Isnin, 6 Februari 2012

Utusan Online - Kota

Utusan Online - Kota


Surau Al-Jabbar dikekalkan

Posted:

Surau Al-Jabbar dikekalkan

Surau Al-Jabbar dikekalkan

Oleh NUR NAZLINA NADZARI
kota@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 6 Feb.– Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar sudi menjadi orang tengah di antara pemaju dan peniaga bengkel bagi menyelesaikan isu pembangunan semula yang turut melibatkan surau Al-Jabbar di Setapak Permai.

Menterinya, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, pihaknya telah mencadangkan kepada pemaju untuk mengadakan perbincangan bersama peniaga bengkel secepat mungkin namun masih belum diadakan sehingga kini.

Katanya, peniaga bengkel yang telah bertapak di kawasan itu sejak lebih 20 tahun lalu harus diberi tempat oleh pemaju.

"Jika pihak pemaju mengalami kemusykilan dan kerumitan dalam soal rundingan ini, maka pejabat saya boleh menjadi orang tengah dalam perbincangan ini. Ini kerana apabila Pejabat Tanah dan Galian memberikan tanah ini untuk dimajukan, pemaju disyaratkan untuk mengambil kira pihak yang sudah lama mempunyai kepentingan di tanah itu.

"Mengenai surau pula, ia tidak akan dirobohkan dan jika ia terpaksa dialihkan bagi tujuan pembangunan maka pihak pemaju harus membina surau baru yang lebih baik di kawasan yang sama," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis sambutan Maulidur Rasul di surau Al-Jabbar di Setapak Permai di sini, malam semalam.

Difahamkan terdapat kira-kira 100 bengkel yang beroperasi di kawasan tersebut.

Beliau turut mengulas mengenai tindakan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar yang menolak Skim Pembiayaan Khas Penjualan Program Perumahan Rakyat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (PPR MTEN) dan Perumahan Awam Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebagai tidak berasas.

Raja Nong Chik berkata, ini kerana Nurul Izzah mendengar nasihat Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua yang tidak bersetuju apabila Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membantu dan bersama-sama dalam skim tersebut.

"Dia (Tony) memberi bandingan seolah-olah seperti yang terjadi di Amerika Syarikat. Bank di sana yang terpaksa tutup kedai adalah kerana mereka membeli cagaran yang bernilai 50 peratus rendah dari nilai harga.

"Tapi dalam kes ini, KWSP telah membeli cagaran yang mempunyai nilai dua kali ganda. Mereka memberi gambaran seolah-olah KWSP akan rugi kerana memberi pinjaman," ujarnya.

Tambah beliau, DBKL juga telah memberi jaminan seperti yang diminta oleh KWSP untuk membeli semula rumah yang tidak dibayar oleh pembeli dalam masa enam bulan dan boleh melelong rumah itu kepada 27,000 orang yang sudah mendaftar dan menunggu untuk membeli.

Beliau menyifatkan tindakan pemimpin pembangkang itu seolah-olah memandang rendah kepada golongan miskin bandar kerana menganggap golongan ini tidak mampu membayar pinjaman serta memiliki aset.

Full content generated by Get Full RSS.

Gelanggang gasing siap tak dapat digunakan

Posted:

Gelanggang gasing siap tak dapat digunakan

Gelanggang gasing siap tak dapat digunakan


Ma'amin Radiman menunjukkan gelanggang gasing yang telah siap tetapi masih berkunci di Kampung Jenjarum, Kuala Langat, Selangor, semalam.


KUALA LANGAT 6 Feb. - Persatuan Gasing Jenjarum (Pergas) melahirkan rasa hairan mengapa pihak Pejabat Daerah Kuala Langat masih tidak membuka gelanggang gasing di Dataran Rakyat Jenjarum kepada masyarakat umum meskipun projek tersebut sudah lama disiapkan.

Pengerusinya, Ma'amin Radiman berkata, gelanggang yang baru dinaik taraf itu masih lagi belum boleh digunakan walaupun sudah lebih dua tahun disiapkan dan masyarakat menanti tanpa dimaklumkan tentang status terkini gelanggang berkenaan.

"Sampai sekarang gelanggang itu tidak boleh digunakan hingga banyak program persatuan yang tergendala. Bukan sebulan, dua bulan tetapi sudah lebih dua tahun kami menanti dan terus menanti," katanya dalam nada kecewa ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau turut mempersoalkan mengapa Pejabat Daerah Kuala Langat tidak memaklumkan kepada pihak persatuan tentang status projek gelanggang itu.

"Ia adalah satu-satunya gelanggang gasing yang ada di kampung ini. Mengapa dilengah-lengahkan pembukaannya sedangkan kami sudah lama menunggu.

"Jika benar ada masalah kenapa pihak pejabat daerah mendiamkan diri dan terus mengunci gelanggang gasing yang sememangnya dinantikan oleh penggemar permainan tradisional ini," katanya dengan nada kesal.

Full content generated by Get Full RSS.

Enam keluarga terima bantuan bekalan air

Posted:

Enam keluarga terima bantuan bekalan air

Enam keluarga terima bantuan bekalan air


Mohd. Yunus Mohd. Amin (kanan) menyampaikan Sijil Bantuan Bekalan Air Tabung Budi kepada Ong Bok Seng di Kuala Kubu Baru, Hulu Selangor, baru-baru ini.


HULU SELANGOR 6 Feb. - Enam keluarga kurang mampu di sini benar-benar bersyukur dan gembira apabila kesukaran hidup yang mereka alami mendapat simpati Persatuan Kakitangan Bekalan Air Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (Peka) yang menghulurkan bantuan menerusi program Tabung Budi.

Presiden Peka, Datuk Mohd. Yunus Mohd. Amin berkata, bantuan yang diberikan itu merangkumi pembayaran sepenuhnya tunggakan bil air dan bayaran caj penyambungan semula bekalan air ke rumah mereka.

"Antara kriteria pemilihan yang ditetapkan (untuk mendapat bantuan Tabung Budi) adalah golongan miskin, ibu tunggal dan orang kurang upaya (OKU)," katanya ketika ditemui selepas menyerahkan bantuan kepada enam keluarga berkenaan di sekitar Kuala Kubu Baru, baru-baru ini.

Dalam pada itu, enam keluarga berkenaan bukan sahaja mendapat semula bekalan air tetapi masing-masing mendapat sumbangan barangan harian bernilai RM300 daripada Peka sempena sambutan Maulidur Rasul, Tahun Baru Cina dan Thaipusam.

Salah seorang penerima, Mohd. Tahir Yahaya, 44, yang ditemui berkata, keluarganya amat menghargai bantuan yang diberikan kerana meringankan beban yang ditanggung selama ini.

"Bekerja sebagai buruh binaan dengan pendapatan RM700 sebulan menyukarkan saya untuk menyara keluarga. Lebih-lebih lagi isteri tidak bekerja dan menghidap kanser payu dara.

"Sebelum ini saya hanya mendapat bekalan air daripada jiran terdekat dan amat bersyukur apabila menerima bantuan seperti ini," katanya.

Seorang lagi penerima bantuan, Ong Bok Seng, 72, berkata, dia dan keluarga sangat gembira dengan bantuan yang diberikan Peka kerana selama ini hanya pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang tampil memberikan bantuan.

"Bantuan yang diterima daripada JKM adalah sebanyak RM300 dan ia tidak cukup untuk menampung perbelanjaan kami sekeluarga," katanya yang turut menjaga tiga orang cucunya.

Full content generated by Get Full RSS.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan