Selasa, 14 Februari 2012

Utusan Online - Dalam Negeri

Utusan Online - Dalam Negeri


Bukan 'syurga' pengganas

Posted:

Bukan 'syurga' pengganas

Bukan 'syurga' pengganas

Oleh ABD. HALIM HADI TALIB
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 13 Feb. - Malaysia bukanlah sebuah negara transit dan persembunyian bagi mereka yang terlibat dengan jenayah, keganasan atau mana-mana individu yang dikehendaki oleh negara asal.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, kerajaan tidak akan berkompromi dengan individu yang terlibat di dalam aktiviti jenayah untuk beroperasi atau bernaung dengan bebas di negara ini.

"Kena fikir dua tiga kali, jangan anggap Malaysia negara transit yang selamat untuk melakukan jenayah. Jangan anggap individu seperti ini boleh keluar masuk negara ini sesuka hati.

"Ini tindakan yang bertepatan dengan landskap keselamatan negara ketika ini kerana ada tuduhan negara ini menjadi 'syurga' penjenayah antarabangsa, keganasan dan transit penyeludupan manusia," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Mengenai Prinsip Kepolisan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas tindakan kerajaan menghantar semula kolumnis akhbar Arab Saudi, Mohammad Najeeb A. Kashgari yang dikehendaki oleh kerajaan negara itu kerana didakwa menghina Nabi Muhammad SAW melalui Twitternya.

Turut hadir Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar dan bekas Ketua Polis Negara, Tun Haniff Omar.

Hishammuddin berkata, penghantaran itu dibuat atas permintaan kerajaan Arab Saudi demi kepentingan hubungan dua hala antara pihak berkuasa di kedua-dua negara.

"Ini bukan perkara baru, akta yang kita gunakan ini tidak berkisar pada akta keganasan bahkan Akta Imigresen pun boleh kita gunakan," katanya.

Sementara itu, beliau menafikan pihaknya menerima perintah mahkamah yang menghalang penghantaran lelaki tersebut ke negara asalnya.

Pada perkembangan lain, Hishammuddin menegaskan kerajaan akan terus berusaha meningkatkan tahap rasa selamat di kalangan orang ramai walaupun indeks jenayah negara secara keseluruhannya mencatatkan penurunan.

"Kita sasarkan 50 peratus pengurangan dalam konteks kebimbangan terhadap jenayah, tapi yang dicapai 52.7 peratus iaitu kurang kira-kira dua peratus," katanya.

Hishammuddin berkata, walaupun laporan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) 2011 menunjukkan penurunan sebanyak 11.1 peratus pada keseluruhan indeks jenayah dan 39.7 peratus penurunan jenayah jalanan, sebahagian masyarakat masih berasa tidak selamat.

Menurutnya, salah satu daripada penyumbang kebimbangan itu adalah kekurangan kesedaran umum terhadap usaha berterusan yang dilakukan oleh pihak berkuasa.

Hishammuddin turut memberitahu, laporan NKRA menunjukkan indeks kepuasan orang ramai mengambil kira perkhidmatan barisan polis meningkat kepada 70.5 peratus melebihi 60 peratus yang disasarkan.

"Pencapaian ini juga dilihat dalam usaha untuk memperbaiki proses keadilan jenayah dengan meningkatkan bilangan tangkapan yang dihadapkan ke mahkamah di mana kita mencapai 23.5 peratus berbanding sasaran 20 peratus," katanya.

"Kalau perkara ini tidak berlaku jangan pula bawa cerita, ia satu fakta yang mengelirukan dan menimbulkan emosi.

"Saya pasti tiada injuksi. Dalam Internet mereka kata ada injuksi. Kononnya penghantaran semula dibuat atas permintaan Interpol.

"Kita akur sekiranya ada mahkamah mengeluarkan perintah. Saya tak pernah lari dari tanggungjawab untuk menunaikan undang-undang yang sedia ada," katanya.

Sehubungan itu beliau mengingatkan pihak-pihak tertentu supaya tidak membuat andaian tindakan penghantaran semula itu akan menyebabkan Hamza Kashgari dikenakan tindakan tidak berperikemanusiaan oleh kerajaan Arab Saudi.

"Tuduhan bahawa beliau akan dibunuh, didera dan sebagainya tidak masuk akal. Jangan buat andaian sendiri.

"Tuduhan seperti itu adalah tuduhan yang serius terhadap Arab Saudi. Jangan campur adukkan politik Malaysia dengan Arab Saudi," tegas beliau.

Mutu aset pertahanan mampu dipertingkat

Posted:

Mutu aset pertahanan mampu dipertingkat

Mutu aset pertahanan mampu dipertingkat


Ahmad Zahid Hamidi mengiringi Gerard Longuet memeriksa kawalan hormat Batalion 1 Rejimen Askar Melayu Diraja di Wisma Pertahanan, Kuala Lumpur, semalam. - BERNAMA


KUALA LUMPUR 13 Feb. - Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yakin melalui hubungan sedia ada yang terus terjalin antara Kementerian Pertahanan Malaysia dan Perancis mampu meningkatkan kualiti aset pertahanan negara.

Beliau berkata, hubungan dua hala itu dapat menguntungkan negara untuk jangka masa panjang terutamanya melibatkan usaha perolehan aset pertahanan terbaru dalam masa terdekat seperti helikopter EC725 dari syarikat Eurocopter negara itu.

"Kita perlu tingkatkan pemindahan pengetahuan dan teknologi menerusi perkongsian ini yang akan membantu kita meningkatkannya (kualiti aset pertahanan negara).

"Ia adalan baik kerana negara kita akan mendapat faedah daripada pasaran luas teknologi pertahanan dari Perancis," katanya kepada pemberita ketika menerima kunjungan Menteri Pertahanan Perancis Gerard Longuet di Wisma Pertahanan di sini, hari ini.

Ahmad Zahid berkata, selain perolehan aset, Kementerian Pertahanan Perancis juga turut memberi latihan krew kapal selam kepada Malaysia bagi meningkatkan kemahiran krew terlibat.

Katanya, negara bukan hanya akan menjalin kerjasama dengan Perancis dalam aspek pertahanan malah akan turut mendapatkan kerjasama daripada negara lain.

"Kerjasama ini bukan hanya dengan Perancis tetapi rantau lain dan juga untuk menggunakan ASEAN sebagai tempat pasaran bagi membolehkan teknologi pertahanan diperluaskan," katanya.

Sementara itu, Longuet berkata, kebanyakan syarikat Perancis adalah syarikat multinasional dan amat signifikan di seluruh dunia.

"Apabila kita bercakap mengenai Eurocopter Perancis, ia mempunyai signifikan di seluruh dunia. Kami yakin untuk memberikan perolehan aset pertahanan kepada Malaysia bagi memperkukuhkan hubungan untuk jangka panjang," katanya. - BERNAMA

KPN gesa anggota bersedia

Posted:

KPN gesa anggota bersedia

KPN gesa anggota bersedia

SUBANG JAYA 13 Feb. – Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar menggesa semua pegawai dan anggotanya supaya 'mengambil tahu' dan bersedia melakukan transformasi dan perubahan sejajar dengan perkembangan semasa.

Menurutnya, melalui pendekatan itu, mereka diyakini mampu membawa pasukan ke arah lebih cemerlang dan dinamik menerusi 'pemikiran peluang' (opportunity thinking).

Sehubungan itu, beliau berkata, kegagalan untuk berubah dan memperbaiki kelemahan sedia ada menunjukkan kaedah yang digunakan pakai tidak lagi sesuai.

"Kita melihat satu kepentingan bagi pihak polis untuk menggunakan media sosial seperti laman sosial Twitter dan Facebook yang digunakan oleh masyarakat.

"Ia boleh meningkatkan pengurusan publisiti, penyebaran maklumat yang cepat dan penglibatan secara langsung dengan masyarakat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Trend Dalam Abad Ke-21 Kepolisan: Masa Depan, Realiti, Peluang dan Cabaran di Persidangan Antarabangsa Mengenai Prinsip Kepolisan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ismail menambah, pihaknya juga berusaha memulihkan kepercayaan masyarakat terhadap pasukan tersebut dalam memerangi jenayah di negara ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan