Selasa, 7 Februari 2012

Utusan Online - Kota

Utusan Online - Kota


Dominasi warga Myanmar

Posted:

Dominasi warga Myanmar

Dominasi warga Myanmar

Oleh NORMAIRAH JAMALUDDIN
kota@utusan.com.my


Pekerja dari Myanmar sanggup berkerja tujuh hari seminggu dengan gaji antara RM40-RM50 sehari di Pasar Borong Kuala Lumpur.


KUALA LUMPUR 7 Feb. – Hampir 80 peratus warga Myanmar dilihat masih bekerja di Pasar Borong Kuala Lumpur walaupun rata-rata daripada mereka tidak mempunyai permit pekerjaan yang sah di negara ini.

Tinjauan Utusan Malaysia di situ mendapati kebanyakan warga Myanmar yang diambil bekerja diakui oleh majikan mereka tidak mempunyai permit kerja yang sah dan alasan yang diberikan adalah kerana prosedur mendapatkan permit sangat rumit.

Rata-rata majikan di pasar borong itu juga mengambil warga Myanmar berikutan sukar mendapatkan pekerja tempatan dan sikap rajin yang ditunjukkan pekerja asing tersebut memudahkan lagi perniagaan mereka.

Seorang peniaga sayur, yang mahu dikenali sebagai Chong , 43, berkata, sikap warga Myanmar yang tidak mengeluh dan sanggup bekerja tujuh hari seminggu menyebabkan dia mengambil pekerja asing untuk bekerja di kedainya.

"Saya mempunyai empat orang pekerja warga Myanmar dan sebahagian daripada mereka tidak mempunyai permit bekerja yang sah.

"Namun saya sedang berusaha untuk mendapatkan permit yang sah untuk mereka," katanya ketika ditemui di pasar borong itu hari ini.

Peniaga buah-buahan, Yap, 43, berkata, prosedur yang rumit menyebabkan kebanyakan majikan mengambil ringan terhadap keperluan mendapatkan permit untuk pekerja asing mereka.

"Saya mempunyai 10 pekerja warga Mynmar dan kebanyakan daripada mereka mempunyai permit bekerja yang sah dan lain-lain sedang dalam proses untuk mendapatkan permit," katanya.

Peniaga buah-buahan, Lai, 42, pula berkata, kebanyakan daripada warga Mynmar hanya memegang kad Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) dan tidak memiliki permit kerja yang sah.

"Bukan tidak mahu mengambil pekerja warga tempatan, tetapi kebanyakan daripada mereka tidak berminat dan tidak mampu melakukan tugas berat seperti pekerja asing," ujarnya.

Sementara itu, rata-rata pekerja warga Myanmar ketika ditemui memberitahu, tawaran gaji yang agak tinggi iaitu sekitar RM40 hingga RM50 sehari menyebabkan mereka suka bekerja di pasar borong tersebut walaupun terpaksa bekerja tujuh hari seminggu.

Selangor lakukan penstrukturan bekalan air

Posted:

Selangor lakukan penstrukturan bekalan air

Selangor lakukan penstrukturan bekalan air

Oleh HELMI MOHD. FOAD
kota@utusan.com.my

SHAH ALAM 7 Feb. - Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor tetap dengan pendiriannya untuk melakukan penstrukturan semula sektor perkhidmatan air dengan Perbadanan Aset Air Bhd. (PAAB) bagi memiliki dan mengembangkan aset air manakala syarikat milik penuh kerajaan negeri menguruskan perkhidmatan air.

Sekretariat Akhbar Pejabat Menteri Besar dalam kenyataannya hari ini berkata, kerajaan negeri bersedia mengguna pakai Akta Industri Perkhidmatan Air (WSIA) 2006 yang telah digubal bagi memberikan laluan kepada Kerajaan Pusat memperbaiki peraturan lebih baik terhadap perkhidmatan bekalan dan penyediaan infrastruktur air.

Justeru, menurut kenyataan itu, kerajaan negeri sedang menunggu Kerajaan Pusat membuat keputusan berkenaan perkara itu secara profesional bagi kepentingan lima juta pengguna di negeri ini, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

"Kerajaan negeri menyokong aspirasi dan matlamat WSIA dan sentiasa bersedia membincangkan penyusunan semula industri perkhidmatan air di negeri ini dengan PAAB mengambil alih aset air milik kerajaan negeri Selangor bernilai lebih daripada RM12 bilion dan selepas itu menyerahkan operasi perkhidmatan air kepada sebuah syarikat milik penuh kerajaan negeri.

"Kerajaan negeri berpendirian bahawa Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) tidak sesuai dikekalkan sebagai pengendali perkhidmatan air di negeri ini kerana ia telah gagal memenuhi tanggungjawabnya di bawah perjanjian konsesi seperti pengurangan peratusan air tidak berhasil (NRW), mengadakan program penggantian paip secara mantap dan berterusan, pengumpulan dana awam secara tidak sah menerusi Tabung Budi dan kegagalan bekerjasama dengan juruaudit yang dilantik oleh kerajaan negeri," kata kenyataan itu.

Kenyataan itu menyatakan, kerajaan negeri sangat konsisten dengan pendiriannya mengenai pengurusan air di negeri ini dan penggubalan WSIA secara langsung mengakui kelemahan penswastaan yang sehingga kini gagal menyediakan perkhidmatan dan infrastruktur air berkualiti pada kos yang munasabah kepada pengguna.

Dalam hal ini, kenyataan itu memberitahu, akaun Syabas yang telah diaudit bagi 31 Disember 2010 menunjukkan syarikat itu menghadapi masalah kewangan, malah syarikat induknya, Puncak Niaga Holdings Bhd. berada dalam kedudukan teknikal PN17 namun telah diberikan pengecualian oleh Bursa Malaysia daripada dikategorikan sebagai PN17.

Katanya, pengecualian juga diberikan sehingga 30 Jun 2012 untuk membetulkan kedudukan kewangan syarikat berkenaan.

"Sehingga kini, Bursa Malaysia tidak memberi penerangan yang memuaskan kepada kerajaan negeri sebab-sebab pengecualian yang diberikan kepada Puncak Niaga," katanya.

Ribut: 23 rumah rosak

Posted:

Ribut: 23 rumah rosak

Ribut: 23 rumah rosak

Oleh WAN NOOR HAYATI WAN ALIAS
kota@utusan.com.my


SERPIHAN zink dan kayu bumbung bertaburan di halaman Pangsapuri Teratai di Bukit Subang, Subang Jaya akibat dipukul ribut kencang dan hujan lebat semalam. (Gambar kecil) Roshidah Daus. – UTUSAN/AMRUL YUSOF


SUBANG JAYA 7 Feb. – Sebanyak 23 unit rumah di beberapa buah pangsapuri di Bukit Subang di sini mengalami kerosakan termasuk sembilan daripadanya tercabut bumbung akibat diterbangkan angin kencang dalam kejadian ribut petang ini.

Sembilan unit itu melibatkan Pangsapuri Teratai setinggi lima tingkat yang bumbungnya melayang sejauh 100 meter sehingga ke Pangsapuri Melor yang terletak bersebelahan, dalam insiden kira-kira pukul 4 petang itu.

Unit-unit kediaman di pangsapuri lain hanya mengalami kerosakan kecil. Tiada kecederaan atau kehilangan jiwa dilaporkan.

Kejadian yang berlaku selama 10 minit itu menyebabkan 100 penghuni terjejas dan kerugian harta benda termasuk ada beberapa kenderaan remuk dihempap bumbung dan pokok-pokok tumbang.

Penyelaras Barisan Nasional (BN) Shah Alam, Datuk Ahmad Nawawi Md. Zin yang meluangkan masa melawat mangsa meminta mereka yang terlibat membuat laporan polis dan mendaftar nama serta jumlah kerosakan masing-masing.

"Buat sementara waktu, kesemua mangsa bencana akan ditempatkan di surau pangsapuri-pangsapuri terlibat sementara bantuan disalurkan.

"Kami akan melihat bentuk bantuan yang diperlukan termasuk perlindungan insurans dan tabung bencana," katanya.

Sementara itu, seorang kanak-kanak berusia dua tahun nyaris dihempap bumbung rumahnya di Pangsapuri Teratai yang tercabut.

Namun ibunya yang sarat mengandung sembilan bulan sempat mendukung anaknya, Muhammad Hadith Al Baini Mohd. Hanafiah, keluar dari bilik.

Menurut Roshidah Daud, 36, dia sedang tidur di dalam bilik namun dikejutkan anak sulungnya yang berusia sembilan tahun yang memaklumkan hujan memasuki rumahnya.

"Dalam keadaan cemas itu, saya hanya fikirkan keselamatan anak-anak. Saya dukung Muhammad Hadith dan dalam beberapa saat bumbung terhempas ke katilnya.

"Seorang jiran datang membantu mengeluarkan kami anak-beranak dari rumah sebelum keadaan bertambah teruk. Suami yang sedang bekerja terkejut menerima berita tersebut," katanya.

Ibu kepada tiga anak itu bersyukur kerana terselamat dalam bencana itu walaupun kerugian harta benda.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan