Rabu, 15 Februari 2012

Utusan Online - Jenayah

Utusan Online - Jenayah


Heroin 2.27kg dirampas

Posted:

Heroin 2.27kg dirampas

Heroin 2.27kg dirampas

Oleh AZIAN AZIZ
pengarang@utusan.com.my


Nordin Kadir (dua kanan) bersama pegawainya menunjukkan dadah yang berjaya dirampas di Shah Alam, semalam.


SHAH ALAM 15 Feb. – Polis berjaya menggagalkan urus niaga dadah jenis heroin bernilai hampir RM1 juta selepas menahan dua lelaki tempatan dalam serbuan di tempat letak kereta kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Ulu Bernam, Kuala Kubu Baru dekat sini kelmarin.

Dalam serbuan kira-kira pukul 3.45 petang itu, polis menemui sebuah beg mengandungi lima bungkusan plastik disyaki mengandungi heroin seberat 2.27 kilogram bernilai RM800,000 dalam kenderaan pelbagai guna yang dinaiki kedua-dua suspek.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor, Asisten Komisioner Nordin Kadir berkata, serbuan dilakukan oleh sepasukan anggota dan pegawai JSJN Selangor hasil maklumat serta risikan pihaknya.

Menurutnya, semasa serbuan kedua-dua suspek yang merupakan anggota sindiket pengedaran dadah di Lembah Klang dipercayai sedang menunggu pelanggan.

"Ketika ditahan, kedua-dua suspek cuba melarikan diri dengan kenderaan jenis Naza Citra tetapi gagal. Hasil pemeriksaan dalam kenderaan tersebut kami menemui dadah heroin seberat 2.27 kilogram disimpan dalam beg warna hitam dan diletakkan di tempat letak kaki penumpang.

"Dadah heroin tersebut boleh diproses menjadi 80,000 tiub kecil dan mereka boleh mendapat keuntungan jualan sehingga RM800,000 dengan setiap tiub dijual pada harga RM10," katanya di sini hari ini.

Menurutnya, kedua-dua suspek berusia 26 dan 28 tahun dengan salah seorang daripadanya mempunyai rekod jenayah kini ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam bagi siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Peruncit sorok 1,600kg minyak masak

Posted:

Peruncit sorok 1,600kg minyak masak

Peruncit sorok 1,600kg minyak masak

PUTRAJAYA 15 Feb. - Misteri sebuah pasar mini di Presint 9 di sini yang sering kehabisan minyak masak terungkai selepas pemilik kedai itu dikesan menyimpan bekalan di tempat yang tidak dilesenkan untuk kepentingan sendiri.

Timbalan Ketua Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Iskandar Halim Sulaiman berkata, walaupun mendapat bekalan mencukupi, pemilik pasar mini itu dikesan menyorokkan sebahagian minyak masak untuk kegunaan dua restoran miliknya.

"Kegiatan pemilik kedai runcit ini terbongkar apabila ramai pengguna membuat aduan bahawa bekalan minyak di kedai itu sering terputus walaupun bekalan di kedai lain mencukupi.

"Intipan yang dilakukan mendapati pemilik kedai itu menyimpan minyak masak seberat 1,600 kilogram bernilai RM4,300 di dua restoran di Putrajaya yang juga miliknya," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Menurutnya, peniaga itu akan didakwa di bawah Akta Kawalan Bekalan 1991 dan boleh didenda RM250,000 kerana menyimpan minyak masak di tempat yang tidak dilesenkan.

"Pemilik kedai ini lebih mengutamakan perniagaan sendiri berbanding kepentingan pengguna terutama ketika berlaku kekurangan minyak masak," katanya.

Mengenai kekurangan bekalan minyak masak di beberapa tempat di negara ini, Iskandar Halim berkata, masalah tersebut dijangka dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat ini.

"Keadaan adalah terkawal walaupun berlaku bekalan yang tidak konsisten di sesetengah tempat. Perkara ini sedang ditangani melalui penguatkuasaan di peringkat peruncit, pembungkus, pemborong dan pengilang.

"Sejak awal tahun ini, seramai 24 peniaga minyak masak telah dikenakan tindakan kerana menyorok, menyimpan tanpa kebenaran atau tidak mempunyai lesen. Sebanyak 128,937 kilogram minyak masak bernilai RM306,810 telah dirampas," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan