Ahad, 19 Februari 2012

Utusan Online - Dalam Negeri

Utusan Online - Dalam Negeri


Pembaharuan luar bandar tidak boleh terhenti

Posted:

Pembaharuan luar bandar tidak boleh terhenti

Pembaharuan luar bandar tidak boleh terhenti

KAMPUNG GAJAH 18 Feb. - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pembaharuan untuk kawasan luar bandar di negara ini tidak boleh terhenti setakat apa yang diusahakan oleh pemimpin sebelum ini.

Perdana Menteri berkata, selain memberi tumpuan kepada kemudahan asas untuk penduduk luar bandar, idea dan sumbangan bernas bagi pembaharuan di kawasan berkenaan turut diperlukan bagi memastikan kejayaan usaha transformasi kerajaan.

Katanya, waris kepimpinan negara perlu melengkapkan agenda pembangunan luar bandar dan tidak boleh menganggap apa yang diwarisi berhenti setakat apa yang ada pada hari ini.

"Kita teruskan dan memantapkan untuk kepentingan dan keselesaan masyarakat luar bandar," katanya pada Perhimpunan Rakyat Parlimen Pasir Salak dan majlis pelancaran Permodalan Felcra Berhad di sini hari ini.

Beliau berkata, kerajaan mahu melonjakkan pendapatan masyarakat luar bandar dengan memikirkan untuk mewujudkan nilai tambah, kemasukan teknologi baru serta meluaskan kemudahan perniagaan.

Katanya, Felcra yang mencatatkan rekod dividen sebanyak RM912.95 juta yang dianggap sangat baik membuktikan bahawa agensi seperti itu mampu memberikan kesan positif kepada transformasi luar bandar.

"Ini kejayaan luar biasa kepada Felcra yang membawa perubahan besar kepada masyarakat luar bandar," katanya.

Najib turut melancarkan Permodalan Felcra Berhad dengan dana pelaburan sebanyak RM100 juta.

Beliau juga menyampaikan surat hak milik kepada 10 peserta Felcra Berhad Seberang Perak mewakili 250 peserta secara keseluruhannya. - BERNAMA

Kuarters baru JKR bukti kerajaan tunai janji

Posted:

Kuarters baru JKR bukti kerajaan tunai janji

Kuarters baru JKR bukti kerajaan tunai janji


NAJIB Tun Razak bersama Shaziman Abu Mansor (kiri) melawat rumah keluarga Abdul Rashid Dahalan (dua kanan) selepas merasmikan Kuarters Baru Jabatan Kerja Raya (JKR) di Batu 4 1/2, Jalan Sungai Besi, Kuala Lumpur, semalam. - MINGGUAN/FAUZI BAHARUDIN


KUALA LUMPUR 18 Feb. - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pembinaan kuarters baru Jabatan Kerja Raya (JKR) di Batu 4 1/2, Jalan Sungai Besi di sini membuktikan kerajaan mengotakan apa yang dijanji kepada rakyat sebelum ini dan ia bukan sekadar retorik politik.

Perdana Menteri berkata, kuarters baru itu bakal didiami oleh 60 kakitangan kumpulan sokongan JKR dan menjadi contoh bahawa janji kerajaan yang dibuat sebelum ini untuk menggantikan kuarters lama yang sudah usang kini menjadi kenyataan.

"Rumah seperti ini jika di pasaran terbuka harganya boleh mencecah sehingga RM400,000. Jadi bayangkan kemudahan seperti ini dapat diberi kepada kakitangan sokongan kerajaan," katanya ketika berucap pada perasmian kuarters baru JKR di sini hari ini.

Hadir sama ialah Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Shaziman Abu Mansor.

Najib berkata, kuarters yang dibina dengan kos RM19 juta dan memiliki tiga bilik tidur serta dua bilik air itu dapat disiapkan dalam masa kurang 18 bulan dan ia adalah lebih cepat daripada jadual sebenar.

Katanya, kuarters lama JKR di situ sangat tidak sesuai lagi didiami oleh kakitangan memandangkan ia hanya memiliki sebuah bilik tidur dan dibina sejak zaman perang dunia kedua lagi.

"Semasa melawat kuarters lama pada 2009, saya minta kementerian menggantikan kuarters buruk dan daif dengan yang baru dan dalam tempoh singkat sahaja, projek baru ini menjadi kenyataan," katanya.

Selain kuarters, terdapat kemudahan-kemudahan lain yang disediakan di situ seperti pusat asuhan kanak-kanak, gelanggang futsal, tempat meletak kereta dan taman permainan.

Pada September 2009, Najib mengumumkan peruntukan RM28 juta untuk membina kuarters JKR yang baru di situ bagi menggantikan kuarters jabatan itu yang serba kekurangan dan berkeadaan usang.

Transformasi lebih baik dari reformasi

Posted:

Transformasi lebih baik dari reformasi

Transformasi lebih baik dari reformasi

KUALA LUMPUR 18 Feb. - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, perkataan transformasi adalah lebih baik daripada reformasi merujuk perubahan kemajuan yang dilakukan Barisan Nasional (BN) di negara ini.

Menurut beliau, perkataan reformasi sering dirujuk sebagai tuntutan perubahan yang melanggar undang-undang, kekacauan dan huru hara.

''Sebagai kerajaan yang memerintah, kita sering melakukan transformasi iaitu perubahan yang bersistematik, dirancang dengan teliti dan teratur,'' kata beliau dalam ucaptama pada persidangan Cina Malaysia di Persimpangan Politik di sini hari ini.

Persidangan dan debat tersebut dianjurkan oleh Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (ASLI) bersama-sama agensi pemikir MCA, Institut Analisis Strategik Dan Penyelidikan Dasar (Insap).

Menurut Najib, masyarakat Cina yang rata-ratanya ahli perniagaan tidak akan mendapat manfaat melalui reformasi itu kerana ia menyumbang kepada ketidakstabilan dalam ekonomi negara.

''Di bawah kepimpinan BN, Malaysia boleh melakukan pelbagai transformasi melalui keadilan yang sejajar dengan keperluan rakyat,'' katanya.

Malah menurut beliau, melalui polisi yang dilaksanakan oleh BN, ia telah mampu melahirkan ramai billionaire di negara ini.

''Secara langsung atau tidak, mereka menjadi billionaire kerana polisi kerajaan yang memberi konsesi kepada mereka,'' katanya.

Najib menegaskan, kerajaan sentiasa prihatin terhadap keperluan rakyat tanpa mengira kaum.

''Melalui kerajaan sekarang, banyak peluang terbuka kepada semua rakyat namun hanya mereka yang berusaha bersungguh-sungguh akan mendapat manfaatnya,'' ujar beliau.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan