Selasa, 21 Februari 2012

Utusan Online - Dalam Negeri

Utusan Online - Dalam Negeri


VDR kawal penuntut asing – Imigresen

Posted:

VDR kawal penuntut asing – Imigresen

VDR kawal penuntut asing – Imigresen

PUTRAJAYA 20 Feb. – Jabatan Imigresen akan menguatkuasakan penggunaan Visa Dengan Rujukan (VDR) terhadap penuntut asing yang ingin melanjutkan pelajaran ke negara ini bagi membendung masalah sosial dan jenayah di kalangan mereka.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Alias Ahmad berkata, dengan adanya VDR, setiap penuntut asing asing dilarang memasuki negara ini dengan hanya menggunakan visa ketibaan atau pas sosial.

"Dengan cara ini kolej-kolej terbabit perlu berurusan terlebih dahulu dengan Jabatan Imigresen kemudian baru boleh bawa masuk penuntut asing ke Malaysia.

"Ini merupakan cara untuk mengekang penipuan dan kes yang mana individu lain menyamar masuk menggunakan visa penuntut lain untuk melakukan kerja lain," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Beliau mengulas keputusan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) semalam untuk menghentikan pemberian visa ketibaan dan pas sosial kepada penuntut asing ke negara ini.

Berikutan itu KPT hanya mengeluarkan visa pelajar selepas mereka menerima tawaran institusi pengajian tinggi awam (IPTA) serta institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) kelolaan kementerian.

Visa yang dikeluarkan Pejabat Perwakilan Malaysia di luar negara kepada seseorang yang bukan warga negara itu bertujuan membolehkan mana-mana individu masuk ke Malaysia selepas visa diluluskan Ibu Pejabat Imigresen.

Sementara itu, Alias berkata, pihaknya akan bertemu dengan pegawai KPT hari ini untuk mendapatkan pengesahan mengenai keputusan yang diumumkan semalam.

"Pihak kami tiada halangan dengan pelaksanaan ini dan menyokong penuh usaha tersebut.

"Oleh itu, kami akan membuat pertemuan dengan mereka untuk mendapatkan hitam putih kerana pada asalnya keputusan itu (penggunaan visa ketibaan dan pas sosial) diminta sendiri oleh KPT pada 2007 bagi menjadikan negara ini sebagai hub pendidikan," katanya.

Penambahbaikan dalam sistem kerajaan

Posted:

Penambahbaikan dalam sistem kerajaan

Penambahbaikan dalam sistem kerajaan

KUBANG PASU 20 Feb. – Keputusan menghentikan pemberian visa ketibaan dan pas sosial kepada penuntut asing ke negara ini merupakan satu langkah penambahbaikan dalam sistem kerajaan.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pendaftaran dan Imigresen) Kementerian Dalam Negeri, Datuk Alwi Ibrahim, walaupun kerajaan berusaha menarik kehadiran ramai pelajar asing, namun langkah berkenaan bertujuan memastikan mereka benar-benar datang untuk belajar.

Beliau berkata, langkah itu akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat menerusi kerjasama kementerian terlibat.

"Sebelum memasuki negara ini, pelajar asing perlu memastikan mereka sudah ada tempat pengajian dan selepas itu Jabatan Imigresen akan mengeluarkan pas pelajar," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2011, Jabatan Penjara (Zon Utara 2) di Institut Aminuddin Baki, Jitra di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Penjara, Datuk Wira Zulkifli Omar.

Pada majlis itu, seramai 182 kakitangan penjara di zon utara menerima anugerah berupa Sijil Perkhidmatan Cemerlang dan wang tunai RM1,000.

Semalam, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pemberian visa ketibaan dan pas sosial kepada para penuntut asing ke negara ini dihentikan bagi membendung penyalahgunaan pas itu.

Mohamed Khaled berkata, visa pelajar hanya dikeluarkan kepada penuntut asing selepas mereka menerima tawaran melanjutkan pengajian daripada institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) kelolaan kementerian.

Dalam perkembangan lain, Alwi berkata, semua majikan digesa segera mengemukakan permohonan bagi pemutihan pekerja pendatang asing masing-masing sebelum tarikh tutup pada 10 April ini.

Tegas beliau, proses pemutihan Program Penyelesaian Menyeluruh Pekerja/Pendatang Asing Tanpa Izin (6P) telah dimuktamadkan pada tarikh berkenaan dan sebarang permohonan untuk melanjutkan lagi tarikh tersebut tidak akan dilayan.

"Ini merupakan peluang kepada majikan untuk memutihkan pekerja asing mereka mengikut undang-undang. Selepas 10 April ini, kalau kita buat semakan dan penguatkuasaan besar-besaran diadakan, akan timbul masalah bagi mereka yang belum berbuat demikian," katanya.

KDN pinda peraturan keluarkan pas pelajar luar

Posted:

KDN pinda peraturan keluarkan pas pelajar luar

KDN pinda peraturan keluarkan pas pelajar luar

PUTRAJAYA 20 Feb. – Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini meminda peraturan dengan menetapkan pas pelajar hanya akan dikeluarkan kepada warga asing yang telah sah mendapat tempat untuk menyambung pengajian di negara ini.

Ketua Setiausahanya, Tan Sri Mahmood Adam berkata, peraturan sebelum ini ialah warga asing dibenarkan masuk dan berada di Malaysia selama tiga bulan menggunakan Pas Lawatan Sosial bagi meninjau institusi bersesuaian dengan keperluan masing-masing.

''Sejajar dengan itu, proses pengeluaran visa juga diperketatkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia dengan kerjasama agensi kawal selia sebagai pihak yang bertanggungjawab menguruskan kemasukan pelajar asing ke negara ini.

''Keputusan ini diambil berikutan peningkatan kes penyalahgunaan pas pelajar oleh warga asing, khususnya membabitkan jenayah berkaitan dadah dan pelbagai kesalahan di bawah Akta dan Peraturan Imigresen," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mahmood berkata, pada masa sama, beberapa inisiatif lain turut dilaksanakan KDN bagi memantau isu pelajar asing dan antara yang utama ialah penubuhan Sub Unit Khas Pelajar dan Kumpulan Kerja Pemantauan Pelajar Antarabangsa (KKPPA).

Selain itu, katanya, Prosedur Operasi Standard (SOP) juga akan diseragamkan bagi memastikan tiada pertindihan bidang tugas antara agensi kawal selia membabitkan KDN, Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Pelajaran Malaysia, Jabatan Imigresen dan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK).

''Kita juga akan mengendalikan naziran bersepadu serta berkala melibatkan Imigresen, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Pelajaran dan JPK; melaksanakan saringan keselamatan PDRM terhadap permohonan pelajar asing; mengambil data biometrik dan terakhir, mengintegrasikan sistem yang digunapakai agensi kawal selia dengan sistem yang diguna pakai oleh Imigresen," katanya.

Semalam, Kementerian Pengajian Tinggi memutuskan warga asing yang ingin belajar di Malaysia perlu mengemukakan permohonan pas pelajar sebelum masuk ke negara ini, selain disyaratkan supaya menyertakan bersama surat pengesahan tawaran daripada institusi yang berkenaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan