Rabu, 22 Februari 2012

Utusan Online - Dalam Negeri

Utusan Online - Dalam Negeri


Ahli akademik sokong debat Anwar-Najib tidak perlu

Posted:

Ahli akademik sokong debat Anwar-Najib tidak perlu

Ahli akademik sokong debat Anwar-Najib tidak perlu

KUALA LUMPUR 21 Feb. - Sikap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sering memutarbelitkan fakta merupakan faktor utama debat antara beliau dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak perlu diadakan.

Walaupun para penganalisis politik menyifatkan debat merupakan landasan baik untuk rakyat mengenali pemimpin, namun ia bukan untuk pemimpin seperti Anwar.

Tokoh akademik, Tan Sri Ibrahim Abu Shah menegaskan, Anwar terkenal sebagai individu yang hebat dalam memanipulasi keadaan.

''Saya sokong kenyataan Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa debat ini membuang masa, lebih baik Perdana Menteri beri tumpuan terhadap usaha memperkukuhkan jentera Barisan Nasional terutama menjelang pilihan raya umum ini,'' katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau percaya jika debat itu diadakan, Anwar akan cuba menutup kelemahan diri dengan melemparkan pelbagai tuduhan terhadap kerajaan.

Ibrahim berkata demikian bagi mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri itu yang menyebut perdebatan itu hanya membuang masa dan tidak mampu menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat negara ini.

Sementara itu, Profesor Politik dan Kerajaan Jabatan Pengajian, Kenegaraan dan Ketamadunan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Jayum Jawan berkata, antara perkara yang perlu dielakkan ialah debat yang tidak matang menyebabkan ia 'hanyut' daripada fokus asal debat itu diadakan.

''Justeru saya fikir kenyataan Tun Dr. Mahathir Mohamad menolak sesi debat itu kerana kemungkinan Anwar akan mengheret isu-isu yang tidak ada kena mengena dalam usaha memperkasakan bangsa dan negara,'' katanya.

Beliau yakin jika debat itu diadakan, Najib sebagai Perdana Menteri tidak akan lari daripada fokus sebenar kerana beliau merupakan kerajaan yang melaksanakan dasar.

Dalam pada itu Pensyarah Sosial Sains, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Sivamurugan Pandian berkata, debat tidak sepatutnya menyeleweng daripada dasar dan isu utama serta tidak bersifat emosional.

''Justeru saya rasa adalah lebih baik debat antara pemimpin peringkat bawahan terlebih dahulu, kita lihat bagaimana situasi debat antara mereka, lepas itu baru kita buat keputusan sama ada perlu atau tidak debat antara pemimpin tertinggi ini diadakan,'' katanya.

Debat bukan penentu menang pilihan raya – Abdullah

Posted:

Debat bukan penentu menang pilihan raya – Abdullah

Debat bukan penentu menang pilihan raya – Abdullah

KUALA LUMPUR 21 Feb. - Debat antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan cara terbaik bagi menyelesaikan pelbagai isu rakyat yang timbul ketika ini.

Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi berkata, perkara lebih utama yang perlu dilakukan oleh Perdana Menteri ialah memastikan segala perkhidmatan dan sumbangan kerajaan kepada rakyat berjalan lancar kerana itulah penentu kejayaan dalam pilihan raya.

"Saya tidak perlu bagi apa-apa nasihat kepada Datuk Seri Najib kerana beliau lebih memahami apa yang terbaik, tidak perlu didesak.

"Malah debat tidak bererti satu penyudahan kepada segala-galanya yang menjadi penentu dalam pilihan raya, apa yang lebih penting ialah sumbangan kerajaan kepada rakyat. Itu yang perlu diutamakan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan seminar bertajuk "Pencapaian Umat Islam Pasca Merdeka: Pengajaran dan Langkah ke Hadapan" anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), di sini hari ini.

Beliau mengulas desakan pembangkang yang mahu Najib berdebat dengan Anwar seperti Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek berdebat dengan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, Sabtu lalu.

Turut hadir Ketua Pengarah IKIM, Datuk Nik Mustapha Nik Hassan dan Timbalannya, Prof. Datin Dr. Azizan Baharuddin.

Menurut Abdullah yang merupakan Pengerusi IKIM, oleh itu tidak perlu mana-mana pihak mendesak perdebatan tersebut sebagai sesuatu perkara wajib diadakan.

Sementara itu, mengulas mengenai prestasi Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), beliau yakin parti itu akan memperoleh kemenangan yang lebih besar berbanding pada 2008.

"Bergantung pada usaha dan khidmat kerajaan serta apa yang mereka dapat berikan kepada rakyat," katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Abdullah berkata, persepsi dan kefahaman segelintir umat Islam di negara ini bahawa pendidikan agama itu terhad kepada ilmu fikah atau menghafal al-Quran serta hadis sahaja perlu diperbetulkan.

"Mereka harus memahami bahawa ilmu Islam sangat luas serta mempunyai hubungkait dengan ilmu-ilmu lain. Persepsi seperti itu telah menyebabkan pengertian ulama sering difahami dalam makna yang sangat sempit malah ahli sains tidak pula dianggap sebagai ulama.

"Maka kita tidak mahu melihat ilmu yang ada hubungkait dengan Islam itu hanya terhad kepada perkara yang berkait dengan fikah, pengajian al-Quran dan hadis sahaja," ujarnya.

Seminar dua hari yang dianjurkan IKIM itu menampilkan pembentangan kertas kerja melalui lima sesi bagi menilai prestasi umat Islam di negara ini dalam lima lapangan utama iaitu pendidikan, bahasa dan kebudayaan, sains dan teknologi, sosio-ekonomi serta politik dan pemerintahan.

Najib terima kunjungan Menteri Luar Sudan

Posted:

Najib terima kunjungan Menteri Luar Sudan

Najib terima kunjungan Menteri Luar Sudan


NAJIB Tun Razak bersalaman dengan Menteri Luar Sudan, Ali Ahmed Karti (kiri) di pejabatnya, di Bangunan Putra Perdana, Putrajaya, semalam. - BERNAMA


PUTRAJAYA, 21 Feb. — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menerima kunjungan Menteri Luar Sudan, Ali Ahmed Karti.

Ali, yang dalam rangka lawatan empat hari ke Malaysia, tiba di Pejabat Perdana Menteri di sini pada 9 pagi, diiringi Duta Sudan ke Malaysia, Nadir Yousif El-Tayeb dan Pengarah Jabatan Asia di Kementerian Luar Sudan, Sawsan Abdelmajeed.

Ini merupakan lawatan pertama Ali ke Malaysia bertujuan meningkatkan hubungan dua hala.

Beliau dijadual berbincang dengan Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman esok dan menemui Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Datuk Shamsul Azhar Abbas petang ini. — BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan