksanakan kerja-kerja pembersihan di pangsapuri berkenaan.

Menurutnya, pemeriksaan terhadap struktur bangunan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) mendapati tingkat satu, dua, tiga dan empat masih boleh didiami oleh penduduk.

"Bagaimanapun, pihak polis perlu mendapatkan surat pengesahan hitam putih secara bertulis daripada jurutera Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat sebelum membenarkan penduduk mendiami semula rumah masing-masing.

"Sekarang ini kami mengambil keputusan untuk memindahkan kesemua mangsa di tingkat lima dan membantu mereka mengeluarkan barangan berharga ke pusat pemindahan sementara," katanya.

Ditanya bila kerja pembersihan selesai, Zahedi menjelaskan, pihaknya tidak boleh memberi jangkaan tepat kerana kerja membantu memunggah barang bergantung kepada keadaan cuaca.

"Tiada kemalangan jiwa dan kecederaan dilaporkan manakala kos kerugian masih dalam siasatan dan kami perlu menunggu laporan penuh MBSA.

"Setakat ini paling teruk melibatkan 16 keluarga disebabkan kerosakan bermula dari tingkat atas di mana kerja menyelamat melibatkan kira-kira 50 anggota polis, bomba, MBSA, Jabatan Pertahanan Awam (JPA3) Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Ikatan Relawan Rakyat (Rela)," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan