Sabtu, 18 Februari 2012

Utusan Online - Dalam Negeri

Utusan Online - Dalam Negeri


Sabah bukan negeri termiskin

Posted:

Sabah bukan negeri termiskin

Sabah bukan negeri termiskin

Oleh TARMIZI ABDUL RAHIM
pengarang@utusan.com.my


NAJIB Tun Razak diiringi Musa Aman bersalaman dengan orang ramai ketika tiba untuk merasmikan Mini Estet Sejahtera (Mesej) Akuakultur Kampung Nala, Tungku, Lahad Datu, Sabah, semalam. - BERNAMA


LAHAD DATU 17 Feb. - Perdana Menteri berkata, Sabah kini bukan lagi negeri termiskin di Malaysia, sebaliknya ia berada pada kedudukan pertengahan antara kaya dan termiskin, jauh mengatasi Kelantan yang tercorot.

Datuk Seri Najib Tun Razak menjelaskan, berdasarkan situasi semasa, ditambah dengan pelbagai perancangan jitu kerajaan Barisan Nasional (BN) dan semua agensi, Sabah amat berpotensi untuk melonjak menjadi antara negeri terkaya di Malaysia.

"Saya ingin beri soalan teka-teki kepada anda semua, negeri manakah yang paling miskin," sambil dijawab serentak oleh orang ramai: "Kelantan."

Najib mengiyakan jawapan itu dengan mengatakan kedudukan tercorot itu bermula sejak negeri tersebut berada di bawah pemerintahan kerajaan Pas Kelantan.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Mini Estet Sejahtera (Mesej) Akuakultur Kampung Nala, Tungku, Lahad Datu di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal serta pemimpin setempat.

Hampir 10,000 penduduk setempat menghadiri majlis perasmian itu. Perdana Menteri turut menunaikan sembahyang Jumaat bersama penduduk di Masjid Projek Mesej Kampung Nala yang kali pertama digunakan.

Tambah Najib, semasa Sabah mencapai kemerdekaan pada 1963, taraf kehidupan rakyatnya amat daif dengan lebih 70 peratus daripadanya dibelenggu kemiskinan.

"Nala dalam bahasa Tamil bermaksud besar, jadi BN beri jaminan akan meneruskan agenda transformasi 'nala' kepada Sabah dan penduduknya," katanya.

Jelas Najib, setiap tahun Felda menyalurkan bantuan sebanyak RM50 juta kepada kerajaan negeri, selain daripada sumbangan RM22 juta untuk projek Mesej ini.

Malah, kerajaan melalui Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah juga pada tahun ini telah menyalurkan pelbagai kemudahan dan projek pembangunan kepada negeri ini.

"Antaranya sebanyak 15,455 buah rumah mendapat sambungan bekalan elektrik, 68,092 rumah (bekalan air bersih) dan lebih 458,000 kilometer jalan," katanya.

RTC nadi transformasi luar bandar

Posted:

RTC nadi transformasi luar bandar

RTC nadi transformasi luar bandar

IPOH 17 Feb. - Kira-kira empat dekad lalu, kebanyakan kampung di seluruh negara dalam keadaan serba kekurangan dari segi kemudahan asas.

Penduduk kampung mendapatkan bekalan air daripada perigi atau sungai, bergantung kepada pelita minyak tanah atau 'lampu ayam' sebagai sumber cahaya waktu malam, menggunakan kayu api untuk memasak, jalan masih tanah merah, jauh sekali untuk memiliki barang mewah seperti televisyen.

Semua itu kini tinggal sejarah. Terima kasih kepada kerajaan yang menyedari suasana itu perlu berubah untuk rakyat menikmati sebuah kehidupan yang lebih baik dan selesa.

Usaha transformasi masyarakat luar bandar itu dimulakan oleh Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein yang membawa masuk pelbagai kemudahan asas, peluang pendidikan yang lebih luas, menempatkan penduduk luar bandar ke pembangunan tanah rancangan dan memperkenalkan dasar-dasar yang memastikan tiada siapa pun tercicir daripada pembangunan arus perdana.

Walaupun banyak kemajuan telah dicapai, dengan taraf kehidupan penduduk meningkat, usaha membantu dan memajukan penduduk luar bandar masih diteruskan dan kali ini anak allahyarham Tun Razak, Datuk Seri Najib, Perdana Menteri keenam, menerajui usaha itu.

Untuk mendekati dan membantu masyarakat luar bandar, Najib percaya Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) yang dicadangkan oleh Malaysian Blue Ocean Strategy Institute (MBOSI) akan membawa kesan yang diharapkan.

Inisiatif menubuhkan RTC di bawah teras Strategi Lautan Biru Kebangsaan 4 atau National Blue Ocean Strategy 4 (NBOS4) bermatlamat untuk menjadi penghubung masyarakat luar bandar dengan aktiviti yang mempunyai nilai tambah yang tinggi bagi mewujudkan impak ekonomi dan pendapatan berganda.

RTC Gopeng yang terletak di Terminal Agribisnes Negara (Teman) juga dijangka mengimbangi kepesatan pembangunan di bandar dan wilayah yang lain.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal ketika mengadakan perjumpaan dengan ketua-ketua kampung negeri Perak di RTC Gopeng berkata, pusat itu akan menjadi perintis kepada semua RTC yang akan dibuka di seluruh negara.

"RTC akan menjadi nadi kepada peningkatan pendapatan serta aktiviti ekonomi luar bandar. RTC antaranya dapat meningkatkan mata pencarian, produk luar bandar dapat dipasarkan dan dalam tempoh yang panjang, ia dapat dieksport," katanya.

Beliau berkata, KKLW dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani adalah dua kementerian yang menerajui pelaksanaan program di bawah RTC di samping mendapat kerjasama kementerian lain seperti Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Kewangan.

RTC juga adalah pusat integrasi perkhidmatan meliputi pengumpulan, pemprosesan dan pengedaran hasil pertanian, perbankan dan insurans, khidmat nasihat perniagaan, latihan dan kemahiran, penjagaan kesihatan dan ruang niaga.

RTC Gopeng dan RTC di Wakaf Che Yeh, Kelantan yang sudah beroperasi akan juga berperanan sebagai platform bagi golongan muda luar bandar untuk mendapatkan peluang pekerjaan dan melatih diri dalam bidang kemahiran tertentu.

Ketua Setiausaha KKLW, Datuk Ibrahim Mohamad berkata, RTC Gopeng diwujudkan khusus demi kemudahan semua penduduk dalam lingkungan 100km dari pusat berkenaan.

RTC Gopeng ialah hentian setempat bagi hampir semua jabatan yang berurusan dengan orang ramai seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Imigresen, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), YAPEIM, Yayasan Tekun, Pos Malaysia, Klinik Kesihatan dan Agro Bank.

Pusat itu juga menyediakan perkhidmatan swasta seperti Kontena Nasional yang menawarkan kemudahan logistik pemasaran produk.

Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Ahmad Ishak pada taklimatnya awal Februari lepas, menarik perhatian bahawa pihak swasta juga memainkan peranan dalam usaha merancakkan semua aktiviti RTC Gopeng.

Hipermarket borong akan beroperasi di premis itu yang mana ia bekerjasama dengan usahawan tani bagi mengedar hasil pertanian ke seluruh rangkaian pasarannya di negara ini.

"Jalinan kerjasama swasta, rakyat dan jentera kerajaan sememangnya dapat memajukan negara, di mana kesan limpahannya merangkumi penduduk di Perak, Pahang (Cameron Highlands), Kelantan (Lojing) dan Selangor (Sabak Bernam).

RTC turut menjadi tempat Kios Informasi 1Malaysia yang merupakan pusat maklumat setempat yang menggabungkan informasi dan perkhidmatan yang ditawarkan pelbagai kementerian.

Pusat ini juga menyediakan kemudahan perkhidmatan pembiayaan mikro kredit di bawah pemantauan Kementerian Kewangan. - BERNAMA

Sempena perasmian RTC Gopeng oleh Perdana Menteri esok, FAMA mengadakan Karnival RTC.

Pengarah Fama negeri Perak, Basri Jasmo berkata, program itu bertujuan memperkenalkan RTC sebagai pusat pengumpulan dan pemasaran hasil dan produk pertanian dari luar bandar.

Sebanyak 15 agensi kerajaan akan membuka kaunter mereka sepanjang karnival itu mulai 10 pagi hingga 5 petang. Antaranya ialah Polis Diraja Malaysia yang mengadakan pameran kenderaan, senjata, sejarah dan kerjaya, pertunjukan unit udara, forensik serta pameran pemusnah bom.

Orang ramai berpeluang mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti yang dirancang sempena karnival RTC Gopeng itu seperti pameran, jualan produk, pertandingan hiasan, persembahan seni pertahankan diri, seminar keusahawanan, pertandingan futsal dan pameran kerjaya.

RTC menggerakkan lapan inisiatif utamanya yang telah digariskan iaitu pertama bergerak sebagai penyedia peluang latihan berterusan kepada masyarakat luar bandar di RTC dan kawasan sekitarnya dengan matlamat menambah pengetahuan, kemahiran dan keupayaan masyarakat luar bandar untuk meningkatkan pendapatan, peluang pekerjaan serta taraf hidup.

Latihan keusahawanan, motivasi, pembungkusan, penjenamaan, persembahan produk, pengurusan makanan ternakan, teknik fertigasi dan kemahiran elektronik turut ditawarkan.

RTC juga menjadi platform kepada sektor pertanian bernilai tinggi dan membangunkan usahawan dalam bidang pemprosesan makanan untuk pasaran tempatan dan global.

Keluarga Asyraf Haziq bersyukur keputusan Mahkamah Utara London

Posted:

Keluarga Asyraf Haziq bersyukur keputusan Mahkamah Utara London

Keluarga Asyraf Haziq bersyukur keputusan Mahkamah Utara London

KUALA LUMPUR 17 Feb. - Keluarga penuntut Malaysia, Muhammad Asyraf Haziq Rossli, 20, yang dibelasah sekumpulan perusuh di London, Ogos tahun lalu melahirkan rasa syukur dengan keputusan Mahkamah Utara London hari ini.

Ibu mangsa, Maznah Abu Mansoor berkata, beliau sekeluarga bersyukur dan berharap selepas ini Muhammad Asyraf dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada pengajiannya dalam bidang perakaunan.

Katanya, keputusan itu dianggap adil terhadap anak lelaki kesayangannya itu.

Jelas beliau, anak lelakinya itu ada memberitahu bahawa dia sedikit terganggu ekoran proses perbicaraan dan berharap Muhammad Asyraf akan kembali fokus serta dapat menjalani kehidupan di sana dengan aman sejahtera.

"Selaku ibu, saya sangat bersyukur dengan keputusan mahkamah itu dan berharap agar dia dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada pengajiannya selepas ini," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Berdasarkan laporan agensi AFP, Mahkamah Utara London hari ini mendapati seorang remaja, Beau Isagba, 17, bersalah atas tuduhan mencederakan Muhammad Asyraf hingga cedera di rahang apabila diserang di Barking, Timur London.

Dalam perbicaraan itu, Isagba mengaku mencuri basikal Muhammad Asyraf dan mendakwa dia berasa penat akibat terlibat dalam rusuhan itu tetapi menafikan menyerang Asyraf.

Muhammad Asyraf, penuntut tahun pertama jurusan perakaunan di Kolej Kaplan, Barking dibelasah sekumpulan perusuh ketika keluar untuk membeli juadah berbuka puasa Ogos lalu.

Ekoran kejadian itu, penuntut tajaan Majlis Amanah Rakyat itu terpaksa menjalani pembedahan membetulkan rahang di Hospital Royal London.

Sementara itu, Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan ketika dihubungi menyifatkan keputusan itu satu keputusan yang baik dari segi keadilan terhadap Muhammad Asyraf.

Beliau berkata, apa yang diharap adalah Muhammad Asyraf tenang dan dapat menumpukan sepenuhnya perhatian kepada pengajian.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan