Khamis, 23 Februari 2012

Utusan Online - Jenayah

Utusan Online - Jenayah


Kedai gambar jual sijil cuti sakit

Posted:

Kedai gambar jual sijil cuti sakit

Kedai gambar jual sijil cuti sakit


Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff menunjukkan sijil cuti sakit palsu yang dijual di sebuah kedai gambar pada sidang akhbar di Johor Bahru, semalam.


JOHOR BAHRU 23 Feb. - Sebuah kedai gambar di Taman Ungku Tun Aminah di sini bukan sahaja sering dikunjungi oleh pelanggan yang ingin memproses gambar dan membeli peralatan kamera malah ia turut menjadi tumpuan pekerja yang sering 'sakit'.

Ini kerana premis berkenaan dikesan menjual sijil cuti sakit (MC) palsu dan kegiatan haram itu dipercayai mula aktif sejak setahun lalu.

Hasil maklumat orang ramai dan siasatan polis, seorang lelaki berusia 35 tahun yang juga pemilik kedai gambar itu ditahan pukul 1.26 petang, Jumaat lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, turut dijumpai semasa serbuan itu adalah 172 keping sijil cuti sakit disyaki palsu dengan 10 keping ditemui di dalam poket seluar suspek, manakala bakinya ditemui dalam pejabat kedai tersebut.

"Polis turut menemui 13 unit cop getah atas nama 13 doktor yang bekerja di hospital kerajaan, tiga unit komputer, sebuah komputer riba, dua pencetak, dua 'pendrive', dua keping disket yang kesemuanya dipercayai digunakan untuk menghasilkan sijil cuti sakit palsu.

"Siasatan awal mendapati, pemilik kedai itu menjual sijil cuti sakit palsu kepada rakyat tempatan yang bekerja di Singapura dan sekitar bandar raya ini dengan harga RM25 sekeping," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Menurutnya, butiran maklumat pesakit serta tarikh cuti perlu diisi sendiri oleh pelanggan kerana mereka hanya menyediakan sijil dan cop doktor sahaja.

Mohd. Mokhtar berkata, berdasarkan semakan 13 cop doktor berkenaan, seramai enam doktor masih berkhidmat di hospital kerajaan di Johor Bahru, manakala selebihnya telah bertukar ke hospital lain.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh didenda jika sabit kesalahan.

Dalam satu lagi kes, beliau memberitahu, polis menahan seorang lelaki berusia 29 tahun dan merampas sepucuk pistol bersama kelopak peluru kosong serta dadah dipercayai jenis syabu di Taman Ungku Tun Aminah pada Khamis lalu.

Beliau berkata, lelaki yang ditahan pukul 6.30 petang itu memiliki satu rekod jenayah lampau di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

Suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1952, Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 39A(1) Akta Berbahaya 1952, katanya.

Jadikan hotel markas operasi: 5 suspek Geng 6 Jari tumpas

Posted:

Jadikan hotel markas operasi: 5 suspek Geng 6 Jari tumpas

Jadikan hotel markas operasi: 5 suspek Geng 6 Jari tumpas

HULU LANGAT 23 Feb. - Tindakan sekumpulan penjenayah menjadikan sebuah hotel di Jalan Semenyih di sini sebagai markas operasi jenayah samun serta pecah rumah akhirnya terbongkar apabila polis menahan lima ahli kumpulan itu di hotel tersebut baru-baru ini.

Kumpulan yang dikenali sebagai Geng 6 Jari itu aktif melakukan jenayah samun bersenjata dan pecah rumah di sekitar Lembah Klang dan dikatakan menggunakan hotel tersebut sebagai lokasi perbincangan mereka sebelum dan selepas melakukan jenayah.

Difahamkan, kumpulan ini digelar Geng 6 Jari kerana ketuanya memiliki enam batang jari pada sebelah tangannya.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab. Rashid Ab. Wahab berkata, dalam serbuan yang dilakukan pada 13 Februari lalu, kesemua suspek yang ditangkap termasuk seorang wanita berusia antara 28 hingga 36 tahun.

Ab. Rashid berkata, pemeriksaan polis di bilik hotel berkenaan turut menemui beberapa peralatan pecah rumah dan samun serta barang berharga dipercayai hasil kegiatan jenayah mereka.

Antara yang dirampas, katanya, lima bilah pisau lipat, parang, sebuah kereta Proton Saga, telefon bimbit, pemotong besi dan beberapa peralatan pecah rumah.

"Turut dirampas, pistol mainan yang dipercayai digunakan untuk menakut-nakutkan mangsa," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tambah Ab. Rashid, geng itu menyasarkan rumah teres yang tidak berpenghuni pada waktu siang mahupun malam.

Katanya, siasatan awal mendapati kumpulan penjenayah itu terlibat dalam sekurang-kurangnya 13 kes pecah rumah di sekitar daerah Kajang sejak tahun lalu.

"Empat daripada suspek memiliki rekod jenayah lampau berkaitan pecah rumah, samun, dan dadah. Kesemua mereka ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya.

Dalam pada itu, Ab. Rashid berkata, pihaknya turut menumpaskan satu kumpulan yang dikenali sebagai Geng Sathia selepas menahan 10 lelaki tempatan pada 9 Februari lalu.

Beliau berkata, tangkapan itu dibuat selepas polis menyiasat kes samun sebuah rumah dan melarikan kenderaan jenis Perodua Alza milik mangsa.

"Hasil siasatan itu, polis dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Selangor berjaya menahan kesemua suspek di Banting, Dengkil dan Kampung Baru Subang.

"Kita turut menemui beberapa peralatan menyamun seperti parang, pisau, serta barangan hasil curi antaranya rantai emas, cincin dan kereta Alza," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan