Selasa, 21 Februari 2012

Utusan Online - Jenayah

Utusan Online - Jenayah


Anak tetak ibu sehingga mati

Posted:

Anak tetak ibu sehingga mati

Anak tetak ibu sehingga mati

Oleh OPAT RATTANACHOT
uspetani@utusan.com.my

SUNGAI PETANI 21 Feb. – Hanya kerana marah ditegur ibunya, seorang anak tergamak menetak sehingga mati wanita warga emas itu dengan parang di rumahnya di Kampung Padang Buluh, Mukim Sidam Kiri dekat sini hari ini.

Mangsa, A'inshon Abd. Rahman, 60, ditemui dalam keadaan berlumuran darah di kepalanya oleh penduduk sebelum melaporkan kepada polis pukul 1.30 petang.

Kejadian dikatakan berpunca apabila suspek berusia 26 tahun yang disyaki penagih dadah, berang selepas ditegur ibunya agar tidak menunggang motosikal keluar dari rumah.

Pemuda itu kemudian mengambil parang di luar rumah lalu bertindak menetak berkali-kali belakang kepala mangsa yang ketika kejadian berada di dapur sebelum melarikan diri.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd. Zakaria Ahmad, bertindak atas maklumat awam, polis memberkas suspek di kawasan Sidam Kiri, kira-kira sejam selepas kejadian.

Katanya, siasatan awal mendapati suspek yang masih bujang dan tidak bekerja itu dipercayai penagih dadah.

"Lelaki itu dikesan turut mengalami masalah mental berdasarkan ubat-ubatan diambilnya," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, suspek yang merupakan anak bongsu daripada enam beradik tinggal bersama ibunya di rumah itu sementara ahli keluarga lain tinggal berasingan.

"Polis akan menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti motif kejadian," katanya sambil memberitahu kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk dibedah siasat.

Jiran mangsa, Maznan Omar, 48, memberitahu, suspek sebelum ini dikatakan sering kali bergaduh dengan ibunya.

"Dia juga dikesan menghadapi masalah penagihan dadah dan menghidu gam sejak di bangku sekolah," katanya.

Bagaimanapun, dia tidak menyangka suspek bertindak ganas sehingga sanggup membunuh ibunya.

Polis serbu tiga lokasi pengedaran dadah

Posted:

Polis serbu tiga lokasi pengedaran dadah

Polis serbu tiga lokasi pengedaran dadah

PULAU PINANG 21 Feb. - Polis menahan tujuh lelaki tempatan dan seorang wanita warga Vietnam serta merampas pelbagai jenis dadah dan wang tunai berjumlah RM25,600 dalam tiga serbuan yang diadakan di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, dalam serbuan pertama, seorang lelaki berusia lingkungan 30-an ditahan ketika memandu di Jalan Besi, Greenland kira-kira pukul 11.50 pagi.

Menurutnya, suspek ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Timur Laut hasil maklumat awam dan intipan yang dilakukan.

"Hasil pemeriksaan dalam bonet kereta suspek, polis menemui dua bungkusan dadah dipercayai heroin dan syabu masing-masing seberat 246 gram dan 2.69 gram, 70 biji pil Eramin 5 dan 80 biji pil ekstasi bernilai RM14,950.

"Siasatan awal mendapati, lelaki itu memiliki rekod jenayah atas kesalahan merusuh menggunakan senjata," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Susulan penahanan itu, beliau berkata, polis menyerbu sebuah hotel tiga bintang di Lebuh Thye Sin dan memberkas dua lelaki berusia 40 tahun dan seorang wanita Vietnam berusia 20 tahun.

Menurut Kong Meng, dalam serbuan pukul 10.30 malam itu, polis merampas 3.5 gram heroin, 200 biji pil Eramin 5, enam peket syabu seberat 4.7 gram, 80 biji pil ekstasi dan tujuh tiub dadah jenis ketamin yang keseluruhannya bernilai RM8,233.

"Kumpulan ini dipercayai mengedar dadah di sekitar negeri ini. Dua daripada mereka memiliki rekod jenayah lampau melibatkan dadah," katanya.

Beliau berkata, dalam satu lagi serbuan, polis menahan empat lelaki berusia 20 tahun yang berkelakuan mencurigakan dalam sebuah kereta di Taman Datuk Syed Abbas, Jelutong pada pukul 3 pagi ini.

Polis menemui satu bungkusan plastik mengandungi ketulan mampat ganja seberat 1 kilogram RM2,500 yang disorok suspek terbabit di bawah tempat duduk pemandu.

"Suspek yang datang dari Kuala Lumpur dipercayai mendapatkan bekalan ganja di sini," katanya.

Kong Meng berkata, kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman mati mandatori.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan