Ahad, 12 Februari 2012

Utusan Online - Jenayah

Utusan Online - Jenayah


Bumbung runtuh: 11 pelajar wanita Malaysia selamat

Posted:

Bumbung runtuh: 11 pelajar wanita Malaysia selamat

Bumbung runtuh: 11 pelajar wanita Malaysia selamat


Beginilah keadaan pintu depan rumah sewa didiami pelajar-pelajar Malaysia yang ditimpa bumbung dalam kejadian di Grogol, Jakarta Utara, kelmarin. - BERNAMA


JAKARTA 12 Feb. - Mahasiswa Malaysia yang rumah sewa mereka ditimpa bumbung di Grogol, Jakarta Utara di sini tengah malam tadi terpaksa menyelamatkan diri dengan keluar melalui tingkap.

Kejadian selepas hujan renyai itu sekali gus mengakibatkan 11 mahasiswa wanita Malaysia serta 20 mahasiswa wanita tempatan hanya sempat menyelamatkan barangan peribadi dan dokumen penting sahaja.

Menurut seorang pelajar Malaysia, Nor Ubudiah Seti, ketika kejadian, dia bersama lapan daripada 11 teman dari Malaysia sedang berehat di rumah.

Bagaimanapun, tiba-tiba dia dan teman-temannya terdengar bunyi kuat dari luar rumah menyerupai bunyi lori simen terbalik.

Sebaik menjenguk ke luar rumah, Nor Ubudiah mendapati penduduk setempat mula kecoh dan menjerit melihat bumbung tersebut menimpa bangunan rumah dua tingkat yang didiami itu.

Menurut Nor Ubudiah, siasatan polis mendapati tiang penyangga kayu, bahagian hadapan atap rumah berkenaan telah reput hingga menyebabkan ia runtuh dan jatuh hingga menutup pintu keluar rumah.

"Atap rumah itu yang runtuh menyebabkan pintu masuk tertutup dan kami yang berada dalam rumah terperangkap sehingga memaksa jiran tetangga memecahkan salah satu tingkap di bilik tingkat bawah rumah supaya kami dapat keluar menyelamatkan diri," kata Nor Ubudiah pelajar tahun empat jurusan perubatan di Universiti Trisakti di sini menceritakan pengalamannya.

Akibat daripada bencana itu, Nor Ubudian dan rakan-rakan dari Malaysia serta mahasiswa Indonesia terpaksa mencari perlindungan sementara dengan menumpang di rumah kenalan mereka.

Nor Ubudiah juga pada masa sama berterima kasih pada pihak Education Malaysia (EM) di Kedutaan Besar Malaysia di sini yang segera menghulurkan bantuan kepada mereka.

Menurut Nor Ubudiah, dia dan teman-teman serumahnya juga hanya berkesempatan menyelamatkan dokumen-dokumen penting, komputer riba serta sedikit pakaian.

"Segala nota dan buku-buku tidak sempat diselamatkan. Hal ini sangat merisaukan kami kerana kami akan mnghadapi peperiksaan hujung minggu depan," kata Nor Ubudiah 23 tahun.

Sementara itu, EM menawarkan tempat tinggal sementara di Malaysia Hall Jakarta bagi memastikan sebahagian besar pelajar yang terlibat dalam bencana itu dapat menduduki peperiksaan tanpa sebarang halangan.

Menurut Atase Pendidikan yang juga Setiausaha I (Pendidikan) di EM, Ludinata Misnun, pihaknya akan sentiasa memantau semua mahasiswa berkenaan bagi memastikan keselamatan dan kebajikan mereka terus terpelihara. - UTUSAN

Taktik baru sindiket dibongkar

Posted:

Taktik baru sindiket dibongkar

Taktik baru sindiket dibongkar

Oleh ILLAH HAFIZ dan WAN NOOR HAYATI WAN ALIAS
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 12 Feb. - Polis membongkar taktik baru sindiket penyeludupan manusia yang tidak lagi menjadikan negara ini sebagai pusat operasi sebaliknya memilih Indonesia untuk penghantaran pendatang asing ke negara destinasi.

Perpindahan pusat operasi yang sebelum ini merekodkan ratusan ribu pendatang asing, dipercayai ekoran operasi besar-besaran dilakukan pihak berkuasa negara ini sejak dua tahun lalu.

Dalam operasi itu, seramai 47 ketua sindiket berjaya ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) termasuk empat pemberontak Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Hasil kejayaan itu juga telah menyebabkan sindiket penyeludupan manusia di pantai barat hingga selatan tanah air berjaya dilumpuhkan dan kini dikesan menukar pusat operasi di Indonesia.

Menurut sumber, siasatan mendapati masih ada ejen di Lembah Klang yang kembali beroperasi kebelakangan ini untuk mencari pelarian namun hanya dihantar ke negara jiran tersebut.

"Ini bermakna sindiket di Indonesia telah mengambil alih peranan sindiket di Malaysia untuk membawa pelarian ke negara ketiga.

"Bagaimanapun usaha itu berjaya dibanteras dengan penahanan tiga tekong dan ketua sindiket di Port Dickson pada 2 Februari lalu," katanya di sini hari ini.

Kata sumber itu, siasatan mendapati sindiket yang berjaya ditumpaskan tersebut mengenakan bayaran RM15,000 hingga RM18,000 seorang bagi setiap penghantaran menggunakan bot pancung ke Indonesia khususnya Jakarta.

"Di Indonesia, sindiket itu akan mengenakan sekali lagi bayaran sekurang-kurangnya RM21,000 bagi menguruskan perjalanan ke Australia," katanya.

Malah, sumber juga memberitahu, jenis bot-bot digunakan sindiket dari Indonesia berbeza berbanding Malaysia kerana lebih canggih dan laju untuk membawa pelarian merentasi sempadan.

"Sindiket dari Indonesia menggunakan bot fiber yang mempunyai kelajuan dua enjin dan khusus untuk membawa penumpang. Bot pancung juga digunakan mereka dengan muatan sekurang-kurangnya 15 pelarian sahaja.

"Ia berbeza dengan jenis bot yang digunakan sindiket Malaysia. Sebagai contoh, tragedi bot karam yang dilaporkan berpunca daripada sifat tamak sindiket yang membawa muatan lebih," katanya.

Dalam pada itu, ujar sumber tersebut, sejak Oktober tahun lalu, polis berjaya memberkas 274 warga asing yang cuba menyeludup keluar melalui sempadan negara ini.

Katanya, daripada jumlah itu, seramai 115 warga Myanmar telah ditahan diikuti Filipina (50 orang), Afghanistan (44 orang) dan Pakistan (29 orang).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan