Selasa, 14 Februari 2012

Utusan Online - Jenayah

Utusan Online - Jenayah


Unit khas atasi curi kenderaan

Posted:

Unit khas atasi curi kenderaan

Unit khas atasi curi kenderaan

Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 14 Feb. - Polis Diraja Malaysia (PDRM) disaran menubuh dan memperkasakan sebuah unit khas bagi mengatasi jenayah kecurian kenderaan yang semakin meningkat ketika ini.

Pengarah Kriminologi, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Madya Dr. P. Sundramoorthy berkata, unit khas itu perlu memandangkan jenayah tersebut sangat dekat dengan masyarakat awam.

"Jenayah curi kenderaan terutamanya motosikal boleh dikatakan berlaku setiap hari tetapi kadar penyelesaian kesnya pula adalah yang paling rendah.

"Ini menimbulkan rasa tidak selamat di kalangan orang ramai sedangkan kenderaan seperti motosikal dan kereta merupakan keperluan asas yang dimiliki oleh hampir setiap penduduk Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sebagai salah seorang panel pada forum bertajuk Memilih Menjadi Terbaik: Meningkatkan Keberkesanan dan Kestabilan Polis, Di Manakah Keutamaan yang diadakan sempena Persidangan Antarabangsa Mengenai Prinsip Kepolisan di sini hari ini.

Menurut Sundramoorthy, PDRM juga wajar menimbangkan untuk menubuhkan unit jenayah di sekolah secara tetap berbanding hanya menjadikannya sebagai program dalam tempoh tertentu.

Katanya, ia melihat kepada keperluan untuk mencegah pengaruh aktiviti jenayah di kalangan generasi muda selain menerap semangat menghormati undang-undang pada peringkat awal.

Tambah beliau, dari aspek lain, PDRM juga perlu menyemak semula kokurikulum latihan mereka terutamanya dalam modul yang melahirkan pegawai berpangkat inspektor dan konstabel.

"Semakan ini bagi menilai sama ada tempoh latihan untuk melahirkan pegawai PDRM berpangkat inspektor dan konstabel antara enam hingga sembilan bulan seperti ketika ini adalah memadai atau sebaliknya.

"Lebih daripada itu, semakan itu juga bagi menyesuaikannya dengan persekitaran jenayah hari ini yang lebih kompleks dan mencabar," katanya.

22 kaki judi ditahan di dua premis

Posted:

22 kaki judi ditahan di dua premis

22 kaki judi ditahan di dua premis


Anggota polis merampas 29 set komputer dalam operasi membanteras perjudian berkomputer di sebuah premis di Jalan Tuanku Munawir, Seremban, kelmarin.


SEREMBAN 14 Feb. - Kegiatan perjudian berkomputer di negeri ini terus digempur pihak berkuasa apabila seramai 22 kaki judi termasuk tiga wanita ditahan ketika leka berjudi di dua buah premis berasingan di sini semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Hamdan Majid berkata, operasi yang dilakukan anggota dari Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri itu turut disertai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS).

Katanya, ketika serbuan semua kaki judi tersebut yang berusia dalam lingkungan 19 hingga 42 tahun tidak menyedari kehadiran penguat kuasa kerana leka berjudi.

"Kita juga menahan tiga lelaki berusia 20-an yang merupakan penjaga premis itu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Hamdan berkata, dalam serbuan pertama pukul 5.30 petang, pihaknya menyerbu sebuah premis di Jalan Tuanku Munawir dan merampas 29 set komputer yang dipercayai digunakan untuk aktiviti haram tersebut.

"Kita juga menahan enam pengunjung dan seorang penjaga premis serta merampas wang pertaruhan berjumlah RM510," ujarnya.

Katanya, dalam serbuan kedua pula, pihaknya menyerbu sebuah pusat judi haram di Taman Sri Mawar di Senawang dekat sini dan menahan 16 pemain serta merampas 34 set komputer.

Hamdan memberitahu, dalam serbuan pukul 8.30 malam itu pihaknya turut menahan seorang lelaki yang merupakan penjaga premis tersebut dan merampas wang pertaruhan berjumlah RM310.

"Semua mereka yang ditahan telah dibebaskan dengan jaminan selepas keterangan mereka diambil," jelasnya.

Kata Hamdan lagi, kes itu disiasat di bawah Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang memperuntukkan denda RM10,000 bagi setiap mesin yang dirampas atau penjara lima tahun jika sabit kesalahan.

Tambahnya, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 6 Enakmen Pusat Hiburan yang membawa hukuman denda minimum RM50,000 atau penjara sehingga lima tahun sekiranya sabit kesalahan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan