Isnin, 13 Februari 2012

Utusan Online - Dalam Negeri

Utusan Online - Dalam Negeri


RM200j untuk Iskandar Waterfront City

Posted:

RM200j untuk Iskandar Waterfront City

RM200j untuk Iskandar Waterfront City

Oleh MOHAMAD FIKRI ROSLY dan NOR AZAN FITRI
pengarang@utusan.com.my


SULTAN Ibrahim Sultan Iskandar dan Najib Tun Razak diberi penerangan mengenai pembangunan Danga Bay oleh Lim Kang Hoo pada Majlis Ulang Tahun ke-15 Danga Bay di Johor Bahru, semalam. Turut hadir Raja Zarith Sofia Almarhum Sultan Idris Shah dan Rosmah Mansor. - BERNAMA


JOHOR BAHRU 12 Feb. - Kerajaan memperuntukkan dana awal RM200 juta bagi projek Iskandar Waterfront City yang bakal dilaksanakan tidak lama lagi di Danga Bay, di sini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, projek yang akan dibangunkan oleh Iskandar Waterfront Holdings (IWH) merupakan pendahulu kepada inisiatif transformasi Johor Bahru untuk menjadi destinasi perniagaan, komersial dan pelancongan.

"Iskandar Waterfront City, dengan Danga Bay sebagai pusat pembangunannya adalah antara kawasan pembangunan paling menarik di Malaysia dan Johor khususnya. Akses mudah melalui udara, laut dan jalan raya serta kedudukan uniknya di penghujung Semenanjung bersempadan dengan Singapura memberi kelebihan besar sebagai destinasi gaya hidup dan menarik masuk pelaburan.

"Usaha memajukan semula kawasan perbandaran ini adalah selari dengan pendekatan pembangunan koridor oleh kerajaan Persekutuan bagi memberi nafas baru kepada bandar lama dengan gaya kehidupan moden. Ia bukan saja melibatkan pemuliharaan dan naik taraf bangunan warisan, landskap dan mewujudkan kawasan hijau tetapi juga pengenalan kepada produk hartanah dan elemen nilai tambah kepada bandar sedia ada," katanya pada Majlis Ulang Tahun ke-15 Danga Bay di Pusat Persidangan Danga Bay, di sini hari ini.

Hadir mencemar duli pada majlis berkenaan, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan isterinya, Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah bersama Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail serta Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar.

Turut hadir isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman; isterinya, Prof. Datin Dr. Jamilah Ariffin, Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar, Ismail Ibrahim dan Pengarah Urusan IWH, Datuk Lim Kang Hoo.

Sultan Ibrahim juga berkenan melancarkan Pusat Maklumat Iskandar Malaysia dan Yayasan Danga sebagai tanda kemeriahan sambutan ulang tahun Danga Bay.

Iskandar Waterfront Citu turut menyaksikan perancangan membina terminal kapal layar, marina, dermaga nelayan, bangunan menara menempatkan pejabat kewangan dan komersial, hotel, pusat pameran dan konvensyen serta kawasan perumahan.

Najib turut menyatakan keyakinan Danga Bay akan menjadi destinasi dermaga utama kerana pelan induk yang baru diumumkan itu bakal menarik lebih ramai pelabur, pelancong dan ahli perniagaan di rantau ini.

"Potensi sebenarnya Danga Bay akan direalisasi dengan pelancaran fasa terbaru cetak biru pembangunan Iskandar Waterfront City ini. Saiz dan skop projek ini bukan saja besar tetapi menakjubkan. Sebaik siap kelak, ia akan melonjakkan Johor Bahru menjadi bandar dermaga termoden bukan saja di Malaysia tetapi juga rantau ini," katanya lagi.

Jelas beliau, sejak 15 tahun lalu, IWH dengan sokongan kuat Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) telah berjaya merubah kawasan ini yang dulunya dikenali sebagai Pantai Lido kepada pusat pembangunan dengan permintaan yang tinggi.

Universiti Curtin anugerah Ijazah Doktor Kehormat Persuratan kepada Rosmah

Posted:

Universiti Curtin anugerah Ijazah Doktor Kehormat Persuratan kepada Rosmah

Universiti Curtin anugerah Ijazah Doktor Kehormat Persuratan kepada Rosmah


ROSMAH Mansor menerima Ijazah Doktor Kehormat Persuratan dari Dr Jim Gill pada majlis konvokesyen Universiti Curtin di Perth, kelmarin. – BERNAMA


PERTH 12 Feb. – Datin Seri Rosmah Mansor, isteri Perdana Menteri Malaysia, dianugerahi Ijazah Doktor Kehormat Persuratan daripada Universiti Curtin, Australia sebagai mengiktiraf daya usahanya dalam pembangunan pendidikan terutama pendidikan kanak-kanak menerusi program Permata Negara.

Canselor Universiti Curtin, Dr. Jim Gill menyampaikan Ijazah Doktor Kehormat itu kepada Rosmah pada majlis konvokesyen universiti itu di sini pada Sabtu.

Turut hadir Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak; Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman; Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Australia, Datuk Salman Ahmad serta Konsul Jeneral Malaysia di Perth, Hamidah Ashari.

Pada majlis itu, lebih 500 graduan universiti itu, termasuk beberapa pelajar Malaysia menerima ijazah masing-masing.

Sementara itu, Rosmah dalam ucapan penerimaannya, melahirkan penghargaan terhadap Anggota Majlis universiti itu bagi penganugerahan ijazah itu.

Menekankan mengenai pentingnya pendidikan awal, Rosmah berkata, banyak gejala sosial di dunia akan dapat dibendung apabila peluang pendidikan diberi kepada semua termasuk di kawasan luar bandar dan juga golongan miskin di bandar.

Menurutnya, apabila kanak-kanak dipersiapkan daripada peringkat awal lagi, mereka akan dapat membuat penyesuaian dari segi mental, emosi dan psikologi dalam menentukan apa yang terbaik untuk diri mereka apabila sampai ke peringkat pengajian tinggi.

"Telah terbukti tahun-tahun pembentukan awal seorang kanak-kanak itu, kepada sehingga sekurang-kurangnya berumur lima tahun adalah amat penting untuk menentukan keupayaannya untuk berjaya kemudiannya dalam kehidupan. Akan wujud potensi untuk hilang peluang jika kita tidak melabur dalam pendidikan awal yang betul untuk anak-anak kita," katanya.

Rosmah berkata, pewujudan Program Asuhan dan Didikan Awal Kanak-Kanak atau lebih dikenali ECEC di bawah program Permata Negara adalah untuk memastikan pendidikan di Malaysia menumpukan pada pembangunan manusia holistik dari peringkat awal dan juga untuk memastikan negara dapat membina modal insan cemerlang.

Katanya, untuk memenuhi hasrat dan harapan itu, dan menerusi perbincangan mendalam dengan pelbagai profesional dan sukarelawan di Malaysia pada 2007, program itu dilancarkan dan dikenali sebagai Permata, yang melambangkan generasi muda merupakan aset amat bernilai negara.

Rosmah berkata, program Permata menawarkan peluang luas kepada kanak-kanak berumur lima tahun dan ke bawah daripada keluarga berpendapatan rendah di luar bandar dan bandar untuk mengikuti pembelajaran dalam persekitaran holistik.

"Pembelajaran berdasarkan Penerokaan, Pengalaman dan Eksperimen yang direka khusus untuk memupuk dan menggalakkan rasa ingin tahu dan mencuba dalam diri kanak-kanak. Kami meletakkan tanda aras Permata dengan beberapa program berprestasi tinggi dari seluruh dunia," katanya.

Katanya, dalam tempoh hanya lima tahun, program Permata Negara telah diperluaskan daripada lima projek perintis kepada lebih 600 pusat asuhan kanak-kanak Permata di seluruh Malaysia.

"Usaha kami akan diteruskan bagi memastikan tiada kanak-kanak tercicir atau terabai daripada mendapat pendidikan awal berkualiti," katanya.

Program Permata juga meliputi empat program lain. Sebuah pusat untuk golongan berbakat dan cemerlang akademik mempunyai sebuah sekolah untuk pelajar berumur 16 hingga 17 tahun yang ditempatkan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

"Program kem tahunan untuk kanak-kanak berbakat berumur 9 hingga 15 tahun turut diadakan dengan kerjasama Johns Hopkins Center for Talented Youth.

"Permata juga mempunyai program untuk kanak-kanak berbakat dalam seni persembahan dan juga pengajian dalam al-Quran dan Sunnah. Di bawah program ini juga (Permata) kami juga mengadakan program untuk memperkasakan Remaja Berisiko," katanya.

Kompeni Askar Wataniah Felda dilancar

Posted:

Kompeni Askar Wataniah Felda dilancar

Kompeni Askar Wataniah Felda dilancar

HULU SELANGOR 12 Feb. - Program 'Merakyatkan Tentera' yang terkandung dalam pelan transformasi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terus diperluaskan dengan pelancaran Kompeni Askar Wataniah (AW) Wilayah Felda hari ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pelancaran kompeni tersebut bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat Felda berhubung keselamatan negara.

Katanya, ia sekali gus mengeratkan hubungan antara golongan tersebut dan ATM sebagai satu wasilah untuk memperjuangkan nasib generasi baru Felda.

"Penyertaan masyarakat dalam AW merupakan satu sumbangan murni bagi menyahut seruan ibu pertiwi yang bersesuaian dengan konsep pertahanan menyeluruh (Hanruh) yang ditetapkan dalam dasar pertahanan negara.

"Kerajaan mahu mewujudkan lebih banyak kawasan Felda yang sentiasa selamat serta aman supaya pembangunan rakyat dapat dilakukan dengan berkesan. Selain menjaga keselamatan, pasukan AW juga boleh melaksanakan kerja amal termasuk membina rumah rakyat miskin, membantu mangsa banjir atau lain-lain bencana alam.

"Saya yakin usaha ini secara tidak langsung membantu kerajaan bukan sahaja daripada aspek penambahan anggota AW, malah dapat menyalurkan maklumat kepada orang awam mengenai tugas sebenar pasukan tersebut," katanya selepas melancarkan pasukan itu di Sekolah Menengah Kebangsaan Felda Gedangsa di sini hari ini.

Pada majlis berkenaan, beliau memeriksa perbarisan pasukan yang terdiri daripada 12 pegawai dan 120 anggota lain-lain pangkat itu yang diketuai Mejar Mohd. Subhi Marsan.

Majlis bersejarah membabitkan kontinjen dari kawasan Felda Gedangsa, Sungai Tengi Selatan dan Kampung Soeharto itu juga dihadiri Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin; Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Zulkifli Zainal Abidin; Panglima 4 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Suhaimi Mohd. Zuki dan Pengerusi Gabungan Wawasan Generasi Felda (GWGF), Tan Sri Rozali Ismail.

Tambah Ahmad Zahid, pihaknya menyasarkan 10 kompeni AW ditubuhkan di tanah-tanah rancangan Felda, namun tidak menolak sekiranya terdapat permintaan daripada 314 tanah rancangan lain untuk menubuhkan pasukan mereka sendiri.

"Saya mengajak lebih ramai generasi muda pelbagai kaum menyertai angkatan tentera simpanan tanpa rasa prejudis, perbezaan pendapat dan fahaman politik," kata beliau.

Sementara itu Zulkifeli berkata, pihaknya telah mengisytiharkan tarikh 14 Februari ini sebagai hari memperingati pejuang-pejuang yang gugur dalam mempertahankan negara pada tarikh tersebut termasuk Leftenan Adnan Saidi.

"Kebetulan pada waktu itu kita akan berada di Singapura untuk Pertunjukan Udara Singapura. Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad dan saya akan melawat Bukit Candu iaitu tempat Leftenan Adnan terkorban," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan